PORTAL PELANCONGAN TEMPATAN JIMATKAN RM8 BILION

0
1549
Oleh KHALID NOORSHAH
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Portal tempahan pelancongan tempatan yang terbantut operasinya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, https://malaysiawelcomesyou.com dijangka dapat menjimatkan aliran wang keluar negara di antara RM7 hingga RM8 bilion setahun.
“Portal ini disokong oleh Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA), Tourism Malaysia dan lain-lain pemegang taruh dalam industri perhotelan dan pelancongan negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Olabees Sdn. Bhd, Kenneth Oh Soon Meng yang mengendalikan portal tersebut.

Beliau berkata, Malaysia Welcomes You (MWY) kini sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kewangan bagi membendung aliran wang ke luar negara secara agresif supaya jumlah kehilangan wang negara boleh dikurangkan.

Kenneth Oh Soon Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Olabees Sdn. Bhd.
“Bagi pengetahuan umum, menurut statistik, lebih kurang 25 peratus daripada bayaran tempahan pelancongan disalurkan ke luar negara sebagai bayaran komisen, yuran pengendalian dan cukai digital yang dikenakan oleh ejen-ejen tempahan pelancongan atas talian (OTA) luar negara.
“Adalah dianggarkan perolehan dalam industri perhotelan ialah lebih kurang RM45 bilion setahun. Ini bermakna negara kehilangan lebih kurang RM7 hingga RM8 bilion setahun daripada jualan yang dianggarkan bernilai RM30 juta setahun yang dimuktamadkan oleh OTA luar negara,” katanya.
Menurut Kenneth, rakyat Malaysia boleh membantu mengurangkan aliran keluar wang ini yang kesan pendaraban boleh meningkat kepada lima kali ganda, menjadikan jumlah besar kerugian kepada ekonomi negara ialah lebih kurang RM15 bilion setahun.
Ketika ditemui di majlis pelancaran Kuala Lumpur Welcomes You di sini semalam, beliau memberitahu bahawa idea menyediakan portal itu timbul di kalangan kawan-kawan dalam industri perhotelan apabila OTA mengenakan komisen antara 25 hingga 30 peratus bagi setiap transaksi.
“Dalam 10 tahun lalu, komisen yang dikenakan dalam lingkungan 7 hingga 8 peratus sahaja tetapi apabila kadar komisen dinaikkan dua tahun lalu, ia tidak lagi menarik bagi kami dan seolah-olah kita pula bekerja keras untuk orang lain,” kata beliau yang juga Pengerusi MyBHA Cawangan Kuala Lumpur.
Kenneth berkata, portal malaysiawelcomesyou.com telah pun dilancarkan sebelum ini pada Februari lalu tetapi operasinya terbantut selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu. Ia merupakan portal tempahan pelancongan tempatan pertama sepertinya.
“Portal itu bukan sahaja memudahkan orang ramai membuat tempahan pelancongan tetapi ia turut menyediakan maklumat mengenai tempat-tempat menarik, tempat makan dan juga pusat-pusat peranginan di seluruh negara. Sehingga ini lebih 400 pemain industri berdaftar dengannya dan saya percaya bilangannya akan bertambah dari semasa ke semasa.
“Kuala Lumpur Welcomes You ialah inisiatif MWY bagi kempen Tempah Sekarang Melancong Kemudian Cuti-Cuti Malaysia, di mana bermula dengan Kuala Lumpur, setiap negeri akan turut menonjolkan keunikan destinasi pelancongan masing-masing melalui portal malaysiawelcomesyou.com
Kenneth menggalakkan rakyat Malaysia menempah percutian domestik mereka melalui portal tersebut sambil menambah pengguna akan mendapat rebat RM1,000 daripada cukai pendapatan di bawah Pakej Rangsangan Pelancongan Covid-19 yang ditawarkan oleh kerajaan.
“Sehingga 15 September ini pengguna portal itu akan menerima hadiah istimewa seperti potongan 50 peratus harga tiket bas pelancong Kuala Lumpur Hop On Hop Off, potongan harga tiket taman tema Sunway, potongan harga tiket Aquaria dan beberapa lagi yang sedang dimuktamadkan,” katanya
Menurut beliau, bagi mengurangkan aliran wang ke luar negara, portal itu menggunakan firma tempatan KipplePay sebagai gerbang pembayarannya dan menerima pembayaran melalui kad debit, e-wallet seperti Touch ‘n Go dan Boosts dan tidak lama lagi grabpay, quiton pay dan lain-lainnya.
Kenneth berharap MWY boleh bekerjasama rapat Kerajaan Persekutuan dan semua Kerajaan Negeri, pemegang taruh dan barisan hadapan pelancongan bagi menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia dan luar negara pada masa yang terdekat ini.
“MWY juga berharap rakyat Malaysia akan turut memainkan peranan sebagai duta kecil kampung, pekan, bandar dan bandaraya masing-masing kepada semua pelancong tempatan dan antarabangsa dengan mengamalkan budaya ceria, mesra dan berlapang dada,” katanya.
Beliau berkata, MWY juga sedang menganjurkan pertandingan vlog pelancongan dan berharap rakyat Malaysia akan menonjolkan aspek-aspek terbaik kampung, pekan, bandar dan bandaraya masing-masing dengan mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here