PKBM CALONKAN AMARJIT UNTUK JAWATAN PRESIDEN ACC BAGI PENGGAL 2021-2025

0
909

MELAKA, 27 Jan – Malaysia bakal melakar sejarah apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersetuju mencalonkan Datuk Amarjit Singh sebagai calon Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) bagi pemilihan penggal 2021–2025.

Keputusan tersebut dicapai sebulat suara pada Mesyuarat Exco PKBM secara atas talian yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab kelmarin.

Abu Samah

Abu Samah menjelaskan bahawa keputusan Exco PKBM itu membuktikan Malaysia tidak ketandusan pemimpin pada peringat Asia kerana sebelum ini Tan Sri Darshan Singh pernah menerajui ACC.

“Tan Sri adalah bapa kepada Amarjit. Memang ini satu lakaran sejarah yang sangat unik kepada Malaysia. Saya amat berharap Amarjit akan menang pada pemilihan Presiden ACC bagi penggal 2021–2025 nanti,” kata Abu Samah.

Beliau menjelaskan bahawa dia juga pernah menjadi pemangku Presiden ACC dan beberapa kali mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif ACC rentetan Presiden ACC, Cho Hee Wook dari Korea Selatan tidak dapat hadir kerana sakit.

“Justeru, pencalonan ini sangat bermakna buat PKBM dan Amarjit sendiri. PKBM percaya dan yakin dengan kebolehan yang dimiliki Amarjit,” katanya.

Sebagai rekod, Amarjit merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berpangkalan di Aigle, Switzerland.

Di peringkat ACC, beliau adalah Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC yang turut menyandang jawatan Bendahari.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) menjelaskan pencalonan Amarjit turut mendapat restu daripada majoriti negara ASEAN khususnya Presiden Persatuan Berbasikal Thailand (TCA), General Decha Hemkasri.

“Pencalonan Amarjit telah dimaklumkan kepada semua rakan-rakan di negara ASEAN. Saya telah menerima maklum balas positif daripada semua Presiden berbasikal di rantau ini. Sebagai rekod, ada 11 undi daripada rantau Asia Tenggara. Kekuatan kita ialah sentiasa bersatu padu untuk menaikkan Amarjit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amarjit berterima kasih kepada PKBM kerana mengambil keputusan besar untuk menyokong pencalonannya menerajui ACC bagi penggal 2021–2025.

“Saya merupakan calon pertama yang menyerahkan borang pencalonan untuk jawatan Presiden ACC bagi penggal 2021–2025. Ini bukti komitmen tinggi daripada saya. Saya juga berasa gembira kerana PKBM telah mengesahkan pencalonan saya.

“Ini sangat penting kerana ia bukti saya diterima sepenuhnya di peringkat nasional. Calon Presiden ACC mesti disahkan oleh persatuan kebangsaan negara asal, bukannya dicalonkan oleh negara lain,” katanya.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here