SEMENYIH, 13 Jun – Pembangunan sukan berbasikal peringkat akar umbi menerima suntikan baharu menerusi pelancaran kejohanan Little Riders Grand Prix 2026 yang membuka tirai saingan di Setia EcoHill Mall, Semenyih.
Program ini telah mendapat perhatian serta sokongan daripada sebuah syarikat pemaju hartanah dengan menjadikan penganjuran pushbike ini sebagai Rakan strategik.
Kejohanan ini bertujuan melahirkan generasi baharu dalam sukan berbasikal bermula daripada peringkat awal kanak-kanak yang berusia 2 hingga 8 tahun.
Enam kategori perlumbaan mengikut kumpulan umur akan dilangsungkan sepanjang kejohanan ini nanti.
Siri 1 bagi kejohanan edisi 2026 ini berlangsung pada 12-13 Jun di Setia EcoHill Mall, Semenyih diikuti Siri 2 pada 19-20 Jun di SetiaWalk Mall, Puchong, Selangor.
Siri 3 (26-27 Jun) dijadualkan berlangsung di D’Network @ Setia Eco Park, Setia Alam manakala Grand Finale akan dilangsungkan di LakePoint Central, Alam Impian, Shah Alam, pada 4-5 Julai nanti.
Kejohanan empat siri ini dijangka menghimpunkan ratusan pelumba cilik dari seluruh negara bagi merebut gelaran juara keseluruhan pada aksi kemuncak Julai depan.












