Home Blog Page 100

VOG bantu 100 asnaf, 30 anak yatim

0

SERAMAI 130 keluarga asnaf dan anak yatim menerima sumbangan daripada kelab motosikal berkuasa tinggi Versys Owners’ Group (VOG) sempena Versys Bike Jamm (VBJ) 2019.

Sumbangan menerusi program perjumpaan tahunan ahli kelab itu Sabtu lalu, menyaksikan 100 keluarga asnaf dan 30 anak-anak yatim terpilih di sekitar Port Dickson menerima sumbangan keperluan harian.

Penyelaras program, Shawal Shariff berkata, seramai 500 ahli dari seluruh negara membabitkan 420 motosikal menyertai program yang diadakan di sebuah pusat peranginan.

“Selain aktiviti permotoran, kita turut menganjurkan program berbentuk kebajikan dengan membantu golongan memerlukan.

“Bantuan barangan keperluan harian itu hasil sumbangan peserta konvoi dan Pasaraya Econsave Senawang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) My Kasih Care,” katanya.

Sementara itu, Shawal berkata, pihaknya turut mengadakan aktiviti riadah bersama penduduk setempat.

Turut diadakan majlis makan malam bertemakan kesultanan Melayu dan Jawa membabitkan peserta selain dihiburkan dengan persembahan beberapa artis tempatan.

Sumber: Harian Metro

Suria FM kukuhkan kedudukan antara stesen radio popular

0

BERJAYA mencatatkan peningkatan jumlah pendengar untuk tiga sesi kaji selidik berturut-turut, ia menjadi hadiah paling manis buat stesen radio Suria FM dalam menyambut ulang tahun ke-12.

Pengurus Kandungan Program Suria, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, menerusi keputusan kaji selidik Pengukuran Pendengar Radio GfK, 2019, Suria FM menduduki tangga keempat stesen radio berbahasa Melayu paling popular di Malaysia.

“Sejujurnya, kaji selidik ni nak maintain susah, nak naik lagi tinggi lagi susah. Jadi bila kami berjaya meningkatkan jumlah pendengar daripada 2.267 juta kepada 2.643 juta dalam tempoh masa enam bulan, itu bagi kami adalah satu bonus.

“Macam untuk kaji selidik pada awal tahun pula, kami berjaya meraih peningkatan pendengar daripada 1.8 juta kepada 2.2 juta. Jadi, ia boleh dikatakan sebagai penutup tahun 2019 paling manis.

“Sebenarnya ulang tahun Suria jatuh pada 24 November iaitu Ahad. Tapi memandangkan hari Ahad tu hari cuti, kita carry forward kepada next day. Jadi, majlis ini diadakan sebagai tanda terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti memberikan sokongan,” katanya kepada mStar.

Menerusi keputusan kajian tersebut, stesen radio Era FM menduduki tempat pertama, diikuti Sinar FM dan Hot FM.

DJ Lin ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-12 Suria FM di Tropicana Mall pada Isnin.

Majlis sambutan dimeriahkan kehadiran artis seperti Nabila Razali, Ramlah Ram, Safura Yaacob, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Wanie Kayrie, dan IamNeeta.

Sementara itu, DJ Lin berkata, sempena lebih sedekad usia stesen itu, dia mengharapkan Suria akan terus menjadi pilihan utama pendengar.

Tambahnya lagi, pelbagai rancangan telah dirangka bagi mengukuhkan lagi jenama Suria FM bagi tahun hadapan.

DJ Lin turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak penaja dan syarikat-syarikat pengiklanan atas kepercayaan mereka terhadap jenama Suria FM.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Media Star, Andreas Vogiatzakis dan Pengerusi Kumpulan Radio Star Media, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse.

Selain DJ Lin, Suria FM turut dibarisi penyampai seperti Halim Othman, Issey, Fizi Ali, Feeya Iskandar, Sharifah Shahirah, Suraya Borhan, Naim Hashim dan Tyzo.

Suria FM ditubuhkan pada 2006 di bawah label Rimakmur Sdn Bhd iaitu anak syarikat Star Media Group Berhad.

 

Content retrieved from: https://www.mstar.com.my/spotlight/hiburan/2019/11/26/suria.

100 acara menarik Tahun Melawat Malaysia VM2020 dalam e-brosur

0

LEBIH 100 acara ditawarkan untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Semua acara itu kini disenaraikan dalam e-brosur yang boleh dimuat naik dari laman web Tourism Malaysia.

Laman e-brosur itu memberi tumpuan pada aktiviti dan pesta menyeronokkan yang ditawarkan negara ini sepanjang kempen tersebut.

Ini termasuk aktiviti sukan, outdoor, persembahan kebudayaan, aneka jenis makanan dan pemuliharaan alam semula jadi.

Antara yang pasti mencuri tumpuan pelancong adalah Rainforest World Music Festival, Pesta Menuai, Karnival Pantai Terengganu, Royal Floria Putrajaya.

Tourism Malaysia turut melancarkan sebuah laman web untuk pemerhati burung.

Birds Malaysia dibangunkan oleh Ecotourism Conservation Society of Malaysia dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac).

Laman web itu berfungsi sebagai sebuah platform untuk pengusaha pelancongan tempatan mempromosikan ekopelancongan termasuk aktiviti memerhati burung.

Terdapat lebih 25 pakej aktiviti memerhati burung ditawarkan tujuh pengusaha pelancongan tempatan di negara ini.

Antara lokasi memerhati burung yang menawarkan pelbagai spesies burung yang cukup unik adalah Tabin Wildlife Resort (Sabah) dan Taman Negara Gunung Mulu (Sarawak).

Birds Malaysia turut memberi peluang kepada pencinta haiwan untuk berkongsi gambar, pengalaman dan pengetahuan mengenai kepelbagaian spesies burung di negara ini.

Terdapat lebih 750 spesies burung di Malaysia manakala 55 lokasi diwartakan sebagai Kawasan Penting Burung.

 

Content retrieved from: https://www.mstar.com.my/travel/destinasi/2019/11/08/e-brosur-vm2020.

Seni batik simbolik peradaban masyarakat setempat

0
KUALA LUMPUR: Pameran Seni Lukisan Batik: Pameran dan Tribut, menghimpunkan sembilan pelukis batik terkemuka tempatan dalam usaha memartabatkan seni berkenaan di negara ini untuk dihayati bersama.

Sembilan pelukis menjayakan himpunan berkenaan iaitu Abdul Rahman Abdul Rani, Ahmad Tajuddin Ahmad, Fauziah Yahaya, Amir Arshad, Hishamuddin Ahmad, Azhar Arshad, Siti Hasmah Datuk Taiban, Ahmad Fauzi Arshad dan Mohamed Abdullah.

Pameran anjuran syarikat perbankan dan kewangan terkemuka Maybank, mengetengahkan 43 lukisan bermula pada hari ini sehingga 6 Disember. Dibuka untuk paparan umum setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 5 petang manakala Sabtu bermula pada jam 11 pagi hingga 4 petang, masuk percuma.

Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin, berkata program buat julung kalinya diadakan itu berlangsung di Balai Seni Maybank yang dibuka sejak 1988.

Beliau berkata, pameran bukan sekadar lukisan tetapi dedikasi kepada pengasas teknik lukisan batik Malaysia, Allahyarham Wan Nong Abdul Rahman oleh sembilan pewarisnya dalam lukisan seni batik.

“Kami sentiasa menyokong usaha memartabatkan seni batik dan sebahagian inisiatif Yayasan Maybank menyokong industri batik negara,” katanya pada sidang media di Balai Seni Maybank, di sini, hari ini.

Yayasan Maybank sebelum ini sudah menganjurkan pameran seni membabitkan pelbagai karya seperti pameran karya pelukis wanita dan ilham seni menggunakan warna air.

“Tahun ini, enam daripada tujuh pameran diadakan termasuk di luar negara seperti Singapura Ogos lalu. Sebagai galakan, yayasan merancang membawa penggiat seni batik ke negara luar tahun depan. Usaha bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pengalaman mereka untuk dimanfaatkan bersama,” katanya.

Pelukis batik, Siti Hasmah Datuk Taiban (kanan) menerangkan lukisan batiknya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin semasa lawatan beliau ke pameran ‘Painting Batik’ di Balai Seni Menara Maybank. – Foto Mustaffa Kamal

Shahril Azuar berkata, usaha memartabatkan bidang seni adalah antara tanggungjawab sosial korporat pihaknya dalam mengekalkan seni dan budaya masyarakat setempat.

Sementara itu, Siti Hasmah berkata, beliau melihat batik sebagai medium paling dekat dengan nilai kreativiti penggiat seni tempatan.

“Kebanyakan karya mengangkat nilai kewanitaan diterjemahkan secara simbolik dalam bentuk lukisan. Batik banyak digunakan pada era 60-an oleh wanita sebagai busana dan penutup kepala. Pakaian ini melambangkan kehidupan yang penuh adat dan tradisi perlu diwarisi generasi seterusnya.

“Seni batik memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan lukisan “Being in Women”. Lukisan bertemakan bunga Kenanga ungu. Tema memaparkan keindahan wanita dan kekuatan mereka dalam mengemudi kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan lukisan ini menerusi pelbagai teknik. Banyak menggunakan motif bunga kerana melambangkan dirinya sebagai wanita dan pada masa sama sarat mesej kepada insan lain.

Rona pilihan memperlihatkan ciri wanita bersifat ceria dan sentuhan jiwa kepada nilai dengan penuh kasih sayang, Lukisan sebahagian daripada terapi diri dan hamparan jiwa yang memberi ketenangan.

“Sejak 40 tahun aktif dalam bidang ini, saya tidak pernah menjual hasil seni, hanya menderma kepada mereka memerlukan secara lelongan awam,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Abdullah, berkata menerusi pameran sedemikian beliau mengharapkan lebih ramai mengenali perintis lukisan batik negara, Wan Nong yang banyak menyumbang kepada seni berkenaan selain terkenal dalam kalangan insan seni di luar negara seperti Indonesia.

“Wan Nong belajar di United Kingdom sekitar tahun 1970-an, membawa balik kemahiran untuk diajar kepada karyawan di negara ini.

“Teknik batik lukisan ini sebenarnya bermula di Selangor sebelum dibawa ke Terengganu dan Kelantan. Kebijaksanaan Wan Nong apabila beliau bertukar kepakaran bersama karyawan dari Jepun dan Indonesia serta mempelbagaikan teknik lukisan batik untuk dimanfaatkan ribuan pengkarya,” katanya.

Beliau melihat pameran seni ini sebagai usaha mengenang jasa Wan Nong dalam arena seni. Diharapkan ada satu pertubuhan diwujudkan bagi memantau sejarah batik untuk dihayati generasi muda. Bagi yang berminat hasil karya itu turut dijual dan harga jualan antara RM 1,500 hingga RM20,000.

 

Content retrieved from: https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2019/11/630848/seni-batik-simbolik-peradaban-masyarakat-setempat.

Remaja wajar buat saringan tahap kesihatan mental

0
KUALA LUMPUR: Ujian saringan kesihatan mental perlu diperluaskan dalam kalangan remaja kerana golongan itu lebih berisiko mengalami tekanan yang boleh mendorong masalah mental yang serius jika tidak dikesan lebih awal.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, mendapati kira-kira 34.7 peratus remaja berusia 16 sehingga 19 tahun menghadapi masalah mental, manakala berumur 20 sehingga 24 tahun (32.1 peratus).

Presiden dan Pengasas Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, berkata remaja lebih cenderung mengalami gangguan mental dan sekiranya tidak dibendung boleh melarat dan menjadi penyakit serius.

Katanya, kelewatan mengesan masalah itu akan mengakibatkan kos lebih tinggi kerana turut membabitkan penurunan produktiviti sama ada di tempat kerja, universiti dan sekolah.

“Justeru, kita berharap kerajaan menyediakan lebih peruntukan bagi meluaskan liputan ujian saringan kesihatan mental pada usia lebih muda, iaitu 16 hingga 39 tahun,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, kerajaan akan memperluas liputan buat mereka berusia 40 tahun ke atas supaya lebih ramai yang ada masalah mental dibantu pada peringkat awal.

Sebelum ini, saringan kesihatan mental itu hanya dalam kalangan rakyat yang berusia 50 hingga 60 tahun dan hanya difokuskan kepada penyakit dementia dan Alzheimer.

Di bawah skim Peduli Kesihatan (Peka40), ketika ini menyediakan perkhidmatan ujian saringan kesihatan mental yang membolehkan pesakit ke klinik swasta berdaftar di bawah skim itu.

“Bagaimanapun, lebih 100 klinik yang dihubungi MIASA, hanya 39 klinik yang boleh membuat ujian saringan kesihatan mental walaupun mereka didaftar di bawah skim Peka40 kerana mereka lebih memfokuskan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Persoalannya adakah peruntukkan diberikan kepada hospital untuk menambah kakitangan, pakar psikologi dan psikiatri bagi menampung peningkatan mereka yang perlu dibantu.

“Bilangan pakar yang amat rendah tidak sejajar dengan apa yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang nisbah psikiatri adalah satu untuk 10,000 pesakit,” katanya.

Jumlah pakar yang rendah ini juga akan menyebabkan sukar untuk mendapatkan janji temu di hospital kerajaan berikutan bilangan mereka yang pergi ke hospital sudah tidak dapat ditampung.

Rakyat pula perlu menunggu lama untuk mendapat janji temu dengan pakar psikiatri dan psikologi di hospital kerajaan.

Apa yang membimbangkan, menerusi skim itu, hanya diberikan servis percuma sekali dan ini tidak cukup, terutama mereka yang mengalami tekanan tinggi dalam kehidupan, wanita lepas bersalin, sukarelawan bencana alam dan penguat kuasa undang-undang.

“Di bawah skim perlindungan nasional MySalam pula, belum ada peruntukan mereka mengalami penyakit mental yang masih belum diklasifikasikan sebagai penyakit kritikal di Malaysia.

“Seperti yang kita maklum, sebanyak 32 peratus rakyat dalam kategori B40 mempunyai penyakit tidak berjangkit (NCD),” katanya.

Katanya, tidak ada peruntukan untuk menaik taraf 22 Pusat Mental dan Psikiatri (Mentari) di seluruh negara walaupun sesetengah pusat ini sangat kecil dan tiada penambahbaikan dari segi infrastruktur dan kakitangan terhad.

Mentari masih belum mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang diharapkan sebagai salah satu perkhidmatan kesihatan mental untuk masyarakat.

Hanya ada beberapa Mentari yang berjaya mencapai KPI yang ditetapkan.

Katanya, peruntukan yang agak besar untuk menaik taraf hospital, iaitu RM1.6 bilion, termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, tetapi malangnya ia tidak menyenaraikan sama ada ia termasuk untuk wad psikiatri.

 

Content retrieved from: https://www.bharian.com.my/wanita/keluarga/2019/10/620330/saring-tahap-kesihatan-mental-remaja.

200 peladang akan dapat 50,000 benih pokok kopi

0
KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 peladang di seluruh negara bakal menerima 50,000 benih pokok kopi untuk diusahakan, membabitkan tanah seluas 40.46 hektar menjelang tahun depan.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Minuman, Nestle Malaysia, Othman Chraibi, berkata pengagihan anak benih ini adalah fasa perintis Program Nescafe Grown Respectfully (Disemai Dengan Kasih) anjuran Nestle Malaysia, dengan kerjasama beberapa agensi bagi memulihkan semula industri perladangan kopi negara.

Katanya, kerjasama membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA); Jabatan Pertanian Negeri Kedah (KSDA); Lembaga Kemajuan Ekonomi Kedah (KEDA); Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Agrikultur Nestle Malaysia juga pernah mengadakan kerjasama dengan KEDA, pada awal 1990-an membabitkan keluasan 1.21 hektar.

“Ketika itu tapak semaian tanaman induk dibangunkan bertujuan menyokong pembangunan tanaman kopi tempatan, sekali gus membantu peladang meningkatkan sumber pendapatan.

“Kali ini kerjasama diperluaskan menerusi Program Grown Respectfully (Disemai Dengan Kasih) dengan matlamat yang sama dan diperkasakan menerusi amalan pertanian baik.

“Bagi mencapai amalan pertanian baik dengan sumber yang mapan, demonstrasi lapangan dan sesi latihan diadakan pada program ini bagi menumpukan peningkatan produktiviti, pengurangan kos ladang, meminimumkan kesan alam sekitar dan meningkatkan kecekapan kerja peladang,” katanya.

Beliau berkata, program itu akan menyemai etika pertanian yang baik dengan menumpukan kepada tiga tunjang utama, iaitu menyantuni peladang, komuniti dan bumi.

“Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk menaik taraf kualiti produk dan menghargai pengguna.

“Nescafe adalah jenama terbesar kopi di Malaysia. Kami menggalakkan menanam kopi sebagai pendapatan baharu negara dan mendapatkan bekalan bahan mentah berkualiti, serta tidak perlu diimport.

“Iklim Malaysia sesuai untuk tanam kopi jenis robusta dengan tanah landai seperti di Kedah.

“Benih robusta dari Ivory Coast yang juga menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan kopi Nestle.

“Fasa pertama sebagai pelopor tanaman ladang di Kedah, sebelum dikembangkan program ini ke negeri lain.

“Namun, ia mengikut kesesuaian jenis tanaman kopi seperti Arabica yang ditanam di tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Pahang, manakala kopi Liberica ditanam di Tenom, Sabah,” katanya.

Katanya, tahun lalu Nestle Malaysia bekerjasama dengan FELDA, menyediakan tanah ladang untuk mempelbagai tanaman, selain getah dan sawit.

Othman berkata, pihaknya memerlukan lebih ramai petani muda dan berpengetahuan seawal usia 26 tahun.

Sehingga kini mereka sudah membantu 100 petani muda dan bakal menerima 100 lagi peserta pertanian, bagi program Grown Respectfully.

“Dengan memberi sokongan, latihan dan material, peladang dapat menambah pendapatan dengan membekal bahan mentah seperti beras dan cili, yang kami beli terus daripada petani Kedah dan Kelantan.

“Kami mahu petani kenal kopi melalui latihan dan mengenali pokok serta memilih biji kopi terbaik.

“Disediakan standard dengan teknik latihan dengan kaedah termudah. Petani di Kedah sudah maklum dan faham mengenai kualiti biji kopi yang memenuhi standard.

“Kami melatih peladang menggunakan teknik cantuman penanaman pokok secara besar-besaran daripada benih.

“Selepas dua tahun hasilnya dapat dituai. Apabila pokok mencapai ketinggian dua meter, peladang dapat memetik biji kopi dengan mudah,” katanya.

Nestle Malaysia menyediakan nasihat teknikal untuk semua perkara berkaitan penghasilan dan pengeluaran benih kopi, perladangan, penyelenggaraan lapangan serta operasi selepas tuai.

Selain latihan berterusan dalam amalan pertanian baik untuk peladang, pihaknya turut memantau semua tanaman kopi bagi memastikan tumbesaran dan penghasilan yang baik.

 

Content retrieved from: https://www.bharian.com.my/wanita/keluarga/2019/11/624154/50000-benih-pokok-kopi-diagih-pada-peladang.

Tasik Kenyir jadi tumpuan kaki pancing bila tengkujuh

0

TASIK Kenyir di Hulu Terengganu mula menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara terutamanya kaki pancing ekoran penutupan kebanyakan pusat peranginan di Terengganu bagi menghadapi musim tengkujuh.

Pengusaha rumah bot di tasik ini mula tersenyum lebar apabila ramai pelancong menempah rumah bot mereka untuk tempoh dua bulan iaitu November dan Disember.

Seorang pengusaha rumah bot, Ramli Mustafa, 54, memberitahu Bernama bahawa Tasik Kenyir yang terkenal sebagai lubuk ikan air tawar akan menjadi tumpuan dalam kalangan kaki pancing kerana kebiasaannya pelbagai spesis ikan akan bertambah dengan banyaknya pada musim tengkujuh.

Katanya, kebanyakan tempahan yang diterima adalah daripada kaki pancing yang datang secara berkumpulan untuk melepaskan ‘gian’ memburu ikan air tawar seperti sebarau, kelah, temoleh, baung, lampan dan belida.

“Menariknya setiap kali pada musim tengkujuh, Tasik Kenyir bagaikan pesta kerana ramai kaki pancing yang turun berkampung di sini untuk menghabiskan cuti akhir tahun mereka.

“Sebagai pengusaha bot, kami akan cuba membantu kaki pancing untuk memburu ikan di lubuk-lubuk tertentu yang lazimnya kemahiran ini dimiliki orang-orang lama di Tasik Kenyir,” katanya yang telah 35 tahun menjalankan perniagaan itu.

Ketika ini, Terengganu mengalami Monsun Timur Laut yang bermula sejak 24 Oktober lepas dan dijangka berterusan sehingga Mac 2020 yang menyebabkan beberapa episod hujan lebat melanda negeri itu sepanjang tempoh tersebut.

Seorang lagi pengusaha rumah bot, Kamaruddin Razali, 47, berkata tempahan sewa rumah bot ‘Pesona’ miliknya untuk cuti hujung minggu sudah penuh sehingga akhir tahun ini.

“Memang setiap kali musim tengkujuh, akan berlaku peningkatan tempahan kerana ramai kaki pancing akan datang ke sini…tak kurang juga syarikat yang meraikan kakitangan mereka atau keluarga yang mahu menghabiskan cuti bersama dengan menikmati pengalaman di Tasik Kenyir.

“Istimewanya Tasik Kenyir ialah pelancong akan benar-benar menikmati makna sebenar percutian kerana di sini, privasi mereka cukup terjaga dan menjanjikan pengalaman yang cukup manis untuk dikenang,” katanya.

Selain pakej pelancongan yang ditawarkan pengusaha rumah bot, kerajaan negeri juga tidak ketinggalan mempromosikan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu dengan penganjuran Asean Monsoon Casting Tournament yang akan berlangsung pada 29 November hingga 2 Disember depan.

Ia adalah acara tahunan yang dianjurkan kerajaan negeri setiap kali musim tengkujuh dan dijangka menarik lebih 300 penyertaan termasuk peserta dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Korea, Singapura dan Brunei.

Dalam pada itu, seorang lagi pemilik rumah bot ‘Kembara’, Hamzah Kassim pula berkata  pelancong tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan mereka ketika berkunjung ke Tasik Kenyir pada musim tengkujuh.

“Di sini tiada ombak seperti perjalanan ke pulau peranginan yang lain, malah pengusaha bot juga sudah berpengalaman luas beroperasi ketika musim tengkujuh dan sedia maklum mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Kami sentiasa memastikan aspek keselamatan pelancong diutamakan dan peka dengan perubahan cuaca semasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya. – BERNAMA 

 

Content retrieved from: https://www.mstar.com.my/travel/destinasi/2019/11/13/tasik-kenyir.

Johor rancang adakan persidangan pemimpin mahasiswa

0

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor merancang mengadakan Persidangan Pemimpin Mahasiswa Johor bersama Exco Pendidikan negeri, akhir tahun ini, sebagai usaha mengurangkan masalah birokrasi antara mahasiswa dan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan menerusi satu kenyataan hari ini, berkata persidangan sedemikian kemudian akan diadakan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun sekali gus menjadi medium rasmi interaksi dua hala di antara kerajaan negeri dan persatuan mahasiswa.

“Objektif persidangan ini adalah untuk membincangkan hala tuju perjalanan persatuan mahasiswa termasuk hal-hal kebajikan mahasiswa di kampus dan juga memperkasakan kemahiran mahasiswa Johor bagi memenuhi pasaran pekerjaan.

“Oleh itu, saya mengharapkan agar mahasiswa Johor dapat memanfaatkan persidangan ini untuk mewujudkan hubungan terus dengan Exco Pendidikan Johor dan pentingnya untuk menyedarkan setiap seorang daripada kita bahawa kita mempunyai tanggungjawab kepada Johor dan Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan berkenaan, Aminolhuda yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani mengumumkan mengenai rancangan persidangan terbabit ketika majlis penutup Bengkel Perancangan Strategik Persatuan Mahasiswa Anak Johor di IPT (Insitiusi Pengajian Tinggi) yang dianjurkan di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, menurut kenyataan sama, Aminolhuda turut menyampaikan bantuan dana pengurusan berjumlah RM44,000 kepada 22 buah Persatuan Mahasiswa Anak Johor pada bengkel berkenaan.

Pemberian dana sebanyak RM2,000 kepada setiap persatuan itu bertujuan membantu pemimpin mahasiswa Johor untuk mengurus dan memajukan persatuan mahasiswa anak Johor di kampus masing-masing.

— BERNAMA

 

Content retrieved from: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-johor-rancang-persidangan-bersama-pemimpin-mahasiswa-219348.

Latest Article

RM7,000 MILIK MOHD QAMARUL ANUAR DI TASIK AYER KEROH, MELAKA.

0
AYER KEROH 22 Disember – Johan Cabaran Joran Melaka 2024 menganggap kemenangannya sebagai rezeki anak kedua yang bakal lahir pada Februari tahun hadapan. Mohd Qamarul...