SANTAI PANCING AGENDA PERTAMA PORT DICKSON BAGI TAHUN 2024

0
605
Yang Dipertua MPPD, Nurhazelin Makli (kiri) bersama Penyelia Unit Pelancongan MPPD, Hamiza Hasnin ketika melancarkan Santai Pancing PD 2024 di Port Dickson baru-baru ini.

PORT DICKSON, 28 Jan – Kira-kira 700 kaki pancing dijangka berkampung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 17 Februari nanti bagi menyahut cabaran pada pertandingan Santai Pancing Port Dickson 2024 yang memasuki tahun ke-5 tahun ini.

Acara yang dianjurkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ini menawarkan hadiah wang tunai RM12,000 sebagai hadiah utama.

Yang Dipertua MPPD, Nurhazelin Makli menjelaskan acara ini bukan sahaja menyediakan medan buat kaki pancing bersaing sesama sendiri tetapi turut memainkan peranan mempromosikan keindahan pantai-pantai yang terdapat di sekitar Port Dickson.

“Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masingnya menerima RM3,000 dan RM1,000,” kata Nurhazelin dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hadiah wang tunai juga disediakan kepada para pemenang sehingga tempat ke-100 dan ia berkonsep sapu bersih.

“Kaunter pendaftaran akan mula dibuka pada hari Jumaat (16 Februari 2024) bermula pukul 3 petang hingga 9 malam,” katanya.

Khemah urus setia akan dibuka di lokasi pertandingan bagi memudahkan para peserta membuat mendaftaran dan yuran penyertaan adalah RM70 untuk setiap joran.

“Pelbagai spesies ikan antaranya daun baru, bayan dan tetanda terdapat di pantai ini, jadi semua peserta berpeluang untuk bergelar juara,” kata Nurhazelin.

“Port Dickson juga kaya dengan pelbagai spesies ikan gred A seperti ebek, bawal pinang, daun baru, gerong belang dan lain-lain.”

Mengulas lanjut, Nurhazelin menjelaskan bahawa 500 peserta yang mendaftar awal akan menerima baju-T daripada pihak penganjur manakala peserta bertuah pula berpeluang membawa pulang hadiah bonanza berupa dua buah televisyen bersaiz 32 dan 42 inci.

“Pantai Cahaya Negeri yang sinonim sebagai lokasi memancing diharap dapat menarik para pelancong domestik di samping membantu ekonomi penduduk tempatan,” ujarnya.

Katanya, Port Dickson dikenali sebagai “Bandar Pelancongan” yang mempunyai 10 pantai dan pelbagai tempat menarik sebagai tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara seperti Muzium Tentera Darat, Muzium Kota Lukut, Rumah Api Tanjung Tuan selain terkenal dengan hotel-hotel bertaraf antarabangsa.

Ayuh kaki pancing jom bawa keluarga bercuti di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.

Ketika berlangsungnya pertandingan itu nanti, ahli keluarga peserta juga boleh meneroka flora dan fauna di pulau burung yang terdapat di lokasi pertandingan berkenaan.

“Saya menyeru agar para peserta nanti bertanding secara sihat, menang atau kalah adat bertanding dan paling penting adalah bercuti bersama keluarga dalam program Santai Pancing Port Dickson yang merupakan program pertama bagi tahun 2024,” jelasnya.

Suasana pertandingan Santai Pancing PD pada musim lalu.

Port Dickson mempunyai banyak tempat menarik yang perlu dinikmati oleh orang ramai antaranya Ekopelancongan seperti PD Forest Sungai Menyala, Hutan Lipur Pasir Panjang, Muzium Lukut dan Kota Lukut, Muzium Tentera Darat dan Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas.

Begitu juga Sky Ladder Pineapple Farm, Pd Ostrich Farm dan Rumah Terbalik Port Dickson turut menjadi tumpuan para pengunjung.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh menghubungi pihak urus setia di talian 013-2667011, 017-6805934, 012-3554946 atau 012-2846811.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here