‘ORANG BESI’ HANAPIAH NASIR MENINGGAL DUNIA

0
917

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Bekas atlet olahraga negara yang mendapat jolokan ‘Orang Besi’, Mohamad Hanapiah Nasir, 66, meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Punca dipercayai akibat penyakit leukemia yang dihidapinya sejak 2015.

Menurut Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, bekas jaguh acara dekatlon negara itu dimasukkan ke HKL sejak pukul 4 petang semalam apabila tekanan darah dan tahap oksigennya didapati merosot.

Beliau dilahirkan pada 12 Oktober 1957 di Kampung Ayer Barok, Jasin, Melaka.

“Jenazahnya dilaporkan dibawa ke Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi esok,” kata Ariffin.

Sepanjang mewakili negara, empat pingat emasnya diraih menerusi acara dekatlon pada 1981 (6,719 mata) dan 1983 (6,890 mata), 110 meter berpagar (14.65 saat) dan lompat jauh (7.59 meter) pada 1985.

Hanapiah pernah bertugas di sebuah bank komersial dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selain sebagai ketua jurulatih negara dari 2005 hingga 2009.

Dekatlon menghimpunkan 10 disiplin balapan dan padang iaitu acara 100, 400 dan 1,500 meter serta 110 meter lari berpagar, lompat jauh, lontar peluru, lompat tinggi, lempar cakera, rejam lembing dan lompat bergalah.

Dia bergelar atlet negara mulai 1979 hingga 1991 dengan pingat emas pertamanya ialah pada Piala Suharto (Kejohanan Olahraga ASEAN) di Kuala Lumpur.

Setahun kemudian, dia telah dinobatkan Olahragawan Selangor 1985 serta Atlet Terbaik Sukan SEA 1985.

Antara atlet negara pernah dibimbingnya ialah Zaki Sadri, Nur Herman Majid, Loo Kum Zee, Nooraisah Ismail, Doris Chong, Moh Siew Wei, Hii Siew Ngiik dan Romzi Bakar.

Al Fatihah buat arwah, moga beliau ditempatkan dalam kalangan insan beriman.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here