UPSI dedah urusan saham guna bilik simulasi BSKL

0
1712
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mewujudkan Bilik Simulasi Bursa Saham bertujuan mendedahkan mahasiswanya kepada pengurusan jual beli saham sebenar supaya memperoleh nilai tambah ilmu sebelum menamatkan pengajian.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata ia adalah inisiatif yang sangat baik bagi meningkatkan kualiti dan imej graduan UPSI selain memiliki pencapaian akademik yang tinggi, sebelum melangkah ke alam kerjaya yang mencabar.

“Justeru, kami menitik beratkan elemen latihan praktikal (hands on) kepada pelajar supaya mampu bersaing di pasaran kerjaya sama ada nasional atau antarabangsa, selepas menamatkan pengajian.

“Tindakan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) mewujudkan bilik simulasi bursa saham ini dapat memastikan pelajar kita berbeza dengan pelajar universiti lain, selaras agenda universiti mengaplikasikan 3R iaitu `refered, respected and relevant’ (dirujuk, dihormati dan relevan),” katanya ketika merasmikan Bilik Simulasi Bursa Saham itu di Aras 2, FPE di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr Kamarul Bahari Yaakub serta Dekan FPE, Dr Mohd Asri Mohd Noor.

Mohammad Shatar berkata, walaupun bilik simulasi itu diwujudkan dalam ruang kecil, pelajar memperoleh kemahiran yang sama seperti diperoleh di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Menerusi bilik itu, katanya, FPE mampu menjana kewangan kerana bakal mengendalikan kursus amali saham bukan saja kepada warga UPSI, tetapi penduduk Perak dan seluruh negara pada kadar berpatutan.

Sementara itu, Mohd Asri berkata pembinaan bilik simulasi bursa saham itu dirancang sejak 2017 supaya pelajar menjalani latihan amali dalam bidang kewangan, pengurusan kewangan, kewangan Islam dan pengurusan perniagaan mendapat simulasi pengalaman sebenar perdagangan saham.

“Ia menyerupai suasana sebenar bilik bursa saham dan mempunyai dua bahagian iaitu galeri di mana pencapaian saham dapat dipantau melalui skrin yang disediakan dan ‘trading floor’ untuk urusan jual beli saham dilaksanakan,” katanya.

Katanya, selain mempelajarinya secara teori dalam kuliah, pelajar mengikuti proses mengumpul data saham yang pelbagai selain mengenal pasti berita yang boleh memberi kesan kepada prestasi saham serta membuat rumusan mengenai keberkesanan pasaran.

Beliau berkata, pelajar juga berpeluang menjalani proses pengurusan portfolio dan strategi pengurusan risiko dalam urusan jual beli saham.

 

Content retrieved from: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/10/619476/upsi-wujudkan-bilik-simulasi-bskl.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here