HADIAH WANG KEMENANGAN LTdL 2020 SUDAH SELESAI

0
539

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Penganjur jelajah berbasikal Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage mengesahkan pembayaran hadiah wang kemenangan kepada para pemenang melibatkan pelumba dan pasukan telah pun diselesaikan.

Hadiah wang kemenangan keseluruhan berjumlah RM823,450 telah dibayar kepada pasukan dan pelumba yang terlibat pada edisi tahun ini.

“Transaksi pembayaran kepada pasukan dan pelumba telah pun dibuat dan selesai pada awal bulan ini,” jelas Ketua Pegawai Operasi LTdL, Shahaizereen A Hamid.

Proses pembayaran dibuat melalui Cycling Prize Management System (UCPMS) Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Pembayaran akhir sepatutnya dilakukan menerusi system UCI tersebut dalam tempoh 90 hari selepas tamat perlumbaan, namun tertunda susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia.

Tambah Shahaizereen, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan induk berbasikal Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah pun dimaklumkan berhubung perkara ini.

“Isu kelewatan pembayaran disebabkan kekangan yang terpaksa dihadapi ketika PKP, telah dilunaskan selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini.

“Bagi pihak penganjur, saya mengucapkan terima kasih terutama kepada Datuk Seri Reezal atas keprihatinan yang diberikan, sekali gus membantu kami menyelesaikan isu ini.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang memahami, bersabar dan memberikan kerjasama yang baik berhubung perkara ini,” kata Shahaizereen lagi.

Beliau juga memaklumkan bahawa Human Voyage bersedia untuk menganjurkan perlumbaan edisi ke-26 meski pun terdapat ketidakpastian susulan Covid-19 dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diumumkan oleh kerajaan bagi acara sukan antarabangsa.

“Walaupun keadaan semasa yang tidak menentu ketika ini, kami tetap komited untuk menganjurkan perlumbaan pada 2021 nanti tetapi semuanya bergantung dengan arahan kerajaan,” katanya lagi.

Perlumbaan edisi ke-25 tahun ini adalah berstatus Pro Series dibawah peraturan baharu UCI.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here