PERLUMBAAN PRO-AM ADA KELAS TERSENDIRI

0
3436

 

NUR Atikah dan Nuraina (gambar bawah) adalah dua pelumba wanita yang mewarnai kategori Pro-Am tahun ini.

SEPANG, 18 Julai – Kategori Pro-Am mungkin tidak sehebat persaingan dalam kelas utama seperti CP125 mahupun CP150, tetapi ia tetap seronok untuk ditonton.

Boleh dikatakan, ia memiliki kelas tersendiri kerana segala keperluan diurus oleh pelumba itu sendiri setiap saingan musim baharu bermula.

Mereka bukan sekadar berlumba tetapi juga memiliki kelebihan dari segi pengurusan, persiapan dan sebagainya.

Pro-Am ini merupakan salah satu perlumbaan sokongan dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan ia bertindak sebagai gelanggang buat para pelumba semi-amatur untuk membuktikan kehebatan masing-masing.

Kategori Pro-Am terbuka kepada para pelumba persendirian yang tidak mendapat penajaan daripada mana-mana sektor korporat.

Walaupun popularitinya agak tenggelam serta kurang mendapat publisiti berbanding kelas utama, tetapi perlumbaan bagi kategori Pro-Am tetap mendapat sambutan sejak ia mula diperkenalkan di Cub Prix beberapa tahun lalu.

Setiap musim, lebih 20 pelumba tampil menyahut cabaran untuk bersaing dalam kategori Pro-Am, dan perkembangan tersebut dianggap sesuatu yang sangat memberangsangkan.

Ia juga dilihat sebagai medan bagi menarik minat anak-anak muda untuk turut serta, daripada membuang masa melibatkan diri dengan aktiviti ‘merempit’ di jalanan.

Yang pasti, ia gelanggang yang selamat berbanding perlumbaan haram di atas jalan raya.

Hari ini, kategori Pro-Am membuka tirainya di Litar Sepang (utara) membabitkan 21 pelumba beradu tenaga untuk memburu podium pertama bagi musim 2020 ini.

Menariknya, dua pelumba wanita antara yang tampil untuk melontarkan cabaran beraksi dalam kategori tersebut iaitu, Nuraina Halisya Hamirudin dan pendatang baharu, Nur Atikah Azwar.

Penampilan mereka ternyata tidak menghampakan kerana tetap berupaya meraih mata pada perlumbaan pertama itu musim ini.

Nuraina yang sudah memiliki banyak pengalaman beraksi di Cub Prix, menamatkan perlumbaan akhir di kedudukan ke-13, sekali gus meraih 3 mata manakala Atikah yang membuat kemunculan pertama, berupaya meraih 1 mata selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-15.

Kejayaan meraih satu mata pada penampilan pertama adalah satu kebanggaan, lebih-lebih lagi apabila berdepan cabaran bersaing dengan ramai pelumba lelaki.

Perlumbaan akhir kategori Pro-Am itu dikuasai pelumba asal Selangor, Md Usammah Md Narzam yang merekodkan catatan masa 8:55.707 saat (s) manakala tempat kedua menjadi milik pelumba Kuala Lumpur, Md Zulhilmi Yazid dengan masa 8.58.228s.

Dengan kemenangan tersebut, Usammah (gambar kiri) berjaya meraih 25 mata dan Zulhilmi pula membawa pulang 20 mata.

Tempat ketiga pula diraih Md Asyraf Daniel Md Zamri (Selangor) yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9:06.316s, sekali gus memungut 16 mata kejuaraan.

Selepas aksi di Sepang ini, mereka akan berehat seketika sebelum mengharungi aksi Pusingan 2 yang dijadualkan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 22-23 Ogos depan.

 

 

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here