CABARAN MEMANCING KUALA LUMPUR DI TASIK PERMAISURI, KUALA LUMPUR, AHAD INI.

0
216
Kamal (Tengah) ketika majlis pelepasan spesis Baung untuk Cabaran Memancing Kuala Lumpur Ahad ini.

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Hadiah termasuk wang tunai keseluruhan bernilai RM20,000 menanti peserta Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024, Ahad ini.

Pertandingan yang diadakan di Tasik Permaisuri itu dijangka disertai 500 peserta.

Timbalan Pengarah TM Wilayah Tengah, Kamal Bin Ais berkata, pihaknya menggalakkan rakyat Malaysia merancang percutian domestik, sekali gus menyokong penggiat industri pelancongan tempatan melalui program Cabaran Memancing Kuala Lumpur ini.

“Jadi program ini bertujuan memberi motivasi dan sokongan kepada penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur bagi merangsang pertumbuhan industri pelancongan di ibu kota terutamanya tasik-tasik di Kuala Lumpur sebagai riadah sihat bersama keluarga merapatkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan komuniti setempat.

“Aktiviti bertemakan cuti cuti Malaysia itu sememangnya dinantikan kaki pancing khususnya di ibu kota.

“Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing antaranya tilapia, patin, belida, toman, keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100gram hingga 15 kilogram.

“Tasik Permaisuri tidak akan menghampakan pemancing di tasik ini khususnya warga kota,” katanya ketika melepaskan hampir 200 kilogram ikan baung berat antara 600 gram hingga dua kilogram.

Pada masa sama Kamal berkata, para peserta juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama keluarga sepanjang menyertai aktiviti tersebut.

“Selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan.

“Matlamat kita dalam menggalakkan pelancongan domestik tercapai apabila melibatkan kehadiran pelancong dari luar ke Kuala Lumpur amnya,” katanya.

Juara pertandingan akan membawa pulang RM6,000, naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000), ke 4 hingga ke-10 (RM200).

Tempat ke-11hingga 20 (RM150) dan tempat ke-21 hingga 100 (RM100 setiap seorang).

“Cabutan bertuah antaranya TV 32 inci serta barangan peralatan memancing menanti peserta,” ujarnya.

Penganjuran bersama Airfour Classic dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mendapat sokongan dari Tourism Malaysia selain dapat membantu MOTAC dan Tourism Malaysia dalam persediaan menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Yuran RM50 dikenakan untuk sebatang joran dan 400 penyertaan awal akan menerima baju-T sumbangan penaja.

Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini mulai jam 4 petang hingga 7 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811 atau melayari laman sosial facebook.com/jorankl.

About The Author