BAYAR SEHARI DUDUK DUA HARI

0
1019

Oleh Khalid Noorshah

Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein

KUALA LUMPUR – Bayar bilik satu malam untuk tinggal dua malam – ini adalah antara pakej menarik yang ditawarkan oleh hotel-hotel budget seluruh Malaysia sebagai langkah untuk merancakkan semula industri pelancongan dalam negara.
Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein berkata, para pelancong tempatan yang ingin menikmati tawaran itu sudah boleh membuat tempahan baucer pakej berkenaan di portal Malaysia Welcomes You yang disokong oleh Pelancongan Malaysia.
“Baucer itu laku sehingga June 2021,” kata beliau kepada hubmedia.my ketika dihubungi selepas menghadiri pelancaran Kempen Cuti-Cuti Malaysia oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac), Dato’ Sri Nancy Shukri di Putrajaya hari ini.
Menurut Emmy Suraya, pihaknya menyedari bahawa akibat pandemik Covid-19 orang ramai berhati-hati dalam berbelanja dengan mengutamakan apa yang perlu sahaja oleh itu tawaran pakej tersebut diharap boleh membantu pelancong tempatan mengawal aliran tunai masing-masing.
Beliau berkata, kebenaran merentas negeri yang diumumkan Ahad lalu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberi pendekatan yang positif terhadap hotel budget di kalangan pelancong tempatan.
PKPP yang berkuatkuasa mulai hari ini membenarkan perjalanan rentas negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Walaupun hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat, penjarakan social, perlindungan diri dan kebersihan diri masih dikuatkuasakan.
“Persatuan juga menyambut baik insentif-insentif yang dibentangkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan baru-baru ini di mana cukai pelancongan dikecualikan sementara pengecualian perkhidmatan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021 mulai Julai ini.
“Pengumuman pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan dalam negara sehingga Disember 2021 juga bagus kerana ia menggalakkan masyarakat kita melancong ke destinasi-destinasi tempatan yang masih banyak belum mereka terokai,” katanya.
Penjana yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun lalu terdiri daripada 40 inisiatif bernilai RM35 bilion untuk membantu usaha pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
Walaupun begitu, Emmy Suraya berharap kerajaan menimbang semula insentif itu dengan memberi pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan dalam negara setiap tahun mulai tahun ini bagi tempoh tiga tahun.
Menurut beliau, Mybha sudahpun memberi ulasan mengenai pelepasan cukai individu yang diumumkan itu kepada Motac sambil menjelaskan bahawa cadangan awal Mybha kepada Motac ialah memberi pelepasan cukai individu RM3,000 hingga RM5,000 bagi menggalakkan industri pelancongan dalam negara.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here