TUNEBOSS-PINK RACING TEAM ‘BUKAN ANAK BAHARU LAHIR KEMARIN SORE’

0
1244

SEPANG, 21 Mac – Tuneboss-Pink Racing Team. Ini pendatang baharu dalam kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ni.

Ia baharu ditubuhkan akhir tahun lalu dan pemiliknya merupakan seorang YouTuber wanita, Nur Atikah Azwar, 25 tahun atau lebih dikenali sebagai Rider Helmet Pink.

Dia dianggap wanita termuda pertama yang memiliki pasukan sendiri pada kejuaraan Cub Prix Malaysia dan tahun lalu beliau pernah bersaing dalam kategori Pro Am.

Menariknya, pasukan ini diwakili dua pelumba wanita dan seorang pelumba lelaki yang masing-masingnya bersaing dalam kategori CP125 dan Wira.

Siti Norafizah Mohamad, 26, berasal dari Johor, memikul cabaran beraksi dalam kelas CP125 bersama Md Harith Farhan Baharin dari Terengganu manakala Siti Norsyafiyah Alia Saarizan yang berasal dari Perak menggalas cabaran dalam kelas Wira.

FIFI

Pada penampilan pertama di Cub Prix tahun ini, Tuneboss-Pink Racing tidak mengimpikan penyudah podium kerana mereka sedar dengan segala kekurangan yang ada pada pasukan.

Misi pertama mereka adalah untuk menimba pengalaman secukupnya dalam sukan dua roda berprestasi tinggi ini dan daripada situ, mereka akan menjadikannya sebagai strategi untuk merancang sesuatu yang lebih besar pada musim-musim akan datang.

Segalanya baharu – bermula daripada peringkat pengurusan kerana sebahagian besar kru pasukan merupakan muka baharu dalam Cub Prix. Lebih menarik, ketua mekanik juga merupakan tenaga muda yang mempunyai kepakaran tersendiri dalam aspek-aspek berkaitan motosikal.

Kelebihan mereka adalah keyakinan.

Minggu ini, pasukan tersebut melangkah ke gelanggang perlumbaan untuk memulakan kempen Pusingan 1 kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Sepang Utara.

Siapa sangka, pasukan yang dianggap sebagai ‘anak yang baru lahir kemarin sore’ ini mencipta kejutan pada sesi kelayakan semalam.

Norafizah atau lebih popular dengan nama Fifi, muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan masa 1:33.005 saat (s) ketinggalan beberapa saat di belakang pelumba OneXOX TKKR Racing Team, Md Hafiza Rofa.

Harith yang pertama kali menunggang jentera Yamaha sepanjang kariernya muncul pelumba ke-12 terpantas.

Hari ini pada perlumbaan akhir, dua pelumba Tuneboss-Pink Racing ini sekali lagi menampilkan aksi yang agak bertenaga, malah pada suatu ketika Fifi dilihat berjaya memimpin perlumbaan.

Ternyata, bersaing dengan barisan pelumba berpengalaman dalam kelas tersebut bukan halangan buat Fifi dan Harith kerana mereka masih mampu melontarkan cabaran sengit.

Kedua-duanya berjaya mengutip mata daripada perlumbaan akhir hari ini yang menyaksikan Fifi berjaya menduduki tempat kelima dengan catatan masa 11:11.040s manakala Harith menamatkan saingan di kedudukan kelapan dengan masa 11:11.372s.

Fifi pula memahat nama sebagai pelumba wanita terbaik dalam sejarah Cub Prix apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik.

Dia menjadi pelumba wanita pertama untuk berada di kedudukan lima terbaik dalam kelas CP125.

Perlumbaan tersebut dimenangi Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor manakalan dua pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Md Adib Rosley masing-masingnya menduduki tempat kedua dan ketiga.

Dengan keputusan tersebut, Fifi kini berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan mengutip 11 mata manakala Harith di kedudukan kelapan dengan meraih 8 mata kejuaraan. Tuneboss-Pink Racing pula bermegah menghuni kedudukan ketiga keseluruhan bagi kategori berpasukan dengan mengumpul 19 mata.

Alia yang menggalas cabaran dalam kategori Wira juga tidak kurang hebatnya dan dia mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17 dengan catatan masa 10:44.527s.

Ia satu permulaan yang sangat positif buat pasukan baharu yang masih cetek pengalaman dalam sukan dua roda negara.

“Prestasi para pelumba pada kejuaraan pembuka tirai ini memang di luar jangkaan saya. Mereka telah menampilkan komitmen yang tinggi. Apa yang mereka buktikan pada Pusingan 1 ini telah melonjakkan semangat kami baik pelumba mahupun barisan mekanik untuk bekerja lebih keras lagi selepas ini.

“Kejayaan meraih mata pada aksi Pusingan 1 ini dianggap sebagai kejayaan luar biasa buat pasukan kami yang baharu membuat penampilan di Cub Prix musim ini. InsyaAllah, kami berharap momentum seperti ini dapat dipertahankan dalam misi untuk melakukan lebih banyak kejutan pada perlumbaan akan datang,” jelas pengurus pasukan, Nur Atikah.

Selepas ini, mereka akan sekali lagi kembali ke gelanggang untuk bersaing pada aksi Pusingan 2 yang dijadualkan berlangsung di Litar Sepang Utara pada 3-4 April nanti.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here