ACPJL 2020: PEMAIN PILIHAN MELANGKAH MUDAH KE SUKU AKHIR

0
883

KAMPAR, Perak, 2 April –  Saingan hari ketiga kejohanan Badminton AEON Credit Purple League Junior 2020 (ACPLJ 2020) menyaksikan hampir kesemua pilihan utama meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir.

Antara aksi hebat pusingan ke-16, menyaksikan pilihan utama perseorangan wanita Bawah 15-tahun, Sarah Ngu Xian Meow dari pasukan Cheras BC melangkah ke pusingan lapan terakhir setelah mengenepikan cabaran rakan sepasukannya Nurul Athirah 3-1.

Pemain tinggi lampai, Sarah berkata dia berpuas hati dengan persembahannya dan kelebihannya yang pernah beraksi menentang rakan sepasukannya itu, memberikannya keyakinan untuk mencatat kemenangan.

“Saya tidak dapat beraksi secara kompetitif selama lebih setahun dan berharap dengan mengharungi lebih banyak perlawanan, saya boleh menemui rentak dan kembali ke tahap terbaik,” kata Sarah.

“Saya akui wujud tekanan pada diri saya, setelah diletakkan sebagai pilihan utama tapi saya tetap yakin untuk beraksi dengan cemerlang, sekali gus  merangkul kejuaraan.”

Pilihan utama wanita Bawah 18-tahun, Isabel Liau Bei Yi dari AKBC, juga mara ke suku akhir tetapi dia terpaksa berkerja keras sebelum mengetepikan cabaran Teoh Ju Kee dari Aman Jaya BC untuk bangkit dengan mencatat kemenangan 11-7, 10-11, 8-11, 11-5, 11-4.

Kemenangan sengit pada kategori perseorangan memberikan kegembiraan berganda kepada Isabel, yang terlebih dahulu turut mara ke pusingan suku akhir beregu campuran.

“Saya gagal mengawal perlawanan pada peringkat awal… jurulatih saya mengingatkan saya untuk mempercepatkan rentak permainan. Nasihat tersebut berjaya menjadi kunci untuk saya menewaskan lawan,” kata Isabel

Isabel berharap untuk meneruskan rentak kemenangan dan bermula garang dari awal  perlawanan serta berjaya mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah untuk memenangi kejuaraan.

Seorang lagi pemain kategori perseorangan Bawah 18-tahun wanita, Tan Yan Yi dari Serdang BC mencuri tumpuan dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Gan Wan Yan.

Dia memenangi set pertama 11-0 untuk bertemu Arieesya Sofea dari Bandar Bangi BC pada peringkat suku akhir.

Sementara itu, beregu pilihan utama lelaki Bawah 15-tahun, Tiow Shi Qin/Mohd Amirul dari Bayan Lepas BC menyingkirkan Alfred Teo/Ong Qi Fu dari Klang Rising BC 3-1 untuk mengiringi pilihan utama Bawah 18-tahun, Kenny Khew Han Yang/Mohd. Haris Sufian ke pusingan suku akhir.

Kejutan terbesar pada pusingan ke-16, menyaksikan pilihan utama lelaki Bawah 15-tahun Chow Wern Soon gagal mara ke suku akhir selepas tewas mengejut kepada 1-3 kepada Tan Kian Wei dari JBBC.

Aksi separuh akhir dan akhir ACPLJ 2020 akan berlangsung esok.

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here