DALAM BOLA SEPAK MACAM-MACAM BOLEH BERLAKU, JARINGAN MENGGUNAKAN TANGAN PUN DISAHKAN PENGADIL

0
1477

SALAM sejahtera dan selamat berjumpa lagi.

Semalam, skuad bola sepak kebanggaan kita – Harimau Malaya tewas lagi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 peringkat Kumpulan G menentang Vietnam.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu tewas 1-2 kepada Vietnam dan ia merupakan kekalahan kedua di bumi Dubai selepas tersungkur 4-0 kepada Emiriah Arab Bersatu minggu lalu.

Kekalahan itu menambahkan duka buat Cheng Hoe yang pada sebelah paginya telah kehilangan bapanya tercinta di Alor Setar.

Kekalahan tersebut sudah pastinya meranapkan cita-cita pasukan bola sepak kebangsaan kita untuk meneruskan langkah lebih jauh pada aksi pusingan kelayakan ini.

Apa pun, berdasarkan prestasi dalam dua perlawanan setakat ini, kita perlu menerima kenyataan bahawa gaya bola sepak Malaysia ketika ini masih belum mampu untuk menempatkan dirinya dalam kelompok pasukan elit di rantau ini.

Perjalanan kita masih jauh, namun ia bukan sebuah pengakhiran kerana usaha-usaha untuk pembangunan semula sedang giat dijalankan.

Kita tetap berharap moga hasil daripada program-program pembangunan di Akademi Bola Sepak Kebangsaan mampu membawa perubahan suatu hari nanti…insyaAllah.

Berbalik kepada aksi menentang Vietnam semalam – pelbagai cerita, ulasan, komentar mahupun kritikan dilontarkan oleh para peminat menerusi saluran sosial media.

Menarik untuk dibaca…dan ia membuktikan bahawa ramai yang berdiri teguh di belakang Harimau Malaya.

Sasaran utama atau topik yang ‘trending’ daripada para neitizen adalah gol kedua Vietnam menerusi sepakan penalti.

Pengadil, Ryuji Sato dari Jepun menjadi mangsa serangan gara-gara menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam pada minit ke-83 sekali gus membolehkan pasukan lawan memperoleh gol kedua.

Ramai berpendapat pemain Vietnam itu melakukan ‘dive’ dan sebagainya.

Apa pun itu hak masing-masing untuk meluahkan pandangan berdasarkan apa yang dilihat menerusi kaca televisyen.

Namun, saya ada pandangan tersendiri dan pengadil dari Jepun itu yang berada dekat dengan insiden itu berlaku, sudah pastinya nampak sesuatu sebelum membuat sebarang keputusan.

Ada kemungkinan ketika Brendan Gan berusaha untuk menghalang pemain Vietnam itu, dia ‘tersepak’ tumit pemain berkenaan dan terjatuh.

Secara logiknya, apabila kita sedang berlari dengan pantas dan tumit kita terhalang oleh kaki pemain lain atau terkena kaki sendiri, sudah pastinya kita terjatuh –  dan insiden tersebut mungkin  berlaku antara Brendan Gan dan penyerang Vietnam ketika itu.

Yang sedihnya, ia berlaku dalam kotak penalti.

Paling mudah adalah kita tengok reaksi para pemain itu terlebih dahulu – adakah mereka MEMPROTES SEKERAS-KERASNYA keputusan pengadil atau sebaliknya?

Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku. Pemain yang menjaringkan gol menggunakan tangan pun turut disahkan jaringannya.

Sebab apa jaringan disahkan? Jawapannya mudah iaitu kelekaan pengadil. Pengadil yang kurang ‘sharp’ pandangannya tidak akan nampak benda yang ‘luar biasa’ berlaku dalam permainan.

Sebenarnya, pemain yang bijak akan mempergunakan sepenuhnya peluang atau insiden seperti itu terutamanya ketika berada di dalam kotak penalti dengan harapan untuk mendapatkan sepakan penalti.

Apa pun, semuanya sudah terjadi dan terpulang kepada masing-masing untuk menilainya.

Dari sisi lain, rentak permainan Harimau Malaya pada aksi menentang Vietnam itu dilihat lebih baik berbanding ketika menentang Emiriah Arab Bersatu.

Mungkin disebabkan ‘level’ kita dengan Vietnam lebih kurang sama atau sebaliknya.

Begitupun, Vietnam memiliki kelebihan tersendiri. Kawalan bola mereka kemas, hantar pendek juga nampak kemas dan mereka mempunyai kepantasan ketika melakukan serangan balas.

Mereka lebih berstrategi ketika melakukan serangan dan begitu juga ketika bertahan.

Saya bukannya tidak memuji corak permainan Harimau Malaya, tetapi saya agak kesal kerana jarang dapat melihat gerakan yang betul-betul menarik ketika memasuki kawasan lawan.

Kita mengamalkan corak permainan bola sepak biasa tanpa ada strategi khusus ketika melancarkan serangan.

Saya juga jarang melihat gerakan menarik ketika mereka melakukan serangan balas kecuali larian pantas daripada dua bek sayap Gorbin Ong dan Matt Davies, tetapi tetap tiada kesudahannya.

Selepas ini, pemain seperti Syafiq, Arif Aiman, Lokman, Nazmi wajar beraksi lebih kerap kerana mereka ini telah memperlihatkan keyakinan, keberanian serta kemampuan ketika berada di lapangan hijau itu.

Kita sudah ada ‘material’ tetapi strategi permainan yang diterapkan dalam skuad kebangsaan terlalu mudah untuk dibaca pasukan lawan.

Apa strategi kita ketika berpeluang melakukan serangan balas? Apa pula strategi kita ketika merancang dari bahagian tengah, sayap dan sebagainya?

Pada pandangan peribadi saya, ini yang masih kurang dan perlu diambil perhatian.

Naturalisasi – kita sudah lakukan tetapi kesannya sangat mengecewakan. Jadi, semoleknya utamakan pemain tempatan kerana ramai yang berada di bangku simpanan mampu melakukan yang lebih baik jika terus diberi pendedahan secukupnya.

Demi Lencana Di Dada, Selamat Maju Jaya Harimau Malaya!

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here