BERHENTI AMBIL WARGA ASING BEKERJA DI HOTEL

0
1591

Oleh Khalid Noorshah
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kesatuan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia (NUHBRW) mengalu-alukan pengumuman Kementerian Sumber Manusia untuk membekukan pengambilan warga asing dalam semua sektor sehingga akhir tahun ini sambil menyifatkan ia satu langkah yang tepat.
“Satu kenyataan yang berani oleh Menteri Sumber Manusia yang ditunggu-tunggu oleh ramai warga pekerja. Harap-harap beliau “Walk the Talk” dan benar-benar ambil tindakan,” kata Setiausaha Agungnya, Rusli Affandi ketika dihubungi hari ini sambil menggesa kerajaan supaya menimbang untuk menghentikan terus kebenaran pengambilan warga asing untuk bekerja di hotel-hotel tempatan.

Setiausaha Agung NUHBRW, Rusli Affandi

Beliau berkata, pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa setiap negara haruslah bersedia membangunkan modal insan warga sendiri dalam setiap sektor pekerjaan supaya negara tidak terlalu bergantung dengan pekerja warga asing.
“Semua jawatan yang sebelum ini dijawat oleh pekerja asing haruslah diisi dengan pekerja tempatan. Mungkin dengan transasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, negara boleh menggurangkan atau menolak kepada penggunaan pekerja asing.

“Jika kita melawat Jepun, contohnya, kita akan dapati bahawa warga Jepun akan melayan pelancong dan penginap hotel dari Meja Depan, Pembantu Bilik hingga ke Coffee House,” katanya sambil menambah pekerja hotel dari kalangan rakyat tempatan sebenarnya

memainkan peranan besar sebagai duta kecil negara.
Rusli berkata, penghayatan pertama para pelancong samada tempatan mahupun dari negara luar sangat penting malah sudah diketahui bahawa pelancong luar negara lebih suka dan menyenangi layanan mesra yang diberikan oleh rakyat tempatan berbanding pekerja warga asing.
“Sekarang ini, ramai pekerja hotel yang menganggur akibat penutupan beberapa hotel di seluruh negara, maka merekalah yang perlu diberi keutamaan untuk diberi kerja.
“Sekarang masa yang terbaik untuk mengenalpasti kekurangan yang ada dalam tenaga kerja kita dan membangunkan mereka bagi memenuhi kehendak industri,” katanya sambil menambah rakyat tempatan terutama dalam industri perhotelan juga rajin, berkebolehan dan berdisiplin tinggi.

Menurut beliau, warga asing dari Nepal dan Bangladesh yang datang ke sini untuk bekerja di hotel-hotel tempatan mungkin melakukan yang terbaik tetapi mereka kekurangan semangat patriotik dalam melakukan tugas malah tidak boleh menghayati pelbagai aspek pelancongan lain termasuk kebudayaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Dari segi upah dan gaji sama sahaja bagi warga tempatan dan warga asing kerana semua majikan dimestikan membayar gaji minimum RM1,200 sebulan tanpa mengira kelulusan dan jawatan yang disandang kecuali bagi mereka yang menyandang jawatan penyelia,” katanya.
Rusli turut mendakwa, kebenaran pengambilan pekerja asing juga membuka ruang untuk majikan memanipulasi tenaga kerja kerana NUHBRW ada menerima laporan mengenai pekerja asing dikerah bekerja sehingga 12 jam sehari tanpa perlu dibayar upah kerja lebih masa, tiada caruman ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here