
JELEBU, 14 Julai – Seramai 120 peserta terdiri daripada Rakan Alam Sekitar (RAS) pelbagai peringkat umur menyertai Program Menyusuri Sungai sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026 yang telah berlangsung di Taman Negeri Kenaboi, di sini, pada 11 Julai lalu.

Program anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan itu turut mendapat kerjasama strategik Kelab Warga Matrikulasi (KAWAN), Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan serta Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.
Penganjuran program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan penghayatan masyarakat, khususnya golongan belia, mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Selain itu, program tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai fungsi serta kepentingan hutan dan biodiversiti dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti berasaskan alam semula jadi.

Program itu juga menjadi platform bagi memupuk rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan peserta, selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan dalam menjayakan agenda kelestarian alam sekitar.
Bertepatan dengan tema Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026, “Inspired by Nature. For Climate. For Our Future.”, pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program termasuk aktiviti menyusuri Sungai Kenaboi menuju ke Jeram Berungut, aktiviti capan menggunakan bahan semula jadi, pertandingan fotografi alam semula jadi serta taklimat mengenai penjagaan Hutan Simpan Kekal dan usaha pemuliharaan hutan yang disampaikan oleh pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.
Kesemua aktiviti yang dijalankan bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada peserta, malah melambangkan komitmen bersama pelbagai pihak dalam memperkukuh usaha memelihara dan memulihara alam sekitar demi kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam.
JAS Negeri Sembilan berharap program seumpama ini akan terus menyemai budaya menghargai alam sekitar dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan kesedaran bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan dan kelestarian generasi akan datang.











