‘JANGAN MAIN-MAIN DENGAN TBPR’

0
1139

KUALA TERENGGANU, 3 Okt –  Lain macam rentak pasukan Tune Boss Pink Racing. Mereka mungkin masih baharu dalam arena sukan permotoran tempatan, tetapi TBPR sudah mula tunjuk belang. Jadi, jangan ‘main-main’ dengan TBPR kerana para pelumbanya kini semakin garang dan matang di litar.

Walaupun baharu, tetapi ia tak bermakna mereka tidak mampu memberi cabaran, cuma masa dan saatnya sahaja yang akan menentukan.

Secara perlahan, mereka kini sudah mula melangkah ke depan walaupun penampilan pertama pada kejuaraan Cub Prix musim ini tidak lebih sebagai medan untuk menimba pengalaman.

Namun, sebaliknya berlaku apabila barisan pelumbanya semakin bijak mencuri peluang untuk berada di podium kemenangan. Ia satu pencapain yang diluar jangkaan.

Hari ini, pelumba TBPR naik podium lagi dan kejayaan itu diperoleh menerusi Mohd Harith Farhan Baharin pada aksi Pusingan 6 kejuaraan Cub Prix Malaysia yang berlangsung di Litar Lumba Terengganu, Gong Badak.

Harith menamatkan perlumbaan akhir kelas CP125 itu di tempat ketiga dengan catatan masa 13:16.066 saat (s).

Ini merupakan penyudah podium kedua buat TBPR selepas kali pertama melakukannya pada Pusingan 3 di Litar Sepang Utara dua minggu lalu menerusi Harith yang turut menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Semalam, pada saingan Pusingan 5, Harith sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan hari ini, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya menebus kegagalannya dengan penyudah podium yang agak dramatik pada perlumbaan akhir aksi Pusingan 6 itu.

Mengimbas aksi Pusingan 6 hari ini, ia mungkin rentak terbaik pernah dipamerkan oleh Harith. Gaya dia mengawal perlumbaan nampak tenang, malah sudah mula memperlihatkan kemahiran yang tersimpan dalam dirinya.

Dia memulakan perlumbaan akhir itu di petak kedua, tetapi sekali lagi permulaannya masih kurang kemas sehingga menyaksikannya ketinggalan di kedudukan keenam.

Begitupun, dia mampu memintas beberapa pelumba yang berada di hadapannya untuk menghuni  kedudukan ketiga.

Malah, dia turut memimpin perlumbaan untuk beberapa lap, namun kesilapan yang berlaku pada lap ke-12 menyaksikannya hampir terjatuh tetapi masih berjaya mengawal keadaan dengan baik.

Akibat insiden tersebut, dia dipintas oleh dua pelumba yang berada di belakangnya dan kembali menghuni kedudukan kelima.

Menariknya, dia tidak menyerah dan terus melakukan asakan pada lap terakhir dan berjaya menempatkan diri di kedudukan ketiga, sekali gus menghadiahkan podium buat TBPR.

Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba berpangalaman, Md Adib Rosley (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team) dengan catatan masa 13:12.619s manakala Md Firdaus Md Hamdan (Moto1 Kyoko Honda KC Racing Team) meraih tempat kedua dengan masa 13:12.759s.

“Ia perlumbaan yang sangat mencabar dan Alhamdulillah saya berjaya mengawal rentak dengan baik. Namun kestablian jentera saya agak menurun sedikit mungkin disebabkan cuaca yang panas, tetapi masih mampu untuk memberi saingan.

“Terima kasih kepada seluruh kru pasukan, ahli keluarga saya yang telah memberi sokongan kepada saya sepanjang perlumbaan ini. Kejayaan ini adalah hadiah yang sangat bermakna buat mereka semua,” jelas Harith.

Dua lagi pelumba TBPR, Saiful Azhary Muhamad gagal menamatkan perlumbaan manakala Siti Norafizah Mohamad atau Fifi menamatkannya di kedudukan ke-17.

Fifi, satu-satunya pelumba wanita dalam kelas tersebut masih berupaya mengekalkan konsistensi dalam setiap perlumbana yang diharunginya setakat ini. Sejujurnya, dia diramal antara pelumba yang mampu melakar kejutan buat TBPR.

Hari ini, Fifi beraksi dalam keadaan yang kurang cergas selepas terjatuh dan mengalami kecederaan pada sesi latihan bebas Jumaat lalu, namun dia enggan mengalah dan berkeras untuk berlumba.

Impiannya adalah untuk terus mengutip mata, namun misinya gagal kerana kecederaan yang dialaminya itu agak menjejaskan prestasinya pada perlumbaan tersebut.

Malang buat Saiful yang berdepan masalah dengan jenteranya hari ini dan terpaksa keluar daripada persaingan. Dia meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik pada perlumbaan akhir itu.

Pada aksi di Kuala Terengganu ini, TBPR merehatkan pelumba kategori Wira, Siti Norsyafiyah Alia Saarizan atas sebab tertentu. Alia kini menghuni kedudukan ke-22 bagi kategori keseluruhan pelumba dengan memungut satu mata.

Pemilik serta pengurus pasukan TBPR, Nur Atikah Azwar tetap melahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang diraih oleh barisan pelumbanya.

“Dalam sukan permotoran, macam-macam boleh berlaku, jadi setiap kesilapan itu akan memberi input yang baik buat kami. Kami akan terus bekerja keras untuk mengatasinya sebagai persiapan menghadapi pusingan seterusnya,” Atikah.

Menurutnya, di awal perlumbaan itu, seolah-olah macam ada sinar bahawa pelumbanya mampu bergelar juara tetapi apabila Harith agak ketinggalan pada dua lap terakhir, mereka sudah tidak mengharapkan sebarang peluang.

“Selepas Harith ketinggalan pada dua lap terakhir itu, saya sudah tidak menjangkakan keputusan terbaik. Saya hanya berdoa agar Harith menamatkan perlumbaan dengan selamat sebab ketika itu dia nampak ‘struggle’ untuk memperbaiki kedudukan.

“Namun, dia (Harith) tidak putus asa dan terus melakukan asakan dan kerja kerasnya itu telah menyaksikannya menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan ketiga. Saya berasa sangat terharu dengan perjuangannya dan juga Fifi serta Saiful. Mereka adalah pejuang,” jelasnya lagi.

Menurutnya, seluruh pasukan berasa bangga kerana TBPR meninggalkan Kuala Terengganu dengan membawa pulang sebuah piala.

Selepas berakhirnya saingan Pusingan 5 dan 6 di Kuala Terengganu itu, Harith kini berada di kedudukan ketujuh keseluruhan bagi kategori pelumba kelas CP125 dengan mengumpul 59 mata manakala Fifi berada di tangga ke-13 dengan 19 mata. Saiful pula berada di kedudukan ke-17 dengan 12 mata.

Kedudukan pendahulu masih diterajui pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Md Adib Rosley dengan 114 mata.

Bagi kategori berpasukan, TBPR kekal di kedudukan kelima dengan meraih 81 mata.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here