MELANCONG DENGAN HARGA SERENDAH RM12

0
1081
Oleh KHALID NOORSHAH
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Seiring dengan kempen Cuti-Cuti Malaysia, para pengusaha hotel budget melancarkan kempen Tempah Sekarang, Melancong Kemudian untuk meningkatkan lagi usaha merangsangkan pelancongan domestik di kalangan rakyat tempatan.

Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya berkata, kempen sebulan untuk tempahan akan berakhir pada 15 September ini manakala tempoh melancong ialah sehingga 31 Ogos 2021 yang mana tawaran-tawaran dan pakej hebat diberi bermula daripada harga RM12.

Dari kiri, Kenneth Oh, Datuk Azlie Halim, Izal Mahd Nor, Ahmad Alsraf Dan Emmy Suraya di pelancaran Kuala Lumpur Welcomes You semalam.
“Kesemua ahli MyBHA sebanyak 2,300 hotel budget di seluruh negara terlibat dalam kempen ini dan kami bekerjasama dengan para pengusaha pelancongan, pengangkutan, pemandu pelancong, pusat pelancongan menarik dan syarikat penerbangan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kuala Lumpur Welcomes You di sini petang semalam.

Turut hadir di majlis pelancaran itu yang turut disiarkan secara langsung kepada semua ahli MyBHA ialah Pengarah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Kuala Lumpur/Putrajaya, Ahmad Alsraf Ahmad Mokhtar, Pengarah Wilayah Tengah Tourism Malaysia, Izal Mahd Nor, Presiden Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia, Datuk Azlie Halim dan Pengerusi MyBHA Cawangan Kuala Lumpur, Kenneth Oh Soon Meng.

Emmy Suraya berkata, para pelancong tempatan yang mahu merebut peluang yang ditawarkan oleh kempen itu bolehlah membuat tempahan masing-masing melalui portal tempahan tempatan malaysiawelcomesyou.com yang turut menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada penggunanya.

Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya
Menurut beliau, kempen itu antara lain akan memupuk kepercayaan pelancong dengan pematuhan tegas Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana ia penting bukan sahaja untuk kelestarian pelancongan domestik masa ini tetapi juga selepas berakhirnya pandemik Covid-19 nanti.
“Kami sudah pun bekerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) sejak Mei lalu bagi menghasilkan SOP yang menekankan 3K iaitu Keselesaan, Kebersihan dan Keyakinan di mana keberkesanannya sedang diukur oleh 10 hotel budget perintis di seluruh negara,” tambahnya.
Emmy Suraya berkata, kempen tempah sekarang melancong kemudian memberi keanjalan kepada pelancong tempatan untuk merancang jadual mereka di samping boleh merebut peluang kepada tawaran bayar semalam tinggal dua malam di beberapa hotel budget.
Beliau turut menggalakkan para pelancong tempatan mengambil kesempatan daripada kemudahan yang diberi oleh kerajaan di bawah Penjana di mana RM1,000 yang dibelanjakan untuk pelancongan tempatan akan dikecualikan daripada cukai pendapatan masing-masing.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here