KUALA LUMPUR, 24 Mac – Jelajah berbasikal terbesar Asia – Le Tour de Langkawi kembali menemui para peminatnya pada Jun ini.
Tahun lepas, kejuaraan ini dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.
Walaupun Malaysia kini masih berada dalam era pandemik Covid-19, namun Kementerian Belia dan Sukan (KBS), penganjur acara Human Voyage dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan untuk menganjurkan saingan edisi 2022 bagi meneruskan tradisi dan kesinambungan LTdL sebagai acara jelajah berbasikal paling berprestij di negara ini.
Sebagai permulaan, majlis Pengenalan Laluan LTdL 2022 telah dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Padang Awam Klebang Restu Ipoh pada 20 Mac lalu dan ia berlangsung meriah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.
Saingan bagi edisi ke-26 berstatus UCI ProSeries ini dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 18 Jun nanti dan ia meliputi laluan sejauh 1,183 kilomater (km) membabitkan lapan peringkat perlumbaan menyusuri laluan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Pulau Langkawi.
Pada majlis pelancaran Pengenalan Laluan LTdL 2022 itu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata bahawa LTdL 2022 menjadi acara yang ditunggu-tunggu selepas tidak menemui peminat pada tahun lepas akibat wabak Covid-19, sekali gus memaksa pembatalan kebanyakan acara sukan tempatan dan antarabangsa utama selama hampir dua tahun di negara ini.
“Dengan kembalinya LTdL 2022, para peminat sukan berbasikal tentu berasa teruja selain membantu merancakkan semula aktiviti ekonomi negara. LTdL ini juga diharap dapat membuka mata mengenai keadaan sebenar dalam negara, terutamanya tahap keselamatan dan langkah ketat yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengawal penularan wabak Covid di negara ini,” jelasnya.
Ahmad Faizal juga yakin perlumbaan tahun ini tiada beza dengan kehebatan edisi-edisi sebelum ini, kalau tidak pun lebih menarik dan sengit dengan kehadiran pelumba dan pasukan utama antarabangsa.
“Tetapi yang paling penting ialah memastikan semua pihak terbabit terutamanya warga LTdL, pelumba, tetamu dan orang ramai sentiasa menjaga tahap keselamatan kesihatan masing-masing dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk penganjuran acara sukan,” ujarnya lagi.
Perlumbaan LTdL berstatus Pro Series, iaitu setakuk di bawah kategori tertinggi Siri Jelajah Dunia UCI iaitu Tour de France, Giro d’Italia, Vuelta Espana, saingan Klasik serta perlumbaan Jelajah Dunia lain.
Berbeza saingan 2020 yang bermula di Kuching, Sarawak, LTdL 2022 kembali dan berpusat di Semenanjung serta tertumpu di Pantai Barat.
Ia akan bermula di Kuala Lumpur, menyusuri laluan ke selatan di Kuala Pilah, sebelum merentasi Kuala Klawang ke Raub seterusnya pendakian getir ke Genting Highlands yang hadir seawal peringkat ke-3 dari Putrajaya.
Satu lagi laluan pendakian getir dari pekan Kuah ke Gunung Raya di Langkawi bakal menjadi tarikan sebelum penamat dengan laluan loop di Langkawi.
Sejak bermula pada 1996 dengan kategori 2.6, LTdL menjadi gelanggang pilihan pasukan dan pelumba profesional termasuk dari negara kuasa besar sukan berbasikal seperti Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Britain dan beberapa negara Eropah lain.
Nama-nama besar seperti bekas juara Tour de France Egan Bernal, legenda Itali Andrea Tafi, bekas juara dunia Paolo Bettini, Alessandro Pettachi, Floyd Landis,Chris Horner, Julio Perez, Rinaldo Nocentini, Jan Koerts, Stuart O’Grady, Thomas Voeckler, Gabriele Missaglia, Steven Kruijswijk dan pakar pecut Caleb Ewan dari Australia pernah mewarnai edisi-edisi LTdL sebelum ini.
Dengan kembalinya LTdL, acara sukan dan komuniti juga dirancang bagi menarik minat masyarakat setempat membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, penaja, peminat sukan dan rakyat keseluruhan untuk menjadikan LTdL 2022 lebih meriah dan menarik.
JADUAL LALUAN LTdL 2022 (8 PERINGKAT)
PERINGKAT 1: Sabtu, 11 Jun 2022
Kuala Lumpur – Kuala Pilah (160km)
PERINGKAT 2: Ahad, 12 Jun 2022
Klawang – Raub (170km)
PERINGKAT 3: Isnin, 13 Jun 2022
Putrajaya – Genting Highlands (133km)
PERINGKAT 4: Selasa, 14 Jun 2022
Kuala Selangor – Tambun (190km)
PERINGKAT 5: Rabu, 15 Jun 2022
Kuala Kangsar – Kulim (167km)
PERINGKAT 6: Khamis, 16 Jun 2022
Gerogetown – Alor Setar (148km)
PERINGKAT 7: Jumaat, 17 Jun 2022
Kuah – Gunung Raya, Langkawi (105km)
PERINGKAT 8: Sabtu, 18 Jun 2022
Kuah – Langkawi Loop (110km)