PARA PESERTA PDSC 2021 WAJIB PATUHI SOP YANG TELAH DITETAPKAN PENGANJUR

0
877

PORT DICKSON, 21 Dis – Para peserta PD Surfcasting Challenge 2021 (PPSC) diingatkan supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Pertandingan tersebut yang dianjurkan bersama oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (PLNS) akan berlangsung pada 25 Disember ini di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.

Pertandingan memancing terbesar selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu bakal menyaksikan penyertaan daripada para kaki pancing di seluruh negara, namun pihak penganjur hanya mengehadkan penyertaannya kepada 850 peserta sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal PDSC 2021, Jamalarus Aziz berkata, pihaknya sangat mengutamakan keselamatan para peserta lebih-lebih lagi pendemik Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya.

“Para peserta juga diingatkan supaya tidak terlalu ghiarah sehingga melupakan langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan. SOP harus dipatuhi dan sentiasa menjaga jarak. Mereka juga wajib menggunakan pelitup muka sepanjang masa,” kata Jamalarus selepas mempengerusikan mesyuarat teknikal PDSC semalam.

Menurutnya, pihak penganjur juga akan meletakkan pancang sebagai penanda penjarakan fizikal kepada para pemancing sepanjang pertandingan itu nanti.

Acara tersebut akan bermula pada pukul 9 pagi dan 500 peserta yang mendaftar awal akan menerima baju-T daripada pihak penganjur manakala peserta bertuah pula berpeluang membawa pulang hadiah bonanza berupa dua buah televisyen bersaiz 43 inci.

Bagi melancarkan perjalanan acara tersebut, pihak penganjur mewajibkan semua peserta supaya melakukan saringan suhu badan sebelum menyertai pertandingan.

Peserta yang didapati mempunyai suhu badan melebihi 37.5 celsius tidak dibenarkan turut serta.

“Peserta juga hendaklah lengkap 2 DOS vaksin selain memakai pelitup muka serta mengimbas aplikasi MYSEJAHTERA dan juga menjaga jarak yang dibenarkan iaitu satu meter di antara satu sama lain.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh menghubungi pihak urusetia di talian 013-2667011, 017-6805934 atau 012-2846811,” katanya. 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here