‘KOLUM LIPAT MAUT’ – TIDAK RUGI BINA LITAR KEKAL DI SETIAP NEGERI

0
780

Rabu, 15 Julai 2020

SALAM sejahtera dan selamat berjumpa lagi di kolum ‘Lipat Maut’.

Minggu ini (17 & 18 Julai), bakal berlangsung Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2020 di Litar Sepang.

Ia boleh dikatakan sebagai acara pembuka tirai dalam kalendar sukan negara (maksud saya selepas diberi kebenaran untuk menganjurkan pertandingan bagi acara sukan tanpa sentuhan) selepas diarah berhenti lebih tiga bulan lamanya gara-gara pandemik Covid-19.

Begitupun, kebenaran untuk penganjurannya harus diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

Apa yang lebih penting, gaya penganjurannya tetap tertakluk dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dengan kembalinya saingan Cub Prix ke gelanggang perlumbaan, sudah pasti para pelumba yang berasa lega kerana sebahagian besar daripada mereka sudah tidak sabar menanti detik mencabar ini.

Selepas mendapat kebenaran untuk menganjurkan pertandingan bagi acara sukan tanpa sentuhan ini, pihak penganjur Cub Prix terpaksa mengurangkan jumlah pusingan tahun ini iaitu lapan pusingan kesemuanya berbanding 10 kebiasaannya.

In kerana, MKN tidak membenarkan acara ini diadakan di litar terbuka, jadi negeri-negeri yang tidak mempunyai litar kekal, terpaksa disisihkan buat sementara waktu.

Maka atas alasan itu, hanya negeri-negeri yang mempunyai litar kekal sahaja dipilih untuk menjadi venue perlumbaan – iaitu Selangor (Litar Sepang), Terengganu (Litar Kompleks Sukan Negeri Gong Badak) dan Johor (Litar Lumba Tangkak).

Sebaik sahaja pihak penganjur mengumumkan kalendar perlumbaan bagi tahun ini pada Isnin lalu, saya telah dihujani pertanyaan kenapa negeri-negeri yang ‘regular’ menjadi destinasi Cub Prix tidak disenaraikan dalam kalendar?

Rupa-rupanya ramai yang kecewa, tetapi saya hanya menjawab ringkas dengan nada bergurau walaupun mereka tahu gara-gara Covid-19 – “Kalau nak Cub Prix terus bertapak di negeri-negeri yang ‘regular’ ini, mintalah kerajaan bina litar lumba kekal”.

Daripada jawapan gurauan saya itu, saya terfikir bahawa memang sudah tiba masanya untuk setiap negeri mempunyai litar lumba kekal sendiri.

Tidak perlulah membinanya sehebat Litar Antarabangsa Sepang. Yang penting, ia menepati piawaian bagi penganjuran kejuaraan sukan dua roda terunggul di negara kita itu.

Saya berpandapat, kerajaan negeri tidak akan rugi membina litar lumba di negeri masing-masing kerana sukan permotoran di negara kita semakin hari semakin berkembang.

Ia antara sukan yang semakin diminati anak-anak muda kita, lebih-lebih lagi selepas melihat ramai pelumba negara sudah melangkah ke pentas antarabangsa sama ada di pentas MotoGP mahupun CEV Sepanyol.

Sayangnya, bakat anak-anak muda ini kurang diberi perhatian kerana tiada gelanggang yang lebih sempurna buat mereka untuk mengasah bakat yang ada pada diri masing-masing.

Sukan permotoran tempatan pula masih dianggap sebagai ‘sukan kelas kedua’ oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Ini yang menyedihkan, tetapi kalau boleh, sudi-sudilah menghulurkan bajet tahunan untuk membantu mengembang mahupun penganjuran sukan ini.

Sekurang-kurangnya, ia akan membantu meringankan sedikit beban penganjur, lagipun kejuaraan Cub Prix (contohnya) telah menjadi agenda tetap dalam kalendar sukan negara sejak tahun 90an lagi.

Ia tetap dianjurkan tanpa gagal setiap tahun berbanding acara sukan lain.

Jika semua negeri memiliki litar, sudah pasti ia memainkan peranan penting untuk memerangi aktiviti lumba haram, merempit dan sebagainya.

Saya mengambil contoh (betulkan saya jika silap), Perak umpamanya, memiliki ramai pelumba muda yang berbakat, malah beberapa nama besar dalam sukan permotoran seperti Shahrol Yuzy Ahmad Zaini adalah anak jati Perak.

Sebaik Yuzy melangkah kaki ke pentas antarabangsa suatu ketika dulu, Perak seharusnya sudah mengambil langkah pertama untuk membina litar agar sukan tersebut terus berkembang dengan baik.

Namun saya tetap bangga, meskipun tanpa litar yang sempurna, negeri tersebut masih mampu melahirkan pelumba-pelumba berbakat, malah ramai yang bersaing di Cub Prix.

Negeri-negeri lain juga memiliki ramai bakat, malah ada dalam kalangan mereka sanggup datang ke Lembah Klang untik menjalani latihan bagi mengembangkan potensi yang ada pada mereka.

Sebenarnya banyak faedah buat sesebuah negeri itu jika memiliki litar lumba sendiri. Ia bukan sahaja memainkan peranan untuk memajukan sukan permotoran, tetapi turut memberi kesan terhadap sektor pelancongan.

Bermacam-macam aktiviti boleh dijalankan dengan syarat ia ditadbir sebaik mungkin.

Andai sukan ini semakin berkembang, kita bukan sahaja mampu melahirkan ramai pelumba berwibawa, tetapi ia turut membuka minat anak-anak muda kita yang ada kepakaran untuk menjadi jurutera atau mekanik.

Semakin banyak pasukan yang ditubuhkan, maka ia akan menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda kita, sama ada menjadi mekanik mahupun pengurus pasukan selain turut memainkan peranan mengembangkan industri motosikal, alat-alat gantian dan sebagainya.

Banyak faedah yang bakal dinikmati sekiranya sukan dua roda ini terus diberi perhatian yang sewajarnya. Bukan hanya pelumba yang dapat kita lahirkan, tetapi juga krew-krew teknikal mahupun usahawan berkaitan industri motosikal.

Contoh terbaik adalah Buriram di Thailand. Buriram merupakan sebuah bandar terpencil di negara Gajah Perang itu, tetapi selepas terbinanya Litar Antarabangsa Chang, Buriram kini menjadi destinasi penggemar sukan permotoran dari seluruh dunia.

Sebelum Litar Antarabangsa Chang itu dibina, tiada siapa yang mengenali Buriram. Kini, bandar yang memakan masa selama tujuh jam perjalanan (menaiki kereta) dari kota Bangkok itu, semakin terkenal terutamanya dalam kalangan masyarakat sukan permotoran.

Sektor pelancongan di bandar tersebut juga semakin berkembang pesat ketika ini.

Justeru, saya berpendapat bahawa sesungguhnya, tidak rugi membina litar kekal di setiap negeri kerana saya percaya ia akan dipergunakan sebaik mungkin oleh para penggemar sukan permotoran di negara kita.

Saya juga yakin, ia langkah paling tepat untuk mengembangkan sukan permotoran, sekali gus mampu melahirkan lebih ramai pelumba sehebat Hafizh Syahrin suatu hari nanti.

Buktinya di Cub Prix yang menyaksikan begitu ramai anak-anak muda kita sudah memperlihatkan watak sebagai sang juara.

Mungkin sudah tiba masanya buat kerajaan untuk mengalih pandangan ke sukan permotoran sejenak, serta memikirkan untuk membina litar-litar kekal yang serba lengkap dan sempurna bagi memastikan sukan ini terus meniti ke puncak.

Kita bina stadium bola sepak paling besar, tetapi prestasi pasukan bola sepak kita semakin menikmati kemunduran. Bukan nak membuat perbandingan, tetapi itulah kenyataannya.

Sekian, Maju Sukan Untuk Negara.

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here