BUKAN KEMENANGAN YANG DICARI TETAPI KEPUASAN – IKA

0
3154

 

 

Oleh ASAN AHMAD

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Bukan kemenangan yang dia cari, tetapi kepuasan.

Perwatakannya lemah lembut, tetapi hatinya kental serta sentiasa mahu mencuba sesuatu aktiviti yang dikatakan lasak.

Ya…dia wanita kental yang tidak pernah jemu melakukan aktiviti lasak bagi memenuhi kepuasan diri.

Kepuasan adalah kejayaan yang sangat bermakna buat wanita cekal yang berasal dari Subang, Selangor ini, Nur Atikah Azwar atau lebih popular dengan nama glamournya – ‘Rider Helmet Pink’.

Bidang yang diminatinya pula bukan calang-calang – iaitu bidang yang sememangnya dikuasai kaum adam.

Memang tidak dinafikan, di luar sana pun ramai kaum wanita yang menceburkan diri dalam aktiviti permotoran, tetapi hanya segelintir sahaja yang berani tampil untuk mencuba bakat mereka di atas litar lumba.

Tahun ini, Atikah yang juga dikenali sebagai Ika, mara selangkah lagi apabila membuat keputusan untuk beraksi pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang membuka tirainya di Litar Sepang hari ini.

Dia beraksi dalam kelas Pro Am, salah satu perlumbaan sokongan dalam kejuaraan berprestij itu.

Sebelum membuat keputusan untuk mencuba sesuatu yang baharu ini, Ika sebenarnya sudah lama berjinak dengan aktiviti berkaitan dengan motosikal.

Malah, dia sering kali melakukan aktiviti  jelajah dengan motosikal ke beberapa negeri di semenanjung yang akan menjadi ‘content’ untuk saluran You Tubenya – Rider Helmet Pink.

‘Solo Ride’ memang sudah biasa dilaluinya, malah pernah melakukan tunggangan pergi balik dari Kuala Lumpur-Pulau Pinang-Kuala Lumpur serta Kuala Lumpur- Johor Bahru-Kuala Lumpur suatu ketika dulu.

Ia aktiviti yang agak luar biasa buat kaum wanita kerana selalunya, kegiatan seperti ini sering dilakukan oleh kaum lelaki.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk kepuasan diri serta menjadikannya sebagai bahan pengisian untuk vlog Rider Helmet Pink.

Memang ramai yang tidak menduga bahawa dia akan membuat kemunculan dalam saingan Cub Prix tahun ini kerana sebelum itu, dia lebih banyak menjalani aktiviti ‘ride’ serta membuat ulasan atau rebiu berkenaan beberapa jenama motosikal – sama ada yang berkuasa tinggi mahu pun yang biasa.

Niat untuk menceburkan diri dalam perlumbaan boleh dikatakan sebagai keputusan yang spontan.

Segala-galanya bermula pada tahun lalu apabila Ika mula mendekatkan diri dengan perlumbaan Cub Prix.

Dia hadir hampir di setiap pusingan Cub Prix semata-mata untuk mencari material sebagai bahan untuk saluran You Tubenya.

Malah dia turut dipelawa oleh seorang rakan di Cub Prix bagi membantu membuat promosi terhadap aktiviti-aktiviti yang diadakan di setiap pusingan kejuaraan tersebut.

Tanpa disedari, popularitinya semakin terserlah dan daripada situ, dia semakin akrab dengan para pelumba yang beraksi di Cub Prix, malah tiada pelumba yang tidak mengenalinya.

Baginya, sekadar membuat ‘content’ mengenai Cub Prix ternyata belum lengkap kerana dia rupa-rupanya bertekad untuk mencuba sesuatu yang lebih besar dalam kejuaraan tersebut.

Pergaulannya dengan para pelumba di Cub Prix serta perkongsian ilmu dengan mereka, telah melonjakkan semangatnya untuk merasai sendiri suasana perlumbaan.

Maka, sebelum musim 2019 lalu menutup tirainya, dia membuat keputusan untuk merealisasikan impian beraksi di Cub Prix bagi musim 2020 ini.

Daripada situ, dia semakin gagah berlatih bagi mempelajari elemen-elemen yang harus ada pada seorang pelumba sebelum menjejak kaki ke litar perlumbaan.

Sepanjang menjalani latihan, dia berdepan dengan pelbagai cabaran, malah ada yang memandang rendah terhadap kemampuannya.

Tetapi, dia anggap cemuhan-cemuhan itu sebagai kata-kata semangat untuk menguatkan mentalnya.

Ya…seseorang pelumba itu seharusnya memiliki mental yang kuat dan cemuhan seperti itu wajarlah diambil sebagai pengajaran.

Namun, para pelumba yang boleh dianggap sebagai profesional serta rapat dengan Ika, mereka tidak pernah jemu memberi semangat, malah tidak lokek berkongsi pengalaman.

Selain cemuhan, masalah dengan pengendali salah satu litar di Lembah Klang turut dihadapinya. Peraturan di tempat latihan tidak konsisten dan diubah ikut kehendak mereka.

Namun, ia tidak mudah mematahkan semangatnya untuk terus melangkah ke hadapan bagi memenuhi impiannya merasai sendiri suasana berlumba di kejuaraan berprestij seperti Cub Prix.

Masalah penajaan sudah pasti halangan besar buatnya, tetapi dia tidak pernah mengeluh, malah terus melangkah bergaya agar hasratnya untuk membuat penampilan di Cub Prix terlaksana.

Berkat sokongan rakan-rakan, segala cabaran yang ditempuhinya telah dipermudahkan.

Hari ini, dengan memacu jentera Yamaha, Ika telah membuat penampilan pertama menerusi kategori Pro Am.

Walaupun berdepan masalah teknikal ketika mengharungi sesi latihan bebas, ia tetap tidak melunturkan semangatnya meskipun mengakui dia berasa agak gementar pada kemunculan pertama itu.

Begitupun, dia telah memperlihatkan peningkatan pada sesi kelayakan untuk berada dalam kelompok 17 teratas.

Ia sebenarnya satu kejayaan buat seorang pelumba yang belum setahun jagung jika dibandingkan dengan kelompok regular dalam perlumbaan ini.

Apa pun, bukan kemenangan yang dicari tetapi kepuasan.

 

 

 

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here