HOKI: DUA KEJOHANAN DOMESTIK BAKAL BERLANGSUNG NOVEMBER DEPAN

0
602

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi Jawatankuasa Pertandingannya telah menetapkan tarikh penganjuran kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 pada 10 November hingga 20 November manakala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 (Lelaki dan Wanita) ditetapkan pada 26 November hingga 2 Januari 2022.

Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 dan TNB MJHL 2021 akan dilangsungkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain mengambil kira setiap garis panduan yang diberikan untuk memastikan kejohanan tersebut dilangsungkan dengan selamat.

Pengumuman penetapan tarikh dua kejohanan tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Sri Dr. Anil Jeet Singh.

“Penganjuran Piala Tun Abdul Razak 2021 dan TNB MJHL 2021 akan diteruskan yang mana KHM dan jawatankuasa saya telah melakukan perancangan serta menyusun jadual dengan sebaiknya selain mengambil kira ruang masa yang cukup untuk setiap pemain mendapatkan suntikan vaksin.

“Kami telah memutuskan di dalam mesyuarat bahawa Piala Tun Abdul Razak 2021 akan berlangsung pada 10 November hingga 20 November sementara TNB MJHL 2021 akan bermula pada 26 November 2021 hingga 2 Januari 2022.

“Pada 25 Julai nanti, kami akan mengadakan perbincangan lebih terperinci bagi menetapkan venue untuk kedua-dua kejohanan ini, SOP yang perlu dipatuhi serta langkah yang terbaik untuk semua pihak kerana penganjuran kejohanan TNB MJHL 2021 khususnya akan membabitkan remaja yang masih bersekolah.

“Jika sebelum ini penganjuran TNB MJHL membabitkan pemain di bawah 19 tahun, namun bagi tahun ini kami menaikkan had umur kepada 21 tahun ke bawah.

“Kami juga ada menerima cadangan untuk menaikkan sedikit lagi had umur untuk penyertaan pemain bagi TNB MJHL 2021 namun ia masih dalam perbincangan. Apa yang pasti kejohanan akan dianjurkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” jelas Dr. Anil Jeet Singh.

Penganjuran TNB MJHL 2021 akan menyaksikan saingan bagi dua divisyen bagi kategori lelaki sementara wanita kekal dengan satu divisyen.

Setakat ini, KHM telah menerima 10 penyertaan daripada divisyen satu dan 14 penyertaan pasukan divisyen dua bagi kategori lelaki manakala bagi kategori wanita pula sebanyak 14 pasukan telah menghantar penyertaan.

Untuk rekod, ekoran penularan Wabak Pandemik Covid-19, Kejohanan TNB MJHL pada tahun lalu dibatalkan.

Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 pula dilangsungkan dengan jayanya tanpa menyebabkan sebarang jangkitan virus Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai ataupun menyebabkan wujudnya sebarang kluster melibatkan kejohanan tersebut.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here