150,000 PENGUNJUNG DIJANGKA MERIAHKAN FESTIVAL PERMAINAN TRADISIONAL MALAYSIA 2024

0
603

 

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Festival Permainan Malaysia Kuala Lumpur 2024 (FPMKL24) kembali menemui para penggemarnya di Dataran Merdeka pada 13 hingga 16 September ini.

Program yang memainkan peranan untuk mempromosi serta mengangkat keunikan kesenian tradisi rakyat melalui permainan tradisional itu bakal memukau lebih 150,000 pengunjung yang dijangka memeriahkan acara tersebut nanti.

Ia merupakan salah satu program di bawah kalender aktiviti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Menurut Ketua Pengarah JKKN), Mohd Amran Mohd Haris, festival tahunan ini, yang memasuki edisi kesembilan merupakan salah satu program di bawah kalendar Pelancongan Budaya.

“Kami berharap program ini akan menyemarakkan lagi aktiviti pelancongan budaya, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat. Kami juga berharap agar program unik ini dapat menjadi daya tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara,” ujar Mohd Amran.

Festival ini menawarkan pelbagai kegiatan menarik termasuk pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, cita rasa warisan, pameran dan demonstrasi, persembahan seni budaya serta jualan.

Seramai 2,639 peserta, terdiri daripada badan beruniform, sektor korporat dan institusi pengajian tinggi bakal terlibat dalam 10 pertandingan sukan tradisional.

Antara acara yang akan dipertandingkan ialah tarik tali tradisional, galah panjang, tuju tin, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain sarung, kelereng, terompah gergasi, menyumpit dan memanah tradisional.

FPMKL 2024 juga akan menampilkan dua acara induk iaitu Festival Gendang dan Tari Antarabangsa (GENTA) serta Program Kuala Lumpur Cinta Rasul, di bawah penyelarasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Tahun ini, acara baharu seperti persembahan tarian singa interaktif, Jom Solat Subuh Macam Jumaat, pertandingan catur Cina dan Pasar Saloma turut diperkenalkan.

Selain itu, sebanyak 30 unit trak makanan atau Food Truck akan disediakan, menawarkan pelbagai menu di bawah penyelarasan Persatuan Food Truck Kuala Lumpur.

FPMKL 2024 juga akan melancarkan Senam Seni 2.0, modul baharu senam seni yang menggabungkan kaedah gerak tari dan kecergasan.

Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Sukan Tradisional Malaysia, Mohd Radzuan Abu Samah, mengharapkan FPMKL 2024 akan lebih meriah dengan pelbagai pengisian baharu dan berharap orang ramai akan hadir untuk menyokong acara tersebut nanti.

About The Author