BADMINTON: TERBUKA MALAYSIA BELUM ADA KATA PUTUS

0
542

 

KUALA LUMPUR, 30 Jun –  Andai Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia diteruskan pada bulan November depan, ia bakal memerlukan perbelanjaan tambahan.

Kos tambahan tersebut adalah bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang wajib dipatuhi oleh mana-mana organisasi ketika negara masih belum pulih sepenuhnya daripada ancaman Covid19.

Perbelanjaan tambahan itu adalah untuk menyediakan segala keperluan yang wajib dipatuhi di bawah SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selain jangkaan kemerosotan kehadiran penonton.

Demikian tegas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika ditemui selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-20 di Wisma OCM, di ibu negara hari ini.

Begitupun, setakat ini, penganjuran kejohanan tersebut masih belum ada kata putus dan ia hanya akan diketahui selepas mesyuarat ahli majlis BAM dalam masa terdekat.

Menurut Norza Zakaria, BAM perlu mempertimbangkan beberapa faktor sebelum meneruskan penganjuran kejohanan berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM3.212 juta.

“Antaranya adalah kos tambahan bagi menyediakan pencuci tangan dan yang lain-lainnya serta berkemungkinan berdepan masalah kemerosotan kehadiran penonton.

“Terbuka Malaysia juga bukan merupakan sebahagian daripada kejohanan yang menawarkan mata kelayakan untuk ke Sukan Olimpik (Tokyo 2020). Selain itu, kita juga perlu melihat kesesuaian penganjuran kejohanan ini kerana kita sedang berdepan (pandemik) Covid-19,” kata Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia.

Menurutnya lagi, pemain ternama dunia juga tidak pasti bakal menyertai Terbuka Malaysia kerana kerajaan masih mengenakan sekatan perjalanan kepada pelawat asing.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa BAM dikatakan tidak berhasrat meneruskan penganjuran Terbuka Malaysia kerana dikatakan perlu menanggung kos yang lebih tinggi.

Terbuka Malaysia dijadualkan berlangsung pada 31 Mac hingga 5 April lalu, namun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyusun semula kalendar kejohanan bagi musim 2020 akibat penularan Covid19 yang menyaksikan ia diubah kepada November depan.

Penyusunan kalendar kejohanan 2020 oleh BWF menyaksikan mata kelayakan ke Sukan Olimpik hanya akan dikira menerusi kalendar musim 2021.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here