SAM HARGAI JASA DUA TOKOH SUKAN NEGARA

0
747

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Jasa serta pengorbanan dua tokoh hebat dalam pentadbiran sukan di Malaysia sentiasa dikenang oleh segenap lapisan masyarakat terutama dalam kalangan komuniti sukan negara.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa mendiang Datuk Sieh Kok Chi dan Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong dalam pembangunan sukan, Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) memilih kedua-dua tokoh sukan yang tidak asing lagi dalam tinta sukan negara sebagai penerima Anugerah Khas pada majlis Anugerah 100PLUS Perpaduan SAM 2020/2021.

Anugerah Khas berkenaan akan disampaikan pada majlis gilang gemilang yang akan diadakan pada 6 September ini di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya .

Menteri Perpaduan Datuk Halimah Sadique dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dijadualkan menghadiri Majlis Anugerah 100PLUS Perpaduan SAM 2020/2021.

“Pemergian mendiang Datuk Sieh Kok Chi dan Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong pastinya meninggalkan ruang besar dalam arena sukan negara dan jasa dan sumbangan kedua-dua tokoh sukan negara ini amat besar kepada arena sukan negara,” kata Presiden SAM Norismadi Abdul Manap.

Jasa mendiang Datuk Sieh Kok Chi dalam pembangunan sukan negara amat besar dan bukan calang-calang sehingga ketika hayatnya, Datuk Sieh Kok Chi terkenal dengan julukan ‘Wikipedia’ sukan Malaysia terutama dalam kalangan warga media sukan tanah air.

Sebagai orang lama, pengalaman, kepimpinan dan kebetahannya terhadap persekitaran sukan negara menjadikan tiada apa yang terlepas daripada pengamatannya. Nasihat, kata-kata semangat dan menjadi tempat rujukan adalah sumbangan yang telah dilakukan mendiang Datuk Sieh Kok Chi kepada Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Bermula dengan jawatan Setiausaha Kesatuan Renang Selangor dari 1971, mendiang menimba pengalaman secukupnya sebelum melangkah ke medan lebih mencabar sebagai pemimpin besar dalam persatuan sukan peringkat kebangsaan.

Daripada memenangi jawatan Setiausaha Kehormat Renang Amatur Malaysia pada 1975 hingga 1982, mendiang Datuk Sieh Kok Chi Kok Chi yang dilahirkan pada 8 November 1938 menghabiskan 10 tahun dengan berkhidmat secara sukarela di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sejak 1974 apabila pernah terlibat dalam pelbagai jawatankuasa dan pasukan petugas bandan induk itu sebelum mengambil alih kerusi Setiausaha Kehormat MOM pada 1992 hingga 2015.

Datuk Sieh Kok Chi juga memainkan peranan dalam Dana Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee, Dana Amanah MOM, dana kategori B, dasar pembayaran balik untuk penyertaan dalam permainan pelbagai sukan dan banyak lagi.

Datuk Sieh Kok Chi meninggal dunia pada usia 83 tahun pada 16 Julai 2022. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mendiang Datuk Sieh Kok Chi sentiasa terpahat dalam sejarah sukan negara dan juga meninggalkan kenangan manis buat warga media sukan Malaysia.

“Bagi kami warga media, banyak kenangan dicipta apatah lagi mendiang Datuk Sieh Kok Chi terkenal dengan gelaran ‘Wikipedia’ sukan sebab apa-apa saja yang ditanyakan, pasti ada jawapan,” kata Norismadi.

Kalau melihat kepada raut wajah, tiada siapa menyangka bahawa Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong adalah seorang pentadbir sukan yang periang dan mudah didekati namun pada masa sama seorang yang tegas dan sangat berpegang kepada prinsip.

Datuk Zolkples terkenal dengan sikapnya yang lantang dalam melontarkan kritikan, tidak berselindung dalam menyuarakan pendapat dan petah ketika mempertahankan sesuatu dasar. Terlalu banyak pembabitan Allahyarham dalam sukan tanah air.

Allahyarham Datuk Zolkples yang dilahirkan pada 29 Februari 1959 menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) selama tujuh tahun sejak April 2007 hingga Disember 2014.

Allahyarham kemudian dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) pada 2017.

Pengalaman sebagai pentadbir persatuan sukan juga tidak dapat dinafikan lagi. Allahyarham pernah menggalas jawatan Setiausaha Kehormat BAM dari 2000 hingga 2002, ahli jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2006 hingga 2014 di samping pelbagai peranan dalam sukan hoki dan golf.

Allahyarham Datuk Zolkples juga adalah individu yang sentiasa menyokong dan memberi bantuan ke atas program anjuran SAM.

Datuk Zolkples meninggal dunia pada usia 62 tahun tanggal 3 Oktober 2021 dipercayai kerana serangan jantung.

“Allahyarham Datuk Zolkples tidak pernah menolak atau mengelak daripada media. Walaupun sudah meninggalkan institusi pentadbiran sukan, namun Allahyarham sentiasa menjadi rujukan media dalam mendapatkan komen, kritikan dan juga pendapat berkaitan isu sukan negara,” jelas Norismadi.

Selain Anugerah Khas, dua lagi kategori; Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2020/2021 dijangka menjadi tumpuan bagi melihat siapakah atlet negara yang bakal menaiki pentas untuk bergelar pemenang.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet, Anugerah Perpaduan-100Plus-SAM 2020/2021 turut memberikan pengiktirafan kepada wakil-wakil media tempatan.

Sebanyak lapan kategori dipertandingankan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), Fotografi Sukan Terbaik, Laporan Perpaduan Terbaik dan Fotografi Perpaduan Terbaik.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM7,000.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here