SAYA YAKIN MALAYSIA MAMPU SEKAT INDONESIA

0
445

Catatan ASAN AHMAD, 15 Oktober 2021

INDONESIA akan menjadi lawan skuad badminton negara pada pusingan suku akhir kejohanan badminton Piala Thomas 2021 hari ini.

Perlawanan tersebut akan berlangsung di Aarhus, Denmark hari ini, 15 Oktober (kira-kira pada pukul 7.30pm waktu Malaysia).

Malaysia yang menamatkan saingan peringkat kumpulan D di tempat kedua selepas tewas 1-4 kepada Jepun, diundi menentang Indonesia pada perlawanan suku akhir itu nanti.

Pada pandangan peribadi saya, Malaysia dilihat berpeluang untuk mengatasi Indonesia dengan syarat barisan pemain negara yang bakal diturunkan pada perlawanan itu nanti tampil dengan aksi terbaik mereka.

Pada perlawanan terakhir peringat kumpulan D menentang Jepun semalam, rentak permainan pemain negara agak menurun berbanding aksi mereka ketika beraksi pada kejohanan Piala Sudirman dua minggu lalu.

Nasib baiklah tugas skuad negara pada peringkat kumpulan ini tidak begitu berat selepas England menarik diri daripada kejohanan Piala Thomas kali ini.

Jika kena dengan gayanya, Malaysia mungkin mampu melangkah ke final kerana saya yakin barisan kejurulatihan negara sudah dapat mengenalpasti kelebihan yang ada pada para pemain negara selepas aksi menentang Jepun semalam.

Mungkin mereka sudah mendapat strategi terbaik sebagai persediaan menghadapi Indonesia di suku akhir hari ini.

Kekuatan Malaysia dan Indonesia ketika ini dilihat seimbang. Mungkin kelebihan akan memihak kepada Malaysia kerana beberapa muka baharu yang ditampilkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada saingan Piala Thomas kali ini dilihat lebih bertenaga dan berdaya saing.

Indonesia mungkin sudah boleh membaca kelebihan yang ada pada Lee Zii Jia, namun kekuatan yang ada pada dua lagi pemain perseorangan negara iaitu Cheam Jun Wei dan juga Leong Jun Hao bakal menjadi ancaman buat mereka.

Tidak banyak yang mereka ketahui dengan dua pemain muda negara ini dan kelebihan inilah yang harus dipergunakan sebaik mungkin oleh Malaysia untuk memerangkap lawan mereka itu nanti.

Jun Wei pernah menewaskan Jonatan Christie pada kejohanan berpasukan Asia tahun lalu dan jika pemain berusia 24 tahun itu tampil dengan aksi terbaiknya, peluangnnya untuk menang ke atas Jonatan amat cerah.

Jun Hao telah memperlihatkan kemampuannya ketika menewaskan pemain perseorangan ketiga Jepun, Kenta Nishimoto semalam dan saya yakin dia mampu menjinakkan perseorangan ketiga Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

Pemain perseorangan ketiga Indonesia ini tidak mempunyai banyak ‘senjata’ untuk memerangkap pemain lawan, dan saya yakin Jun Hao berupaya mencatat kemenangan mudah.

Lee Zii Jia perlu tampil dengan strategi yang betul jika dia diturunkan menentang Anthony Sinisuka Ginting. Kemenangan Zii Jia amat penting pada aksi suku akhir itu nanti kerana ia akan membangkitkan semangat pemain lain dalam skuad.

Semalam, strategi Zii Jia ketika menentang Kento Momota agak silap kerana dia bermula sangat agresif pada set pertama dan akibatnya dia kelihatan letih dalam set kedua.

Pada set penentuan, ia adalah ‘mental strength battle’ dan Momota telah mempergunakan sepenuhnya pengalaman yang ada untuk memenangi perlawanan tersebut.

Peluang skuad negara dalam acara beregu adalah 50-50. Prestasi beregu utama Indonesia iaitu Kevin Sanjaya dan Marcus Gideon agak menurun ketika ini. Kemungkinan besar beregu ini bakal diturunkan untuk berdepan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kerana Indonesia berpendapat gandingan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto belum mampu untuk menyaingi kehebatan beregu negara kita.

Bagi beregu kedua, Indonesia bakal memberi kepercayaan kepada Hendra Setiawan-Muhamad Ahsan.

Dalam baki perlawanan yang ada ini, skuad negara tidak boleh lagi memikirkan bahawa penyertaan mereka pada Piala Thomas sebagai medan pendedahan.

Apabila sudah layak beraksi pada kejohanan besar seperti ini, pendedahan bukanlah alasan tepat. Ini adalah tempat untuk melakar kemenangan.

Kalau nak bagi pendedahan – para pemain harus lebih kerap dihantar beraksi pada kejohanan Terbuka antarabangsa dan selepas itu ke peringkat Super Series. Ini baru proses pendedahan.

Apa pun, kita berharap agar semua pemain negara tampil dengan aksi terbaik mereka pada perlawanan menentang Indonesia nanti dan jika menang, peluang untuk melangkah ke final adalah cerah.

Jika berjaya melepasi cabaran Indonesia, saya yakin barisan pemain negara mampu menyekat sama ada India mahupun Denmark di separuh akhir.

Ramai yang menganggap, Denmark dilihat mempunyai skuad yang serba lengkap pada saingan kali ini, selain mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri.

Bagi saya, peluang skuad kita dengan Denmark adalah 50-50 dan begitu juga dengan India.

Misi utama adalah untuk menyekat kemaraan Indonesia terlebih dahulu kerana ia bakal menjadi ‘turning point’ buat skuad negara kita untuk melangkah lebih jauh.

Kita hampir melakukannya pada edisi 2014 lalu, namun tewas 2-3 kepada Jepun di final.

Ini prediksi peribadi saya –  skuad negara bakal meraih kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di suku akhir nanti dan jika keputusan berubah, Indonesia juga bakal meraih kemenangan dengan agregat yang sama.

Saya mempunyai keyakinan bahawa skuad negara bakal menang dalam dua acara perseorangan dan satu beregu. InsyaAllah…

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here