SEMUA PETUGAS MEDIA YANG AKAN KE OLIMPIK DAN PARALIMPIK TOKYO SELESAI DIVAKSIN

0
469

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Isnin) –  Rakan-rakan media yang akan membuat liputan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo Julai depan, telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC) hari ini.

Sebahagian besar daripada mereka adalah ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Proses vaksinasi untuk media itu akhirnya dapat direalisasikan dengan kerjasama pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Majlis Olimpik Malaysia (OCM) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

Sebelum ini SAM telah menghantar permohonan bagi pihak beberapa agensi media kepada MOSTI agar memberi keutamaan kepada ahli-ahlinya yang akan membuat liputan dua temasya sukan terbesar di Tokyo nanti.

Permohonan SAM telah mendapat perhatian MOSTI, sekali gus mengesahkan tarikh buat ahli-ahli SAM untuk menerima dos pertama vaksin Covid-19 itu.

Presiden SAM, Norismadi Abd Manap mengucapkan terima kasih kepada pihak MOSTI, khususnya Menteri, YB Khairy Jamaluddin yang telah memberi kerjasama terhadap permohonan SAM bagi membolehkan ahli-ahlinya menerima suntikan lebih awal sebelum mereka memulakan tugas di Sukan Olimpik Tokyo nanti.

Menurut Norismadi, semua ahli SAM yang akan membuat liputan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo selesai divaksin hari ini.

“Bagi pihak Exco SAM, saya mengucapkan terima kasih kepada MOSTI, YB Khairy, MSN dan juga OCM atas kerjasama yang telah mereka berikan bagi merealisasikan proses suntikan vaksin kepada ahli-ahli SAM.

“Terima kasih juga kepada pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang turut memberi kerjasama bagi melancarkan proses vaksinasi ini.

“Hari ini, 53 daripada 54 ahli SAM yang akan membuat liputan Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo sudah selesai menerima suntikan vaksin jenis Pfizer manakala seorang lagi akan divaksin esok,” jelas Norismadi.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here