KHM SERAH KEPADA SARJIT CARI FORMULA TERBAIK BUAT SKUAD NEGARA

0
577

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyerahkan kepada Sarjit Singh untuk mencari formula terbaik menyusun struktur ampuh bagi menyatukan skuad lelaki senior dan junior di bawah satu bumbung.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, langkah tersebut bagi membolehkan pasukan hoki negara mempunyai falsafah sama antara kedua-dua pasukan berbanding sebelum ini ‘membuat hal masing-masing’.

Beliau berkata, ia seperti DNA yang diterapkan oleh skuad bola sepak kebangsaan menerusi jurulatih Kim Pan-gon dan E Elavarasan sebelum ini.

“Harapan kita ialah skuad senior dan junior mesti bekerja bersama-sama bukan berasingan macam dulu. Senior bersama senior, manakala junior sesama mereka.

“Ketua jurulatih (Sarjit) akan rungkai perkara ini. Ia masih di peringkat awal dan kita akan terus melihat ke hadapan. Seperti coach Pan-gon lantik Elavarasan jaga skuad B-23 (bawah 23 tahun) sebelum ini,” katanya.

Subahan menjelaskan bahawa Sarjit diberi peluang untuk melantik barisan kejurulatihannya dan salah seorang daripada penolongnya akan mengemudi skuad junior.

Beliau berkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM, Datuk Najmi Razak agar ia dapat berjalan dengan baik.

“Kita mesti bekerjasama (skuad senior dan junior), duduk di bawah satu bumbung. DNA yang sama, game play sama dan atitude sama. Positif energy sebagai satu keluarga.

“Pada masa sama, pemain remaja juga perlu bersedia untuk diserapkan ke dalam pasukan utama,” katanya.

Dalam pada itu, Sarjit memberi bayangan untuk melantik dua penolong jurulatih dan seorang jurulatih penjaga gol selain terbuka menerima pandangan daripada mana-mana pihak bagi membangunkan sukan hoki negara.

“Saya melihat keperluan untuk melantik pembantu tempatan. Salah seorang daripada mereka akan melatih skuad junior,” katanya.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here