MALAYSIA SASAR TIGA PINGAT DI OLIMPIK TOKYO

0
445
Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Tiga pingat menjadi sasaran kontinjen negara di Sukan Olimpik 2020 Tokyo yang bermual pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Ia diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini.

Daripada jumlah tiga pingat itu, satu daripadanya adalah sasaran emas.

Secara realistiknya, Reezal Merican berkata sukan badminton, berbasikal trek dan terjun menjadi sandaran utama untuk merealisasikan misi di Tokyo sekali gus membawa pulang pingat emas sulung yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

“Barisan atlet negara tidak memerlukan tekanan yang berlebihan, tetapi mereka juga tidak mahu dinafikan kemampuan masing-masing malah ada dalam kalangan mereka yang benar-benar mempunyai kesungguhan dan telah menyatakan hasrat ingin mencapai dan menggapai impian membawa pulang pingat,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Terdahulu Reezal Merican mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) secara dalam talian.

Pada edisi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, tiada sebarang sasaran spesifik diletakkan buat kontinjen negara namun Malaysia berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa.

Pada Olimpik kali ini, Malaysia akan diwakili oleh 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan.

Pada masa sama, Reezal Merican turut mengumumkan sasaran tiga pingat emas buat kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo sekali gus menyamai pencapaian pada edisi 2016 di Rio de Janiero.

“Sandaran pada sukan olahraga para, powerlifting, badminton dan memanah yang diharap dapat menghasilkan momentum dan prestasi cemerlang di Tokyo,” katanya sambil mengesahkan seramai 22 atlet para negara telah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo dijadual bermula 24 Ogos hingga 5 Sept ini.

Sementara itu, Reezal Merican melihat keputusan meletakkan sasaran kepada kontinjen negara di Sukan Olimpik adalah sebagai satu cara membalas kesungguhan ditonjolkan barisan atlet negara yang memiliki misi berbeza di Tokyo.

Beliau berkata terdapat dalam kalangan atlet negara yang secara peribadi berjumpa dengannya dan meminta untuk diletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) pada temasya sukan tersebut.

Sementara itu, Reezal Merican tanpa mendedahkan angka mengakui perbelanjaan negara dalam mempersiapkan atlet menghadapi temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik berada pada tahap rendah jika dibandingkan dengan negara lain.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here