PROGRAM FAST TRACK MEDAN PERSEDIAAN HADAPI LA2028

0
506
Bertrand antara atlet yang bakal diserapkan dalam program Fast Track selepas Olimpik Paris.

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil langkah proaktif apabila memperkenalkan Program Fast Track bagi melahirkan atlet muda berbakat baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Inisiatif tersebut selaras dengan pengumuman Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengenai 35 sukan yang akan dipertandingkan pada temasya empat tahun lagi itu termasuk pengenalan lima sukan baharu iaitu besbol/softball, kriket, bola sepak bendera, lacrosse dan skuasy.

Susulan itu, RTG pada satu mesyuarat jawatankuasa Khamis lepas meluluskan program tersebut dan akan bekerjasama dengan MSN untuk memastikan atlet terpilih mendapat sokongan sewajarnya untuk mencapai kecemerlangan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan), Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin (gambar kiri) berkata, misi program berkenaan adalah untuk meningkatkan jumlah pencapaian pingat dan menambah penyertaan kontinjen di Sukan Olimpik.

“Program ini juga mempunyai misi untuk mencari atlet yang mampu memenangi pingat dalam Sukan Olimpik lain selain badminton, terjun dan berbasikal.

“Kami mahu lonjak prestasi atlet muda dalam masa empat tahun, berbanding lapan tahun,” katanya.

Beliau menjelaskan kriteria pemilihan Program Fast-Track termasuk pernah memenangi pingat pada Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Komanwel.

“Turut berpeluang diserap ke dalam program itu ialah pemenang pingat pada Kejohanan Dunia, berada dalam ranking Olimpik 16 terbaik dunia dan dalam kelompok ranking 20 dunia,” katanya.

Jefri menjelaskan, jawatankuasa RTG bersetuju memasukkan penerjun muda, Bertrand Rhodict Lises dalam Program Fast Track bagi memberikan sokongan segera kepadanya ke Sukan Olimpik Paris.

Tambah beliau, Bertrand kekal sebagai prospek kukuh untuk pingat pada Sukan Olimpik LA2028 dan akan disokong melalui latihan di luar negara dan perkhidmatan sokongan menjelang Sukan Olimpik Paris.

“Sebaik sahaja Olimpik Paris berakhir, Bertrand Rhodict akan ditempatkan dalam Program Fast Track. Turut berada dalam program itu ialah Enrique Maccartney Harold,” katanya.

Menurut Jefri, MSN dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia telah memulakan perbincangan untuk Sukan Olimpik LA2028 melalui bengkel anjuran kedua-dua pihak pada 19 Februari lalu.

Skuasy antara sukan yang bakal diberi perhatian bagi menghadapi LA2028.

Beliau berkata, inisiatif untuk skuasy akan bermula selepas Sukan Olimpik Paris dan empat atlet negara telah dikenal pasti berpotensi untuk bersaing pada Sukan Olimpik LA2028.

“Mereka ialah Ng Eain Yow, S.Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman. Keempat-empat atlet ini akan kekal di bawah Program Podium buat masa ini dan diserap ke dalam Progam Fast Track selepas Sukan Olimpik Paris,” katanya.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here