PURATA KADAR PENGINAPAN DI HOTEL CECAH 21.5 PERATUS – MAH

0
1240
Oleh KHALID NOORSHAH
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dalam kenyataan medianya hari ini, menjelaskan bahawa purata kadar penginapan hotel di seluruh negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah mencapai kadar 21.5 peratus.
Menurut kenyataan tersebut, peratusan itu diperoleh daripada laporan kadar penginapan hotel yang dikumpul daripada 13 cawangannya di seluruh negara dan telah pun diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) sebelum ini.
Kenyataan dengan tajuk Kadar Penginapan Hotel Semasa PKPP Kian Pulih Tapi Masih Genting itu mengulas laporan pelbagai media terhadap jawapan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) di Parlimen kelmarin apabila memetik data MOTAC yang diterima daripada MAH dan pihak-pihak lain bahawa kadar penginapan hotel berada di tahap antara 75 hingga 100 peratus.
Difahamkan bahawa laporan media tempatan mengenai perkara itu tidak tepat dan telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pemegang taruh terutama industri hotel yang terjejas teruk seawal Januari 2020 akibat pandemik Covid-19.
Menurut MAH, selepas meneliti rakaman video Datuk Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu, ada kenyataan yang menyebut 75 peratus, ada yang 100 peratus sebagai merujuk kepada kadar penginapan di beberapa hotel dan bukannya kadar purata penginapan hotel di seluruh negara.
Kelmarin di Parlimen, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) telah mempertikaikan fakta Menteri tersebut dan berpendapat bahawa kadar penginapan hotel dengan purata 31 peratus sahaja tetapi Nancy menyanggah pandangan tersebut dengan menyatakan bahawa MOTAC yang menerima laporan daripada pemain industri dan bukannya wakil rakyat itu.

Menurut kenyataan akhbar itu, MAH juga perhatikan bahawa terdapat penginapan yang tinggi pada hujung minggu lepas di beberapa destinasi terpilih dan hotel di Melaka, Pulau Pinang, Port Dickson dan juga di Kelantan, Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
“Beberapa negeri mengalami purata penginapan hotel yang tinggi bagi bulan Julai ini, menandakan kembalinya pelancongan dalam negeri iaitu Terengganu dan Kelantan, masing-masing pada kadar 70 dan 75 peratus,” katanya.
Kadar penginapan tinggi yang dicatat di destinasi-destinasi tersebut berkemungkinan sementara dan bermusim di mana penduduk tempatan mengambil kesempatan daripada cuti hujung minggu sebelum persekolahan dibuka, tambahnya
“Bandar-bandar utama dan negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Sabah dan juga Kedah serta Perlis masih rendah dengan purata kadar penginapan antara 12% hingga 20% pada tahap yang paling tinggi,” kata Ketua Eksekutif MAH, Yap Lip Seng dalam kenyataan akhbar itu.
Menurutnya, pihak industri sedang bekerjasama rapat dengan MOTAC dan Tourism Malaysia dalam usaha menggalakkan pelancongan dalam negeri di samping meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pengecualian cukai peribadi sebanyak RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan dalam negeri di hotel-hotel berdaftar bagi tahun 2020 dan 2021.
“Rakyat Malaysia juga patut mengambil kesempatan terhadap pengecualian Cukai Perkhidmatan (SST) di hotel selain daripada promosi dan tawaran-tawaran menarik,” tambah Yap.
Menurut kenyataan akhbar itu, pada awal bulan ini, MAH telah melancarkan “Malaysia Bersih Selamat” iaitu program pensijilan kebersihan dan kesihatan untuk hotel dan satu-satunya yang disokong oleh MOTAC.
Program itu penanda aras bagi standard kebersihan dan keselamantan industri hotel di Malaysia. Para pelancong tempatan dan antarabangsa kini boleh mengharapkan ketenteraman dan ketenangan fikiran apabila menginap di hotel, kata kenyataan itu.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here