IKA – DARI ‘HAPPY BAG’ KE LITAR PERLUMBAAN

0
1672

KUALA LUMPUR, 28 Jan –  Musim 2020 telah mencatat sejarah baharu buat pelumba wanita, Nur Atikah Azwar apabila memberanikan diri untuk membuat kemunculan pada perlumbaan Cub Prix Malaysia.

Mana tidaknya, dia tidak mempunyai sebarang pengalaman berlumba tetapi tetap bertekad untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah diceburinya sebelum ini.

Memang aktiviti hariannya banyak berkaitan dengan motosikal, malah sering melakukan beberapa siri ‘solo ride’ ke seluruh semenanjung selain bertindak sebagai ‘influencer’ menerusi channel YouTube miliknya – ‘Rider Helmet Pink’ bagi mempromosikan pelbagai produk yang berkaitan dengan jentera dua roda itu.

Minat yang menebal dalam aktiviti permotoran itu telah mencetuskan hasratnya untuk mencuba pengalaman baharu – iaitu membuat kemunculan pertama pada kejuaraan Cub Prix Malaysia menerusi kelas Pro Am bagi musim 2020 lalu.

Dia sedar dengan kekurangan yang ada pada dirinya kerana tidak pernah melangkah ke gelanggang perlumbaan, namun ia bukan penghalang buatnya untuk mencuba sesuatu yang lebih mencabar.

Dia juga sedar bahawa perlumbaan berprestasi tinggi itu sememangnya didominasi oleh pelumba lelaki, namun hakikat tersebut dijadikannya sebagai motivasi bagi membuktikan bahawa wanita juga memiliki kemampuan yang tidak kurang hebatnya.

Dalam sejarah Cub Prix, tidak ramai pelumba wanita yang berani tampil dan kehadiran Nur Atikah atau lebih mesra dipanggil Ika, telah membuka episod baharu bagi menarik lebih ramai wanita yang memiliki keberanian untuk menyertai perlumbaan berprestij itu di musim 2021 nanti.

Meskipun bersaing dalam kelas bawahan tetapi Ika menganggapnya sebagai medan untuk menimba pengalaman bagi membantu meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

Apa yang dipelajari Ika pada kemunculan pertama di Cub Prix itu telah mematangkan pemahamannya dalam sukan permotoran.

Ika mula tampil di Cub Prix pada musim 2019 untuk membantu seorang kenalan mempromosikan Happy Bag Cub Prix.

Pengajaran paling berharga buatnya adalah keberanian serta keyakinan untuk mengharungi perlumbaan yang sangat mencabar, selain memahami selok-belok budaya dalam sukan berprestasi tinggi itu.

Baik dari segi pengurusan, publisiti, kerja berpasukan serta hubungan antara satu dengan lain merupakan ilmu yang sangat berguna dipelajari oleh Ika sepanjang pembabitannya dalam perlumbaan Cub Prix musim lalu.

Dia bukan sekadar berlumba, tetapi turut menimba ilmu dalam sukan permotoran bagi membantu merealisasikan usahanya untuk mencuba sesuatu yang baharu sebagai seorang pelumba.

Populariti Ika turut menjadi perhatian akhbar arus perdana.

Bagi Ika, seseorang pelumba itu tidak seharusnya hanya fokus untuk berlumba, sebaliknya perlu mempelajari segala aspek agar karier dalam sukan permotoran nanti tidak terhenti setakat itu sahaja selepas mereka bersara.

Mengimbas prestasi Ika dalam kelas Pro Am musim lalu, ia boleh dianggap agak memuaskan lebih-lebih lagi sebagai seorang pendatang baharu yang tidak mempunyai latar belakang berlumba.

Dia mula beraksi di Litar Sepang (Pusingan 1) pada bulan Julai tahun lalu dan kemunculan pertama itu ternyata tidak mengecewakan apabila dia berjaya mengutip satu mata.

Pada Pusingan 2 di Litar Lumba Tangkak, Johor dia mula menunjukkan peningkatan apabila mengutip dua mata kejuaraan, namun nasib tidak menyebelahinya apabila terlibat dalam kemalangan pada saingan Pusingan 3 di Litar Sepang yang memaksanya berehat hampir tiga bulan.

Kemalangan tersebut telah memaksanya untuk melupakan aksi Pusingan 4 di Kuala Terengganu.

Namun, dia kembali beraksi pada Pusingan 5, 6, 7 dan 8 di Sepang pada Disember lalu. Meskipun sudah lama berehat, Ika tetap berada dalam kelompok pelumba yang berjaya mengutip mata demi mata dalam setiap perlumbaan.

Pada Pusingan 5, dia berjaya meraih 3 mata diikuti 5 mata pada Pusingan 6, 4 mata (Pusingan 7) dan satu mata pada Pusingan 8, sekali gus menamatkan musim 2020 di kedudukan ke-19 keseluruhan dengan sejumlah 16 mata.

Dia mengatasi seorang lagi pelumba wanita berpengalaman, Nuraina Halisya Hamiruddin yang berada di kedudukan ke-20 keseluruhan dengan 13 mata.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bagaimana minatnya mula tercetus untuk berlumba. Perjalanannya cukup menarik.

Dia mula hadir di Cub Prix pada musim 2019 bagi mencari bahan untuk konten channel YouTubenya.

Selepas itu, dia berperanan sebagai ‘Duta’ Happy Bag bagi membantu seorang kenalan di Cub Prix untuk mempromosikan penjualan Happy Bag itu yang menawarkan hadiah sebuah motosikal di setiap pusingan.

Daripada situ, popularitinya semakin terserlah lebih-lebih lagi dalam kalangan pelumba dan juga para pegawai pasukan.

Keakraban serta perkongsian idea dengan para pelumba sepanjang musim 2019 itu ternyata telah mencetuskan minatnya untuk memberanikan diri melangkah ke galanggang perlumbaan sebagai seorang pelumba.

Ika turut tampil sebagai hos untuk mengumumkan pemenang cabutan bertuah Happy Bag pada setiap pusingan kejuaraan Cub Prix 2019.

Ia direalisasikan pada musim 2020 apabila dengan berani menyahut cabaran beraksi dalam kelas Pro Am yang kini mula menjadi perhatian para peminat sukan permotoran tempatan.

Dari ‘Happy Bag’ ke gelanggang perlumbaan – itu mungkin ungkapan paling sesuai buat Ika sebelum mencipta nama dalam kelas Pro Am meskipun pada musim 2020 lalu dia gagal menjejak kaki ke podium.

Namun, apa yang dibuktikannya sepanjang musim lalu, wajar dianggap satu kejayaan terutama buat seorang pelumba wanita yang tidak mempunyai latar belakang berlumba.

Apakah pengalaman yang diraihnya pada musim 2020 lalu bakal menyaksikan Ika membuat satu lagi sejarah baharu atau kejutan dalam Cub Prix nanti?

Kita tunggu dan lihat!

*Bagi para peminat sukan permotoran yang ingin mengetahui perkembangan Ika, boleh mengikutinya di akaun instragram rider_helmet_pink atau channel YouTube – Rider Helmet Pink.

Prestasi (kutipan mata) Nur Atikah dalam kelas Pro Am pada musim 2020:

Pusingan 1 (1 mata)

Pusingan 2 (2 mata)

Pusingan 3 (terlibat kemalangan)

Pusingan 4 (tidak beraksi – pemulihan selepas kemalangan)

Pusingan 5 (3 mata)

Pusingan 6 (5 mata)

Pusingan 7 (4 mata)

Pusingan 8 (1 mata)

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here