KECEMERLANGAN KONTINJEN NEGARA DI AUG 2022 SEMAKIN TERSERLAH

0
414

UBON Ratchathani, 4 Ogos – Ungkapan tepat buat kontinjen negara yang sedang berjuang mengharumkan nama Malaysia pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 adalah CEMERLANG.

Sasaran 35 emas sudah berjaya dicapai dengan mudah dua hari lalu dan hari ini angka tersebut sudah berubah kepada 46 pingat emas.

Jika dinilai pada kekuatan keseluruhan kontinjen, terutama selepas ketiadaan beberapa atlet bertaraf ‘bintang’ yang menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel di Birmingham England, misi untuk mencapai sasaran tersebut memang agak berat.

Beberapa atlet yang memang mampu menyumbang emas pada temasya AUG ini telah ‘dilepaskan’ pada saat akhir atas tanggungjawab terhadap negara di Sukan Komanwel.

Ternyata, ketiadaan ‘atlet emas’ ini bukan halangan buat kontinjen negara untuk menampilkan prestasi terbaik di AUG 2022 yang kini sudah memasuki hari ke-10.

Resepi kecemerlangan mereka pada temasya di Ubon Ratchathani ini adalah hasil komitmen, kerja keras, disiplin serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan atlet untuk memburu kejayaan buat negara.

Malah, komitmen yang ditunjukkan oleh Chef de Mission (CDM), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan serta dua pembantunya, Suhairi Ismail dan Dato Dr. Pekan Ramli yang sentiasa mendekatkan diri dengan para atlet, turut menjadi pemangkin untuk melonjakkan semangat para atlet ketika berjuang di gelanggang pertandingan.

Peranan yang dimainkan oleh pasukan sokongan yang terdiri daripada beberapa pegawai kanan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga turut menjadi penyumbang terhadap kejayaan kontinjen negara di Ubon Ratchathani ini kerana setiap keperluan pasukan dilaksanakan dengan sempurna dan lancar.

Boleh dikatakan, hampir semua pasukan dalam kontinjen negara kali ini berjaya membawa pulang kejayaan samada dengan pencapaian pingat emas, perak mahupun gangsa.

Inilah yang lebih penting – kerana ia membuktikan segala persediaan yang dilakukan sebelum bermulanya temasya AUG 2022 ini telah membuahkan hasil yang lumayan walaupun kelancaran persediaannya agak terjejas gara-gara pandemik Covid-19.

Hari ini, sisa-sisa perjuangan jaguh-jaguh negara terus membuahkan hasil yang luar biasa.

Ia bermula dengan pencapaian dua pingat emas yang dirah menerusi acara wushu.

Tan Cheong Wan ternyata tiada tandingan dalam acara kegemarannya iaitu gunshu lelaki apabila menjulang pingat emas selepas merekodkan mata tertinggi 9.65 mata.

Selepas itu, Tammy Tan Hui Ling tampil cemerlang untuk menang emas dalam acara jianshu wanita dengan mencatatkan 9.67 mata dalam aksi final.

Skuad wushu yang ketiadaan emas ketika acara tersebut membuka gelanggang semalam, turut meraih dua pingat perak hari ini menerusi Chuah Shang Yang (nangun lelaki) dan Sydney Chin Sy Xuan dalam acara taijiquan wanita.

Mereka juga memperoleh dua pingat gangsa menerusi Calvin Lee Wai Leong dalam acara nangun lelaki dan Loh Ying Ying (jianshu wanita).

Kejayaan yang dicapai oleh skuad wushu hari ini, secara tidak langsung terus membakar semangat barisan atletnya untuk menampilkan prestasi yang lebih dalam baki saingan pada temasya kali ini.

“Kami akan terus berjuang untuk mencapai sasaran empat emas dan kami optimis mampu melakukannya,sekali gus menyamai kejayaan pada edisi AUG 2018 di Myanmar sebelum ini,” jelas pengurus pasukan skuad wushu, Sharel Rizel.

Pada temasya di Myanmar empat tahun lalu, skuad wushu membawa pulang empat emas, tujuh perak dan empat pingat gangsa.

Skuad sepak takraw yang berdepan Thailand dalam perlawanan akhir acara berpasukan sekadar berpuas hati dengan kemenangan pingat perak selepas tewas 3-0 kepada pasukan tuan rumah.

Silat sekali lagi tampail dengan rentak bergaya apabila berjaya menyumbangkan dua emas, dua perak dan satu pingat gangsa pada saingan hari ini.

Dua emas situ diperoleh menerusi Putra Syaid Hidayatullah Ramli dalam kelas Putra H selepas menewaskan atlet Thailand 5-0 pada perlawanan akhir sementara emas kedua diraih oleh Muhammad Haziq Bistaman yang turut mencatat kemenangan 5-0 ke atas pesilat Thailand dalam kelas Putra J.

Pingat perak di sumbangkan oleh Nur Amira Izzati Khalid dalam kelas Putri C serta Nurizzaty Natasha Kamaruddin (kelas Putri B). Gangsa pula diraih menerusi Muhammad Allif Hakimi Azhar dalam kelas Putra D.

Perjuangan skuad Muay Thai juga tidak menghampakan. Walaupun misi untuk menjulang emas tidak kesampaian, tetapi pencapaian dua pingat perak dan empat gangsa sudah cukup untuk membuktikan bahawa kehadiran mereka di AUG kali ini wajar diberi perhatian oleh pasukan lawan.

Saifullah Ismail dan Kabilan Jelevan Thiagarajan menamatkan saingan mereka dengan kemenangan pingat perak – masing-masingnya menerusi kategori 63.6kg dan 60kg.

Taekwondo pula menghadiahkan dua pingat perak dan satu gangsa buat kontinjen negara. Ia diperoleh menerusi Fucern Put Thia dalam acara kyorugi bawah 54kg dan 58kg lelaki manakala gangsa diraih oleh Puteri Farah Diba Natassha Zakaria dalam acara bawah 73kg wanita.

Esok, perjuangan kontinjen negara untuk memburu emas diteruskan dengan beberapa lagi acara akan turun ke gelanggang antaranya, silat, wushu, petanque, Muay Thai dan yang lainnya.

Skuad bola sepak juga akan beraksi dalam perlawanan akhir esok untuk membuat perhitungan dengan tuan rumah, Thailand.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here