MALAYSA TOLAK JADI TUAN RUMAH SUKAN KOMANWEL 2026

0
402

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Menurut satu kenyataan daripada KBS, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasinya.

Delegasi daripada CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua pada 5 Februari lalu.

Hasil pertemuan itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenalpasti dalam jangka masa singkat ini.

Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Sebelum ini, CGF telah membuat tawaran tersebut kepada Malaysia selepas tuan rumah, Australia menarik diri gara-gara kos penganjurannya yang sangat membebankan.

Difahamkan, selain Malaysia, CGF turut menawarkan peluang buat negara jiran, Singapura untuk menjadi tuan rumah temasya sukan edisi ke-23 itu.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998.

 

About The Author