TANGKAK, Johor, 23 Ogos – Dua mata yang diraih pada perlumbaan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 dalam kategori Pro Am di Litar Lumba Tangkak hari ini, sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada pendatang baharu, Nur Atikah Azwar.
Pemilik channel You Tube, Rider Helmet Pink itu atau lebih dikenali sebagai Ika, menamatkan perlumbaan 10 lap itu di kedudukan ke-14, namun ketinggalan satu lap di belakang pendahulu.
Begitupun, pencapaiannya di Tangkak mula menampakkan peningkatan selepas sekadar menghuni tempat ke-15 pada aksi Pusingan 1 di Litar Sepang bulan lalu.
Dia satu-satunya pelumba wanita yang berjaya menamatkan saingan di Litar Tangkak hari ini selepas seorang lagi rakannya, Nuraina Halisya Hamirudin gagal menamatkan perlumbaan kerana menghadapi masalah mekanikal.
Dua mata tersebut juga merupakan hadiah istimewa buat Ika yang menyambut harijadinya hari ini.
Selepas mengharungi dua pusingan setakat ini, dia sudah berjaya mengumpul tiga mata untuk menghuni tempat ke-18 dalam carta keseluruhan.
Perlumbaan akhir kategori Pro Am itu dikuasai pelumba Selangor, Md Asyraf Daniel Md Zamri dengan catatan masa 8:55.946 saat (s) manakala tempat kedua berada dalam genggaman seorang lagi pelumba Selangor, Md Norshahidan Mokhtar dengan masa 8:56.225s.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Johor, Md Adib Asri yang merekodkan catatan masa 8:56.875s.
Pada sesi kelayakan semalam, Adib muncul pelumba terpantas, tetapi rentaknya pada perlumbaan akhir hari ini serba tidak menjadi.
Juara Pusingan 1, Md Usammah Md Narzam pula gagal mengulangi kecemerlangannya di Litar Sepang bulan lalu selepas sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 9:05.645s.
Keputusan tersebut menyaksikan kedudukan Usammah selaku pendahulu keseluruhan kini dipintas oleh Asyraf yang berjaya mengumpul 41 mata manakala Usammah turun ke kedudukan kedua dengan 38 mata.
Sementara itu, dalam kategori Cabaran Honda Dash 125 pula, pelumba Selangor, Aisy Izz Hafiy Hairul Hafiz tampil dengan rentak bergaya untuk muncul juara perlumbaan akhir itu dengan merekodkan masa terpantas 9:46.032s.
Pelumba Negeri Sembilan, Md Afif Daniel Faizal menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 9:58.874s.
Afif yang turut muncul naib juara pada saingan Pusingan 1 sebelum ini mengambil alih kedudukan pendahulu keseluruhan dengan meraih 40 mata diikuti tempat kedua, Md Faiz Nazmi Md Raduan (Negeri Sembilan) dengan 36 mata.
Aisy Izz pula di kedudukan ketiga dengan 32 mata.
Bagi kategori Yamaha PETRONAS Super Series, gelaran juara menjadi milik pelumba Selangor, Putera Alif Irfan Abdullah yang menamatkan perlumbaan 10 lap itu dengan masa 8:54.374s diikuti tempat kedua, Md Afeez Aiman Effenday (Melaka) yang merekodkan masa 8:55.048s.
Putera Alif yang gagal menamatkan perlumbaan di Sepang bulan lalu, kini melonjak ke tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul 25 mata.
Kedudukan selaku pendahulu keseluruhan kekal menjadi milik pelumba Terengganu, Md Danish Aiman Zamrul yang sudah meraih 35 mata.
Hari ini, Danish sekadar menamatkan perlumbaan tersebut di tempat keenam bagi membolehkannya memungut 10 mata.
Selepas ini, mereka akan kembali ke Sepang untuk mengharungi aksi Pusingan 3 yang dijadualkan berlangsung pada 2-3 September nanti.