

TANJONG KARANG, 5 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memainkan peranan proaktif sebagai peneraju transformasi komuniti luar bandar menerusi penganjuran Karnival Putra@Sawah Sempadan, yang bakal berlangsung selama dua hari pada 13 dan 14 Disember ini di Dewan Pusat Komuniti Kampung Kunci Air Buang, di sini.
Karnival berimpak tinggi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Projek Kampung Angkat MADANI UPM, hasil kerjasama strategik dengan Kementerian Kewangan Malaysia, yang bertujuan memperkasa pembangunan komuniti luar bandar secara menyeluruh, mampan dan inklusif.
Kawasan Sawah Sempadan yang mempunyai 7 buah kampung – dipilih sebagai tapak pelaksanaan, memandangkan potensinya dalam sektor pertanian, khususnya pengeluaran beras yang menjadi tulang belakang jaminan makanan negara.
Menurut Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM, Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad, pemilihan lokasi ini bersifat strategik kerana ia selari dengan Pelan Strategik Sekuriti Makanan Negara.
“Kawasan Sawah Sempadan merupakan antara kawasan pengeluar beras utama negara. Melalui program ini, UPM ingin membawa ilmu, teknologi dan kepakaran terus ke tengah-tengah komuniti, seiring dengan keperluan sebenar di lapangan,” jelasnya.

UPM menerapkan pendekatan field-based outreach, iaitu kaedah pemindahan ilmu dan intervensi teknologi secara langsung di lapangan, melibatkan petani, penternak, usahawan kecil, serta golongan belia tempatan.
Antara program utama yang ditawarkan ialah Klinik Pertanian Putra, yang memberi khidmat nasihat pertanian moden dan amalan terbaik secara terus kepada pesawah serta pengusaha agro.
Dalam masa yang sama, aspek kelestarian alam sekitar turut diangkat melalui aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan tali air, penambahbaikan surau dan balairaya, kempen kesedaran bahaya pencemaran sisa kimia, dan penambahbaikan landskap kampung.
UPM juga giat membangunkan infrastruktur asas kampung dengan menaik taraf jeti, menyediakan perangkap sampah, gerai jualan produk tani, penyerahan kayak serta memasang lampu jalan berkuasa solar di kawasan strategik.
“Kami tidak mahu hanya melihat pembangunan dari aspek ekonomi semata-mata. Ia mesti seimbang dengan elemen ekologi dan sosial. Komuniti perlu dibimbing untuk bangkit secara lestari,” ujar Dr. Khairulmazmi.
Majlis perasmian karnival dijadualkan pada 13 Disember dan akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sebagai simbolik sokongan terhadap inisiatif universiti memacu pembangunan desa berimpak tinggi.
Sepanjang dua hari penganjuran, lebih 5,000 pengunjung disasarkan hadir, dengan pelbagai pengisian menarik melibatkan pameran teknologi, sesi pemindahan ilmu, pertandingan komuniti, aktiviti kesihatan dan sukan rakyat.

Hari pertama akan dimulakan dengan acara Langkah Sihat@Sawah, diikuti pertandingan seperti memancing, karom, mewarna kanak-kanak, serta INOKREATIF – pertandingan inovasi komuniti menggunakan bahan kitar semula.
Sesi pemindahan ilmu kesihatan juga dijadualkan dengan ceramah khas bertajuk “Pencegahan Denggi dan Bahaya Merokok” oleh pakar kesihatan dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), bagi meningkatkan kesedaran awam.
Pameran interaktif turut melibatkan entiti utama UPM seperti Fakulti Pertanian, Fakulti Kejuruteraan, ITAFoS, Institut Biosains, agensi di bawah KPKM dan Bas Pengembangan UCTC- eDU-PARK, yang menampilkan teknologi dan penyelidikan terkini.
Hari kedua pula akan menyaksikan acara kemuncak seperti Pertandingan Gusti Lengan Kampung Style, pertandingan masakan warisan berasaskan masakan Jawa, serta demonstrasi produk makanan hasil inovasi pelajar dan komuniti.

Majlis penutup karnival akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang, YB Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi Hanapi, yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan serta sijil penghargaan kepada agensi terlibat.
Menurut Dr. Khairulmazmi lagi, antara kekuatan utama program ini ialah pendekatan Penta-Helix yang menggabungkan sinergi antara universiti, kerajaan, industri, NGO dan komuniti, menjadikan pelaksanaannya lebih menyeluruh dan mampan.
Antara agensi terlibat termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pejabat Pertanian, JPKK, Pusat Khidmat Parlimen dan DUN, serta Pertubuhan Jawa Parlimen Tanjong Karang.
“Pembangunan luar bandar tidak harus bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Universiti perlu menjadi pemudah cara, pemimpin intelektual dan pemangkin perubahan sebenar di peringkat akar umbi,” katanya mengakhiri temu bual.
Projek Kampung Angkat MADANI ini membuktikan komitmen UPM bukan sekadar sebagai pusat pengajian tinggi, tetapi juga sebagai institusi yang menjuarai pembangunan komuniti secara berimpak tinggi, inklusif dan lestari.











