PELANCONG KESIHATAN GAGAL PATUHI SOP DIBATALKAN

0
967
Oleh KHALID NOORSHAH
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kegagalan untuk mematuhi porsedur operasi standard (SOP) akan mengakibatkan permohonan seseorang pelancong kesihatan ke Malaysia dibatalkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Syerene Azli.
“MHTC tetap berpandukan SOP yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan. Kita akan bekerjasama dengan pasukan teknikal negeri-negeri dengan memberi contoh tindakan keselamatan untuk rakyat tempatan dan mematuhi arahan Kerajaan Persekutuan yang mengutamakan keselamatan negara.

“Dari mula lagi, kami telus berkenaan SOP yang perlu dipatuhi oleh pelancong kesihatan yang hendak mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Syerene Azli
Beliau mengulas berkenaan keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengumumkan pada 17 Ogos lalu bahawa negeri itu tidak membenarkan pelancong kesihatan mendapat rawatan di negeri itu berikutan adanya kes Covid-19 di kesan semula.
Hubmedia.my difahamkan, pada masa ini, hanya sebuah hospital sahaja di Pulau Pinang yang merawat pelancong kesihatan.
Syerene berkata, MHTC mengulangi komitmennya kepada keselamatan nasional dan juga keselamatan rakyat Malaysia melalui pematuhan SOP yang ketat dalam pelaksanaan pengurusan terbaik bagi membendung penyebaran virus Covid-19.
Menurutnya, sejak 1 Julai sehingga 19 Ogos ini, hanya 10% daripada 250 permohonan yang diterima daripada pelancongan kesihatan telah diluluskan dan sehingga ini 16 orang pelancong kesihatan telah tiba untuk menerima rawatan dan tiga dari mereka sudah pun pulang selepas selesai menerima rawatan masing-masing.
“Kebanyakan pesakit yang berada di sini sedang menerima rawatan untuk kanser, pembedahan dan keperluan perubatan yang berkaitan,” tambah beliau.
Menurut Syerene, kumpulan pertama seramai tiga orang dari Indonesia ke Pulau Pinang telah mematuhi SOP yang ketat yang telah dimajukan oleh Kementerian Kesihatan dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara, katanya.
“Pelancong-pelancong kesihatan itu dan pengiring masing-masing telah diuji negatif Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia, diuji negatif apabila tiba di Malaysia dan kini sedang menjalani kuarantin 14 hari mengikut SOP dalaman institusi rawatan pilihan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, sejak Januari 2020 sehinggalah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih 300,000 orang pelancong kesihatan telah mendapatkan rawatan di Malaysia dan sehingga kini, MHTC masih menerima pertanyaan daripada pelancong kesihatan terutama daripada mereka yang terdesak memerlukan rawatan perubatan.
Syerene menarilk perhatian bahawa daripada sejumlah 76 hospital rakan MHTC, hanya 15 hospital yang mempunyai SOP yang ketat terlibat dalam merawat pelancong kesihatan
Pada tahun 2019, Malaysia menerima 1.3 juta pelancong kesihatan dengan hasil RM1.7 bilion.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here