KALAH TAK APA, TAPI TAMPILKANLAH PRESTASI YANG MEMUKAU

0
894

SALAM sejahtera dan selamat berjumpa lagi.

Hari ini, (4 Jun 2021) cerita skuad Harimau Malaya yang tewas 4-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan peringkat Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ‘trending’ di sosial media.

Hampir seratus peratus peminat bola sepak tempatan melahirkan rasa kecewa dan tidak kurang juga yang memuji serta terus memberi sokongan.

Itu adalah hak masing-masing dan setiap individu mempunyai pandangan tersendiri.

Mereka bukan mengkritik sembarangan. Kritikan mereka ada asasnya, dan semua ini bertujuan untuk melihat skuad bola sepak negara lebih berprestasi terutamanya ketika beraksi di pentas antarabangsa.

Mereka sudah lama menunggu untuk melihat skuad bola sepak kebangsaan kita kembali berada di puncak, khususnya di pentas Asia selepas kali terakhir menikmatinya di era arwah ‘SuperMokh’ suatu ketika dulu.

Sehingga kini, keinginan itu masih belum memenuhi kehendak para pencinta bola sepak Malaysia, maka atas alasan itu mereka sentiasa berani bersuara menerusi pelbagai saluran sosial media dengan harapan akan berlaku perubahan.

Harapnya, keluhan mereka ini mendapat respons sewajarnya daripada para pentadbir bola sepak negara.

Malam tadi, kekalahan skuad Harimau Malaya yang dibimbing oleh Tan Cheng Hoe memang sudah dijangka dan jangkaan itu adalah berdasarkan rekod pertemuan lalu dengan pasukan UAE.

Kali terakhir ketika beraksi di gelanggang lawan itu, kita tewas 10-0 iaitu pada tahun 2015.

Kenapa skuad Harimau Malaya tewas pada perlawanan di Stadium Zabeel Dubai itu semalam?

Alasan yang boleh dijangka sudah pastinya mengenai persiapan pasukan – tidak selancar yang diharapkan gara-gara pandemik Covid-19.

Keduanya, kekurangan perlawanan persahabatan kelas A bagi membentuk keserasian dalam pasukan dan ketiganya gangguan terhadap perjalanan liga domestik akibat Covid-19, sekali gus menyukarkan untuk membuat penilaian terhadap prestasi para pemain.

Mungkin alasan tersebut boleh diterima kerana ia juga dihadapi oleh semua pasukan di seluruh dunia.

Yang menjadi persoalan para peminat adalah sumbangan yang dipamerkan oleh para pemain ketika berada dalam lapangan hijau itu.

Mereka menerima kekalahan dan itu bukan satu masalah. Yang menjadi masalahnya adalah komitmen para pemain kerana ada yang tampil sebagai ‘penumpang’ sahaja walaupun diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama.

Malah, Malaysia sudah memberi kepercayaan dengan menawarkan mereka status sebagai pemain naturalisasi, tetapi jiwa mereka ternyata bukan untuk negara yang kita cintai ini.

Berdasarkan persembahan yang dipamerkan pada perlawanan menentang UAE itu, saya memang sangat kecewa dengan sumbangan yang diberikan oleh dua pemain naturalisasi iaitu Liridon Krasniqi dan De Paula.

Begitukah gayanya seorang pemain profesional beraksi yang tiada arah tujuannya.

Bagi saya, ramai lagi pemain tempatan yang berada di bangku simpanan layak untuk mengisi posisi dua pemain ini dan langkah memberi peluang kepada pemain tempatan beraksi juga banyak faedahnya untuk masa depan bola sepak negara.

Secara peribadi, saya berpendapat aksi Liridon telah melunturkan semangat pemain yang lain kerana peranannya di bahagian tengah tidak berfungsi seperti yang diharapkan – akibatnya, pertahanan yang sengsara.

Prestasi De Paula tak payah diperdebatkan kerana jutaan peminat bola sepak negara telah menyaksikan sendiri bagaimana persembahan dia pada perlawanan tersebut malam tadi.

Kalah tak apa, semua boleh terima, tetapi biarlah menunjukkan komitmen yang tinggi.

Sebenarnya, selepas melihat aksi mereka menentang Bahrain dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, saya sangat yakin skuad Harimau Malaya mampu untuk mempersembahkan kualiti bola sepak yang membanggakan.

Begitupun, jangkaan saya meleset sama sekali –  ‘Ku harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’.

Walaupun saya tidak mempunyai pengetahuan dari segi aspek teknikal dalam bola sepak, tetapi secara keseluruhannya saya membuat kesimpulan bahawa corak yang dipamerkan oleh skuad Harimau Malaya pada perlawanan menentang UAE itu adalah ‘main tunggu tetapi tidak begitu kompak’.

Untuk lebih berdaya saing di pentas tertinggi macam ini, kondisi fizikal serta mental para pemain hendaklah mencapai tahap antarabangsa.

Terus terang saya katakan bahawa sebahagian besar pemain dalam pasukan tidak mencapai tahap tersebut dan ia telah menyumbang terhadap keterbatasan kemampuan untuk memberi saingan. Akibatnya – ia akan mengundang seseorang pemain itu untuk membuat kesilapan mudah.

Berkenaan pemain naturalisasi pula, ia bukan satu kesalahan, malah itu merupakan trend bola sepak masa kini yang dibenarkan oleh FIFA.

Hampir semua pasukan di bawah naungan FIFA mengamalkannya.

Namun bagi Malaysia, pemain naturalisasi yang kita ada sangat mengecewakan dan kehadiran mereka tidak membawa sebarang perubahan yang diharapkan, malah prestasi mereka lebih buruk daripada pemain tempatan yang kita ada.

Jadi, lain kali kalau berhajat mendapatkan khidmat pemain naturalisasi, biarlah seseorang pemain itu memilik kelas yang lebih baik berbanding pemain lain dalam pasukan.

Justeru, saya berpendapat bahawa naturalisasi ini hanya sesuai untuk jangka masa pendek dan tidak praktikal untuk jangka masa panjang.

Begitu juga halnya dengan pemilihan pemain. Pilihlah yang terbaik dalam liga domestik dan bukannya pilih berdasarkan ‘hubungan’.

Apa pun, kita berharap skuad kesayangan kita ini terus berjuang dan tampilkan kualiti bola sepak yang boleh membanggakan semua orang.

Jangan rasa bersalah andai kalah, tetapi pertontonkanlah gaya bola sepak yang memukau.

Demi lencana di dada, Selamat berjuang Harimau Malaya! – ASAN AHMAD

Rekod pertemuan Malaysia-UAE

Piala Asia 1980: Malaysia 2 0 UAE

Piala Merdeka 1981: Malaysia 0 UAE 1

Piala Merdeka 1982: Malaysia 1 0 UAE

Persahabatan Antarabangsa 1985: UAE 1 1 Malaysia

Persahabatan Antarabangsa 1985: UAE 0 2 Malaysia

Persahabatan Antarabangsa 1993: Malaysia 0 1 UAE

Persahabatan Antarabangsa 1997: UAE 1 1 Malaysia

Persahabatan Antarabangsa 2007: Malaysia 1 3 UAE

Kelayakan Piala Asia (2009): Malaysia 0 5 UAE

Kelayakan Piala Asia (2010): UAE 1 0 Malaysia

Persahabatan Antarabangsa 2013: UAE 3 1 Malaysia

Kelayakan Piala Dunia (3 Sept 2015): UAE 10 0 Malaysia

Kelayakan Piala Dunia (17 Nov 2015): Malaysia 1 2 UAE

Kelayakan Piala Dunia/Asia (10 Sept 2019): Malaysia 1 UAE 2

Kelayakan Piala Dunia/Asia (3 Jun 2021): UAE 4 0 Malaysia

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here