Suria FM kukuhkan kedudukan antara stesen radio popular

0
1043

BERJAYA mencatatkan peningkatan jumlah pendengar untuk tiga sesi kaji selidik berturut-turut, ia menjadi hadiah paling manis buat stesen radio Suria FM dalam menyambut ulang tahun ke-12.

Pengurus Kandungan Program Suria, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, menerusi keputusan kaji selidik Pengukuran Pendengar Radio GfK, 2019, Suria FM menduduki tangga keempat stesen radio berbahasa Melayu paling popular di Malaysia.

“Sejujurnya, kaji selidik ni nak maintain susah, nak naik lagi tinggi lagi susah. Jadi bila kami berjaya meningkatkan jumlah pendengar daripada 2.267 juta kepada 2.643 juta dalam tempoh masa enam bulan, itu bagi kami adalah satu bonus.

“Macam untuk kaji selidik pada awal tahun pula, kami berjaya meraih peningkatan pendengar daripada 1.8 juta kepada 2.2 juta. Jadi, ia boleh dikatakan sebagai penutup tahun 2019 paling manis.

“Sebenarnya ulang tahun Suria jatuh pada 24 November iaitu Ahad. Tapi memandangkan hari Ahad tu hari cuti, kita carry forward kepada next day. Jadi, majlis ini diadakan sebagai tanda terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti memberikan sokongan,” katanya kepada mStar.

Menerusi keputusan kajian tersebut, stesen radio Era FM menduduki tempat pertama, diikuti Sinar FM dan Hot FM.

DJ Lin ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-12 Suria FM di Tropicana Mall pada Isnin.

Majlis sambutan dimeriahkan kehadiran artis seperti Nabila Razali, Ramlah Ram, Safura Yaacob, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Wanie Kayrie, dan IamNeeta.

Sementara itu, DJ Lin berkata, sempena lebih sedekad usia stesen itu, dia mengharapkan Suria akan terus menjadi pilihan utama pendengar.

Tambahnya lagi, pelbagai rancangan telah dirangka bagi mengukuhkan lagi jenama Suria FM bagi tahun hadapan.

DJ Lin turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak penaja dan syarikat-syarikat pengiklanan atas kepercayaan mereka terhadap jenama Suria FM.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Media Star, Andreas Vogiatzakis dan Pengerusi Kumpulan Radio Star Media, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse.

Selain DJ Lin, Suria FM turut dibarisi penyampai seperti Halim Othman, Issey, Fizi Ali, Feeya Iskandar, Sharifah Shahirah, Suraya Borhan, Naim Hashim dan Tyzo.

Suria FM ditubuhkan pada 2006 di bawah label Rimakmur Sdn Bhd iaitu anak syarikat Star Media Group Berhad.

 

Content retrieved from: https://www.mstar.com.my/spotlight/hiburan/2019/11/26/suria.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here