PROMOSI PELANCONGAN DOMESTIK BERI KESAN POSITIF

0
1621
Oleh KHALID NOORSHAH 
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Industri pelancongan dalam negeri telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan lebih awal daripada dijangkakan ekoran promosi pelancongan yang dilakukan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bersama-sama para pemain industri.

Menterinya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan beberapa pihak lain, banyak hotel sudah mula beroperasi dan sejak beberapa minggu yang lepas, kebanyakannya mencatat kadar huni 75 peratus dan ada juga yang mencatat kadar huni 100 peratus.

Nancy Shukri
Menjawab soalan tambahan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, dari segi promosi pelancongan dalam negeri, banyak yang telah dilakukan dan kementerian menjangkakan usaha itu akan hanya menunjukkan hasil pada akhir tahun ini tetapi sebaliknya ia telah menunjukkan kesan memberangsangkan sejak beberapa minggu yang lepas.
Nancy juga mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil rakyat yang telah mempromosikan pelancongan dalam negeri di kawasan masing-masing, di samping syarikat-syarikat penerbangan seperti Firefly, Air Asia dan MAS kerana menawarkan pakej-pakej yang menarik.

Apabila Muhammad Bakhtiar, yang merupakan bekas Timbalan Menteri kementerian tersebut mempertikaikan fakta itu dan menyatakan bahawa kadar huni hotel hanya pada kadar purata 31 peratus sahaja, Nancy berkata : “Yang Berhormat, yang menerima laporan bukan Yang Berhormat. Yang menerima laporan adalah MOTAC. Kami di kementerian menerima laporan secara rasmi. Kalau laporan yang diberikan kepada kami salah, itulah laporannya, tetapi Yang Berhormat bukan menteri lagi, jadi Yang Berhormat tidak menerima semua ini. Yang menerimanya adalah kami. Maklumat daripada MAH merupakan salah satu di antaranya. Yang menerima laporan ini setiap minggu, setiap hari adalah MOTAC, bukan Yang Berhormat”.
Terdahulu, Nancy berkata, kementerian menjangkakan bahawa pemulihan industri pelancongan negara akan bermula pada suku kedua tahun hadapan tetapi pada masa yang sama mengakui bahawa itu semua hanyalah jangkaan, cuma kerajaan mempunyai banyak perancangan dan juga mengambil tindakan untuk memastikan pemulihan ekonomi akan berjalan lebih awal.
Menurut beliau, sebelum ini Malaysia secara purata menerima ketibaan antara 22 juta hingga 25 juta pelancong asing setiap bulan, oleh itu bagi memastikan kelangsungan aktiviti dalam sektor pelancongan maka pelancongan dalam negeri digalakkan di bawah slogan Cuti-Cuti Malaysia agar aktiviti-aktiviti ekonomi dapat terus dijanakan.
Menjawab soalan asal Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut), Nancy berkata, akibat penularan pandemik Covid-19, kementerian menganggarkan kerugian sebanyak RM45 bilion sehingga Jun 2020 dalam industri pelancongan negara yang merangkumi sektor penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman serta penganjuran acara-acara perniagaan (MICE).
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, kementerian mengunjurkan kerugian bagi sektor pelancongan antarabangsa melebihi RM31 bilion manakala bagi sektor pelancongan dalam negeri pula, kementerian menganggarkan kerugian melebihi RM13 bilion.
Berdasakan statistik kementerian, tambah beliau, bagi tempoh Januari hingga Mac 2020, perbelanjaan pelancong antarabangsa mencatatkan penurunan sebanyak 41.5 peratus daripada RM21.4 bilion pada 2019 kepada RM12.5 bilion.
“Jumlah kerugian ini termasuklah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan ekoran aktiviti perniagaan yang tidak boleh dijalankan, pemotongan gaji serta pembatalan tempahan produk pelancongan seperti hotel dan pakej pelancongan,” kata Nancy.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here