MISBUN MAHU PARA PEMAIN REMAJA BINA KARISMA JIKA INGIN BERJAYA

0
732
V.Poopathy

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Barisan pemain remaja negara harus memiliki karisma untuk membuat keputusan sendiri ketika beraksi di gelanggang.

Mereka perlu lebih kreatif untuk mencorakkan gaya permainan masing-masing jika mahu menjadi seorang pemain yang berjaya.

Demikian tegas Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek kepada 24 pemain yang akan beraksi pada pusingan play-off Kejohanan Badminton 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 minggu ini.

Menurut Misbun, mereka harus fokus untuk memberi tumpuan terhadap beberapa aspek yang boleh membantu mempertingkatkan lagi kemampuan diri.

“Saya mahu melihat karisma setiap pemain, sebagai contoh bagaimana dia bergerak, tahap kecergasan, kawalan bola dan kemahiran teknikal serta mencari mata menggunakan corak taktikal tersebut.

“Menang atau kalah tidak mengapa, tetapi apa yang penting adalah mereka menunjukkan karisma seperti yang saya sebutkan dan ia akan membantu dalam menentukan hala tuju mereka,” jelas Misbun.

Sementara itu, V. Poopathy bertekad untuk menebus kekecewaannya selepas gagal beraksi dengan baik pada Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 Oktober lalu selepas menduduki tangga ke-9 dengan hanya meraih dua kemenangan menerusi sembilan perlawanan yang diharunginya.

“Ketika itu tahap keyakinan saya agak menurun kerana hampir tewas dalam semua perlawanan, tetapi jurulatih, ahli keluarga dan rakan rakan terus memberi kata-kata semangat.

“Sepanjang sesi latihan saya lebih banyak memberi tumpuan terhadap tahap kecergasan serta mental ketika di gelanggang. Sudah tentu saya mahukan kemenangan untuk kekal dalam Divisyen 1 meskipun saya tahu pemain-pemain lain turut menyasarkan impian yang sama,”kata V Poopathy.

Juara kumpulan B bagi kategori perseorangan lelaki kejohanan tersebut, Eogene Ewe Eon pula menumpukan latihan untuk meningkatkan stamina dan kelajuan sebelum turun beraksi esok.

Malah, Eogene berharap keadaannya berada pada tahap optimum sepanjang kejohanan itu nanti, sekali gus meneruskan rekod cemerlang dalam setiap perlawanan.

“Sudah tentu semua pemain dalam kumpulan ini mahukan kemenangan. Pertandingan ini amat bermakna kepada kami kerana sudah lama ketiadaan kejohanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pertandingan ini memberi ruang kepada kami untuk menilai sejauh mana kemajuan yang dicapai selepas menjalani tempoh latihan yang agak panjang sebelum ini”,

Selain Poopathy dan Eogene, turut berada dalam kumpulan A dan B acara perseorangan lelaki adalah Anson Cheong dan Dylan Ooi Ding Sheng.

“Menang atau kalah bukan perkara utama, apa yang penting adalah berusaha dengan lebih gigih untuk memburu impian yang lebih besar,” kata Eogene.

Pemain-pemain daripada kumpulan lain yang turut beraksi adalah Tan Shen Thing, Chong Jie Yu, Oo Shan Zi, dan Carmen Ting yang akan bersaing bagi kategori perseorangan perempuan kumpulan B dan C manakala Low Han Chen, Ferdinan Ramno, Lok Hong Quan, dan Aaron Tai bagi saingan perseorangan lelaki.

Tan Zhing Hui, Wong Lily, Shaneesa Shahidi dan Noraqilah Maisarah Ramdan pula akan beraksi dalam perseorangan perempuan kumpulan C dan D manakala saingan bagi perseorangan lelaki akan melibatkan Kee Is Qian, V. Tamilarasukumar, Kong Teck Joon dan Lee Yen Wei.

Kejohanan Play-off 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 dijadualkan bermula pada 4 hingga 6 November ini di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Sejumlah 24 pemain yang terdiri daripada dua pemain terbaik bagi kumpulan B, C dan D perseorangan lelaki dan perempuan akan bersaing dengan dua pemain tercorot bagi kumpulan A, B, C dan D ketika saingan 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 Oktober lalu menerusi format round robin di perlawanan play-off kali ini bagi menentukan ranking mereka.

Pertandingan akan dilangsungkan secara tertutup melibatkan pemain-pemain remaja yang kembali menjalani latihan secara berperingkat di Akademi Badminton Malaysia, ABM pada Julai lalu.

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here