Home Blog Page 15

CABARAN JORAN MELAKA, 22 DISEMBER INI MERIAHKAN TAHUN MELAWAT MELAKA 2024.

0
kira-kira 700 peserta akan mengambil bahagian pada acara Cabaran Joran Melaka nanti.

MELAKA 11 Dis. – Hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 hadiah keseluruhan menanti pemenang pada Cabaran Joran Melaka 2024 di Tasik Ayer Keroh, pada 22 Disember ini.

Jurucakap penganjur, Rosli Yahya berkata, pertandingan itu anjuran bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri dan disokong Tourism Malaysia adalah bagi memeriahkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) yang akan menutup tirai hujung bulan ini.

Menurutnya, pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai RM7,000 kepada pemenang tempat pertama, kedua mendapat RM2,000 dan ketiga membawa pulang RM1,000.

“Bagi pemenang tempat keempat hingga ke-10 akan mendapat RM200, tempat ke-11 hingga ke-20 menerima RM150 dan tempat ke-21 hingga 100 masing-masing mendapat RM100.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua kaki pancing sama ada dari negeri ini atau luar dan kita mensasarkan kira-kira 700 peserta akan mengambil bahagian pada acara yang akan bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tenghari,” ujarnya di sini hari ini.

Rosli berkata, selain hadiah wang tunai, pemancing juga berpeluang membawa pulang beberapa hadiah cabutan bertuah termasuk satu unit televisyen 32 inci dan 10 unit kotak pancing.

Katanya, semua spesis ikan dipertandingkan serta layak untuk menerima hadiah yang ditawarkan dan yuran yang ditetapkan ialah RM50 untuk sebatang joran dua mata.

“Antara spesis ikan yang terdapat di tasik ini seperti keli, tilapia, patin, toman,
kaloi, haruan dan peacock bass,” ujarnya.

Katanya, sebanyak 500 kemeja-T ditawarkan kepada peserta yang mendaftar awal pada pertandingan tersebut.

Ujarnya, bagi mereka yang berminat boleh mendaftar awal secara walk-in apabila kaunter akan dibuka pada Sabtu dari pukul 4.00 petang hingga 7.00 malam dan pada hari pertandingan dari pukul 8.30 hingga 10.00 pagi.

Katanya, sebarang pertanyaan boleh menghubungi 013-2667011, 012-3554946 dan 012-2846811 serta boleh melayari laman sosial facebook.com/jorankl. untuk maklumat terkini.

SELANGOR RANCANG PERTANDINGAN MEMANCING SEMPENA TMS2025

0
Ir Idzham (Tengah) bersama pemenang pertandingan memancing Terbuka Selangor

SEPANG – Kerajaan negeri Selangor merancang untuk menjadikan pertandingan memancing sebagai satu daripada aktiviti  Tahun Melawat Selangor 2025, sekali gus mempromosikan agrotourism di negeri itu selari dengan pelan tindakan di bawah Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTa) iaitu Agro Pelancongan.

Hasrat itu diutarakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian & Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani Selangor, YB Ir Izham Hashim, pada majlis penutup Pertandingan Memancing Terbuka Selangor, di Pantai Bagan Lalang di sini semalam.

“Sambutan pertandingan ini sangat menggalakkan. Kira-kira 800 peserta mengambil bahagian termasuk dari luar Selangor.

“Justeru, kerajaan negeri sedang merancang untuk menjadikan aktiviti ini sebagai satu daripada acara Tahun Melawat Selangor 2025 dengan hadiah lebih lumayan,’’ katanya.

Pertandingan memancing itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM53,000. Juara pertandingan disandang Mohd Akmal Ridiwan yang menaikkan ikan gemang 1.235kg, sekaligus membawa pulang RM15,000. Bagaimanapun Mohd Akmal gagal membawa pulang tambahan RM2,000 yang ditawarkan penganjur kepada peserta yang bermastautin di negeri itu.

Tempat kedua disandang Rashidi Mohamad yang menaikkan ikan Daun Baru seberat 1.065kg sekaligus menerima RM4,000 dan tambahan RM1,000 sebagai warga Selangor.

Tempat ketiga disandang Suria Mat Sahar yang menaikkan Daun Baru 0.89kg sekaligus membawa pulang RM2,000 serta tambahan RM500 sebagai warga Selangor.

Hadiah disampaikan YB Ir Idzham di pekarangan PNK Resort Bagan Lalang, di sini. Turut hadir Adun Sungai Pelek, Lwi Kian Keong; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil; dan Pengarah LKIM Selangor, Siti Hawa Delaila Tukiran.

Pada majlis itu, penganjur turut menyediakan 50 hadiah cabutan bertuah serta tiga cabutan bonanza televisyen 32 inci. Bagaimanapun, berikutan peserta yang tidak berganjak ketika acara sampai di penghujung, penganjur membuat keputusan menjadikan hadiah wang tunai yang tidak dimenangi bagi kategori Anak Selangor sebanyak RM2,600 sebagai cabutan bertuah. Pihak Wakjali Event juga menambah RM1,000 lagi sebagai cabutan bertuah kepada pemenang.

Lima daerah di Selangor mempunyai pantai yang sesuai bagi pertandingan memacing iaitu Pantai Bagan Lalang (Sepang), Pantai Kelanang (Kuala Langat), Tanjung Harapan (Klang), Pantai Remis (Kuala Selangor) dan Pantai Sungai Lang (Sabak Bernam). Empat lagi daerah mempunyai tasik yang turut sesuai bagi aktiviti memancing.

MALAYSIA AUTO FEST 2024 MENDAPAT SAMBUTAN MENGALAKKAN DARI PENGUNJUNG.

0
Perhimpunan ini turut menarik penyertaan delegasi antarabangsa dari negara seperti Thailand dan Singapura.

KUALA LUMPUR, 2 Disember – Malaysia Auto Fest 2024 berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga kota terutama di kalangan peminat automotif.

Himpunan terbesar buat kali ketiga itu berlangsung selama dua hari berturut-turut mulai 30 November hingga 1 Disember di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur disini.

Menurut pengarah program, Dev Jbc berkata, tujuan acara itu dianjurkan adalah untuk mempromosikan industri automotif serta potensinya di kalangan masyarakat.

Selain itu acara yang dianjurkan oleh Persatuan Autoshow Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sokong oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Tourism Malaysia ini turut diharapkan dapat melonjakkan lagi industri automotif yang mulai berkembang maju hari ini.

“Malaysia Auto Fest 2024 berjaya menarik penyertaan lebih daripada 300 peserta pameran yang terdiri daripada para penggiat industri automotif merangkumi pelbagai sektor.

“Bagi memeriahkan acara sepanjang dua hari berturut-turut ini, pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk disaksikan dan hiburan pengunjung yang hadir,” katanya.

“Antara jenis kereta yang dipamerkan nanti seperti Mustang, GTR, Mazda, Toyota, Camaro Tesla, BMW, Nissan, Honda Alphard, Mini Cooper, Mitsubishi, Lamborghini, Hiace Dan Audi,’ katanya lagi.

Perhimpunan ini turut menarik penyertaan delegasi antarabangsa dari negara seperti Thailand dan Singapura.

Dalam pada itu, semua peserta pertandingan menerima hadiah kemenangan masing-masing pada majlis ringkas yang berlangsung petang semalam di tapak acara pameran.

Sekalung tahniah kepada pihak penganjur yang memastikan penganjuran program Malaysia Auto Fest 2024 ini berjalan dengan jayanya sepanjang dua hari ia berlangsung.

Seterusnya tahniah diucapkan kepada para pemenang yang berjaya membawa pulang hadiah lumayan.

Pastinya program ini bukan sahaja mengukir kenangan manis, malah mencipta kenangan indah untuk dikenang di masa akan datang.

CABARAN MEMANCING BAGAN LALANG TAWAR RM53,000, AHAD INI.

0
Pantai Bagan Lalang yang menjadi tumpuan pelancong di Selangor.

SEPANG – Hadiah wang tunai keseluruhan RM53,000 menanti pemenang pertandingan memancing Terbuka Selangor di Pantai Bagan Lalang, dekat sini Ahad ini.

Pertandingan anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)  dan Wakjali Event  Management itu, menawarkan hadiah wang tunai juara bagi Kategori Terbuka RM15,000 untuk juara, naib juara menerima RM4,000 dan ketiga RM2,000. Pemenang keempat dan kelima menerima RM500, keenam -10 (RM300) dan ke-11 – 100  menerima RM100).

Penganjur turut menawarkan hadiah wang tunai bagi kategori spesis belukang dan ikan duri berjumlah RM14,500 serta hadiah tambahan sebanyak RM6,000 bagi peserta kelahiran dan pemastautin di Selangor.

Jurucakap pertandingan, Md Zali Kasran berkata idea penganjuran acara itu dicetuskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian & Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani Selangor, YB Ir Izham Hashim.

“Acara ini akan bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Ini adalah acara kedua dianjurkan UPEN setelah kejayaan penganjuran kali pertama di Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang pada 26 Oktober lalu.

“Ini adalah kali pertama pertandingan memancing diadakan di Pantai Bagan Lalang sejak lebih lima tahun lalu. Pantai ini akan ditutup sementara daripada aktiviti mandi-manda sepanjang tempoh pertandingan bagi mengelak berlaku kemalangan di kalangan pengunjung pantai,’’ katanya.

Selain hadiah wang tunai, pemancing juga berpeluang membawa pulang 50 hadiah cabutan bertuah termasuk tiga unit televisyen 32 inci.

Yuran penyertaan RM75 untuk satu joran manakala bagi peserta kelainan upaya (OKU), yuran adalah RM50.

Pertanyaan dan pendaftaran boleh berhubung dengan penganjur di talian 012-2141401 dan 012-6823479.

REZEKI PATIN 16.725 KG DINOBATKAN JUARA CABARAN MEMANCING KUALA LUMPUR 2024

0
Pengarah, Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Supian Zainuddin dan DX Fishing Tackle, Dixon Wong bersama para pemenang Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024.

Kuala Lumpur, 25 November – Berumur 13 tahun, seorang pelajar tingkatan satu dinobatkan sebagai juara Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024 yang diadakan di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur semalam.

Deimas Ardaan Shah, 13 tahun dari Kuala Lumpur membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 selepas berjaya menaikkan seekor ikan patin seberat 16.725 kilogram (kg) kira-kira pukul 12.03 tengahari.

Dia menyifatkan tuah buatnya menggunakan roti berperisa pandan sebelum disambar patin yang memaksanya mengambil masa lebih 8 minit bagi menaikkan ikan tersebut.

Katanya, dia selalu mengikuti pertandingan memancing di tasik tasik ibukota sejak dahulu lagi.

Jelasnya, dia tidak pernah patah semangat walaupun acap kali kecundang dan kali ini rezeki berpihak kepadanya.

“Ini sudah rezeki saya dan wang kemenangan ini akan digunakan untuk membeli peralatan kelengkapan sekolah dan berkongsi dengan ayahnya yang sama-sama menyertai pertandingan memancing itu,” ujarnya.

Tempat kedua disandang oleh Muhammad Imaduddih Izzul Islam, yang membawa pulang RM2,000 dan Nor Akmal Hakim Mohd Tajuddin (RM1,000) selepas masing-masing menaikkan patin seberat 15.235 kg dan 14.960 kg.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pengarah, Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Supian Zainuddin dan DX Fishing Tackle, Dixon Wong.

Dalam pada itu, Supian berkata, Cabaran memancing Kuala Lumpur diadakan bagi memberi manfaat kepada masyarakat melalui pertandingan memancing.

“Objektif utama menganjurkan pertandingan itu bagi menyokong usaha kerajaan mempromosi pelancongan dalam negara menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia yang didukung oleh Tourism Malaysia,” katanya.

“Saya sangat berpuas hati apabila acara ini mendapat sambutan yang sangat baik dan disertai oleh pelbagai bangsa dan usia begitujuga kehadiran kaki pancing dari Perak, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur amnya.

“Malah, kehadiran kaki pancing luar Kuala Lumpur dapat menggalakan rakyat Malaysia melaksanakan aktiviti pelancongan domestik selain membantu merancakkan ekonomi pelancongan domestik negara terutamanya pertandingan memancing ini,” jelasnya.

Cabaran memancing Kuala Lumpur 2024 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 kepada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan.

Pertandingan anjuran Airfour Classic dan DBKL dengam kerjasama turut mendapat sokongan dari Tourism Malaysia selain dapat membantu MOTAC dan Tourism Malaysia dalam persediaan menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pertandingan itu menyaksikan sebanyak hampir 500 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan oleh peserta.

CABARAN MEMANCING KUALA LUMPUR DI TASIK PERMAISURI, KUALA LUMPUR, AHAD INI.

0
Kamal (Tengah) ketika majlis pelepasan spesis Baung untuk Cabaran Memancing Kuala Lumpur Ahad ini.

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Hadiah termasuk wang tunai keseluruhan bernilai RM20,000 menanti peserta Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024, Ahad ini.

Pertandingan yang diadakan di Tasik Permaisuri itu dijangka disertai 500 peserta.

Timbalan Pengarah TM Wilayah Tengah, Kamal Bin Ais berkata, pihaknya menggalakkan rakyat Malaysia merancang percutian domestik, sekali gus menyokong penggiat industri pelancongan tempatan melalui program Cabaran Memancing Kuala Lumpur ini.

“Jadi program ini bertujuan memberi motivasi dan sokongan kepada penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur bagi merangsang pertumbuhan industri pelancongan di ibu kota terutamanya tasik-tasik di Kuala Lumpur sebagai riadah sihat bersama keluarga merapatkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan komuniti setempat.

“Aktiviti bertemakan cuti cuti Malaysia itu sememangnya dinantikan kaki pancing khususnya di ibu kota.

“Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing antaranya tilapia, patin, belida, toman, keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100gram hingga 15 kilogram.

“Tasik Permaisuri tidak akan menghampakan pemancing di tasik ini khususnya warga kota,” katanya ketika melepaskan hampir 200 kilogram ikan baung berat antara 600 gram hingga dua kilogram.

Pada masa sama Kamal berkata, para peserta juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama keluarga sepanjang menyertai aktiviti tersebut.

“Selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan.

“Matlamat kita dalam menggalakkan pelancongan domestik tercapai apabila melibatkan kehadiran pelancong dari luar ke Kuala Lumpur amnya,” katanya.

Juara pertandingan akan membawa pulang RM6,000, naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000), ke 4 hingga ke-10 (RM200).

Tempat ke-11hingga 20 (RM150) dan tempat ke-21 hingga 100 (RM100 setiap seorang).

“Cabutan bertuah antaranya TV 32 inci serta barangan peralatan memancing menanti peserta,” ujarnya.

Penganjuran bersama Airfour Classic dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mendapat sokongan dari Tourism Malaysia selain dapat membantu MOTAC dan Tourism Malaysia dalam persediaan menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Yuran RM50 dikenakan untuk sebatang joran dan 400 penyertaan awal akan menerima baju-T sumbangan penaja.

Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini mulai jam 4 petang hingga 7 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811 atau melayari laman sosial facebook.com/jorankl.

PIZOL HAZMI JUARA KESELURUHAN GOLF ELITE CLASSIC 2024 DI KUANTAN

0

KUANTAN, 18 Nov – Aksi cemerlang dengan mencatat 68 pukulan 4 di bawah par menobatkan Pizol Hazmi sebagai juara keseluruhan Kejohanan Golf Elite Classic 2024 yang berlangsung di Kelab Golf Mahkota Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Para pemenang kejohanan golf Elite Classic di Kuantan baru-baru ini.

Bersaing rapat dengan Pizol ialah YK Ng Kiong yang muncul juara kategori A dengan 70 pukulan, dua bawah par.

Hazlan Ghazali pula menjuarai kategori B dengan 71 pukulan manakala Mohd Rafi Abd Hamid mengungguli kategori C dengan 76 pukulan.

Kejohanan anjuran pembekal dan pengedar peralatan golf EC Elite Alfa Sports itu menyaksikan seramai 123 pemain amatur bersaing untuk meraihkan barangan hadiah hampir bernilai RM130 ribu sumbangan Adidas Malaysia.

Penaja-penaja lain termasuk Hol Keen Services Sdn Bhd dan Heen Motor Sdn Bhd yang masing-masingnya menaja sebuah kereta Proton S70 serta motosikal Yamaha MT15 untuk pemenang hole-in- one manakala TrackMan pula menyediakan hadiah kepada pemenang pukulan (tee-off) paling jauh.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh wakil daripada Adidas Malaysia, Kevin Ng.

PROGRAM SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR NEGARA 2024 PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR MERIAH

0

27 OKTOBER 2024, WP KUALA LUMPUR- Program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur anjuran Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) dengan kerjasama Jabatan Lanskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju telah diadakan di 12 lokasi Taman Rekreasi Awam di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara serentak.

Daripada 12 Taman Rekreasi Awam ini, Taman Tasik Danau Kota, Wangsa Maju telah dipilih untuk menjadi lokasi utama bagi penganjuran program ini.

Program sambutan yang berkonsepkan riadah ini telah diserikan dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Ts. Zahir bin Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju.

Turut sama mengiringi Yang Berhormat adalah Puan Hajah Zuraini binti Haji Ahmad Tajudin, Pengarah JASWPKL.

Sambutan HASN 2024 ini bertambah meriah dengan sesi Penyampaian Anugerah- Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar dan Pemenang bagi Pertandingan Video Pengumpulan E-waste Peringkat Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan antaranya Jom kekal sihat, Mari bersenam, Fun Plogging, Jog For Junk, Jom Baling Bebola Lumpur “ Little Splash Mud Ball Attack!!”, Jom Kitar Semula – Pengumpulan Minyak masak terpakai, Kuiz Alam Sekitar, Aktiviti Mewarna Kanak-kanak, Permainan Interaktif – Virtual Reality, Demo Masakan, Edaran pokok herba percuma, Pengumpulan Ewaste- Trash to Treasure dan Cabutan Bertuah.

JASWPKL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Rakan Strategik, Agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan, sektor swasta mahupun institusi pendidikan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program sambutan HASN 2024 ini.

Diharapkan supaya sambutan dan usaha ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya Warga Kuala Lumpur mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta menggalakkan penglibatan semua pihak dalam usaha melestarikan alam sekitar.

KARNIVAL CUTI-CUTI MALAYSIA 2024 RINTIS PERSPEKTIF BAHARU PELANCONGAN DOMESTIK

0

KUALA LUMPUR, 27  Oktober 2024 – Kempen Cuti-Cuti Malaysia kini tidak lagi berkisar percutian semata-mata apabila buat julung-julung kalinya Tourism Malaysia bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia serta lain-lain agensi di bawah MOTAC bagi menyuntik perspektif baharu dalam mempromosikan pelancongan domestik menerusi penggabungan aktiviti kraf, seni, budaya dan warisan tempatan.

Bertemakan “Crafting Holidays”, penganjuran Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024 yang berlangsung dari 25-27 Oktober 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, bukan sahaja menawarkan lebih 200 jualan pakej pelancongan dengan tawaran diskaun antara 15 sehingga 50 peratus, malah menyajikan pelbagai demonstrasi dan jualan kraf serta makanan warisan.

Turut dilancarkan ialah Pakej Kompleks Kraf yang menawarkan lawatan berpandu berkumpulan serta aktiviti interaktif kraf di empat buah kompleks kraf iaitu Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Langkawi, Kompleks Kraf Johor dan Kompleks Kraf Melaka. Kesemua pusat kraf setempat tersebut memiliki tarikan tersendiri merangkumi komponen seperti Pusat Jualan Kraf, Muzium dan Galeri Kraf Warisan, Perkampungan Kraf, Perkampungan Pelukis, Taman Etno Kraf dan Taman Madu Kelulut. Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan atau menyertai demonstrasi dan aktiviti interaktif kraf seperti anyaman rotan, kraf batik, seramik, copper tooling dan pembuatan kompang.

Untuk memudahkan para pelancong merancang percutian serta mendapatkan produk kraf di setiap negeri, aplikasi Craft On The Go (COTG) turut boleh dimuat turun serta dimanfaatkan oleh pengguna bagi mengetahui maklumat berkenaan profil usahawan, butiran produk, lokasi pusat jualan (outlet) serta akaun media sosial mereka.

YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, sejak tahun 1999, Tourism Malaysia telah mempromosikan penjenamaan kempen Cuti-Cuti Malaysia yang bertujuan mengajak rakyat Malaysia untuk bercuti di dalam negara secara terancang dengan memanfaatkan tawaran pakej istimewa yang dipromosikan sewaktu penganjuran pameran jualan pelancongan.

Beliau berkata, penganjuran KCCM 2024 yang menawarkan pengalaman unik dalam aktiviti kraf, seni, budaya dan warisan tempatan, diharap dapat merancakkan lagi pergerakan pelancongan domestik (interstate dan intrastate) sekali gus berupaya merangsang kunjungan pelawat domestik serta peningkatan ketibaan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pada tahun 2024, kementerian telah menetapkan sasaran seramai 221 juta pelawat domestik dengan jangkaan perbelanjaan domestik sebanyak RM92.7 bilion. Setakat Januari sehingga Jun 2024, prestasi pelancongan domestik merekodkan perkembangan positif apabila mencatatkan 127 juta pelawat domestik dengan perbelanjaan pelancongan domestik sebanyak RM52.2 bilion.

“Angka ini disasarkan akan terus meningkat kepada 241 juta pelawat pada tahun 2025 dan seterusnya kepada 261 juta orang pada tahun 2026 dengan jangkaan perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM115.2 bilion,” katanya.

Antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan kepada para pengunjung merangkumi aktiviti pengembaraan seperti jelajah warisan, sukan air, selam skuba, birding dan stargazing serta pakej penginapan, alam semula jadi, taman tema dan pengalaman budaya.

Selain menampilkan Pasar Saloma yang bertemakan perkampungan Melayu klasik dengan lebih 30 reruai menawarkan pelbagai juadah tradisional, kuih-muih dan produk kraf, para pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan artis, tarian kebudayaan, pertunjukan roti canai terbang, teh tarik dan aktiviti cabutan bertuah.

Penganjuran KCCM 2024 turut disertai oleh Jabatan Warisan Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan Hotel Seri Malaysia serta mendapat sokongan ASTRO, Star Media Group, Zoomer Media, Prowangsa, Advance Sign Indicator (ASI) dan KL Hop-On-Hop-Off (HOHO).

IKAN BAJI 1.095KG BAWA TUAN MUHAMMAD MUTAWALI

0
Ir Idzham bersama para pemenang Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Tanjung Harapan.

KLANG, 28 Oktober – IKAN baji seberat 1.095kilogram membawa tuah kepada Muhammad Mutawalli Mohd Adnan apabila ditabalkan juara Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Tanjung Harapan, dekat sini Sabtu lalu.

Beliau menewaskan Zamiruddin Mohd Yusof yang menaikkan ikan semilang 0.78kg dan Salehuddin Mohd Noor yang menaikkan ikan baji 0.74kg, serta hampir 600 peserta lain.

Dengan kemenangan itu, Muhammad Mutawalli membawa pulang wang tunai RM20,000 yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian & Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dzulkarnain Othman dan Penyelaras Parlimen Kapar, Dato’ Seri Aziz Ayob.

Lebih menggembirakan Muhammad Mutawalli ialah apabila menerima tambahan wang tunai RM3,000 yang ditawarkan penganjur jika pemenang adalah penduduk Selangor.

“Saya tidak menjangka ikan baji yang saya naikkan pada jam 8.45 pagi mampu bertahan pada kedudukan juara sehingga pertandingan tamat.

“Berbekal umpan ulat perumpun, saya memburu spesis bersisik seperti senangin, tetapi baji yang memakan umpan. Alhamdulilah, ini rezeki terbaik saya tahun ini,’’ katanya yang berasal dari Kajang, Selangor

Sementara itu, Zamiruddin yang menduduki tempat kedua membawa pulang RM4,000 serta tambahan RM2,000 sebagai hadiah khas penduduk Selangor. Salehuddin pula hanya berpuas hati menerima RM2,000 sebagai pemenang tepat ketiga tetapi tidak menerima tambahan hadiah RM1,000 apabila penganjur mengesahkan beliau adalah pemastautin di Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ir Idzham berkata beliau gembira apabila pertandingan julung kali anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu, mendapat sambutan menggalakkan.

“Kejayaan acara ini akan menjadi pendorong kepada pihak kerajaan negeri untuk meneruskan acara ini di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 8 Disember ini.

“Kita akan menyediakan hadiah lebih lumayan bagi menarik lebih banyak penyertaan,’’ katanya sambil mengucapkan tahniah di atas penganjuran yang dikendalikan LKIM dan Wakjali Event Management itu

Latest Article

PEARLY TARIK DIRI, IMPIAN BANTU SKUAD UBER TERKUBUR

0
KUALA LUMPUR, 16 April – Skuad badminton wanita negara menerima tamparan menjelang saingan Piala Cup apabila tonggak beregu utama, Pearly Tan, disahkan menarik diri...