ADIB MAHU TAKLUK TELUK CEMPEDAK

0
219
ADIB (dua dari kanan) ketika hadir pada sidang media POPIC 23 di Rompin, Pahang hari ini.

ROMPIN, 2 Nov – Pendayung Pahang, Mohd Adib Kamaruzrizan bertekad bangkit memburu gelaran juara keseluruhan kejohanan kanu antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 yang membuka tirainya pada Jumaat.

Bagaimanapun, tugas Adib tampak tidak semudah yang dijangka memandangkan dia akan beralih dalam kategori Terbuka Antarabangsa SS1 bagi edisi kedua POPIC tahun ini.

Untuk rekod, atlet berusia 25 tahun itu berjaya menguasai tiga peringkat awal kategori Kebangsaan TK1 tahun lalu, namun gagal mengekalkan momentum tersebut dalam dua baki perlumbaan susulan masalah kecederaan.

“Ya sudah tentu persaingan kali ini lebih mencabar memandangkan saya akan bersaing dalam kategori SS1 yang turut menampilkan peserta dari luar negara termasuk naib juara keseluruhan tahun lalu, Ken Jenkinson.

“Apapun saya sudah bersedia untuk persaingan SS1 tahun ini. Saya sudah membuat persiapan sejak dua bulan lepas dan sasaran saya, mahu memberikan saingan sengit kepada pencabar lain terutamanya peserta luar negara,” katanya.

Selaku anak jati Pahang, Adib yang juga pendayung kebangsaan mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menghadiahkan kejayaan buat peminat sukan kanu tempatan.

“Antara tiga lokasi perlumbaan POPIC tahun ini, yang saya lebih tahu selok belok ialah Pantai Teluk Cempedak di Kuantan. Insya-Allah saya boleh cari makan di situ,” jelasnya.

Peringkat 1 POPIC 2023 akan diadakan di Pantai Rantau Panjang, Rompin, diikuti Peringkat 2 di Pantai Lagenda, Pekan dan Peringkat 3di Pantai Teluk Cempedak.

Sementara itu, Jenkison cukup teruja apabila dapat kembali membuat penampilan pada POPIC, sekali gus mengintai peluang untuk ditabalkan selaku juara keseluruhan bagi edisi kali ini.

“Saya gembira apabila dapat kembali ke sini (Pahang) untuk sekali lagi bertanding dalam POPIC. Secara peribadi, saya berasakan POPIC memiliki keistimewaan yang tersendiri.

“Saya akan cuba memburu gelaran juara, tetapi saya tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Fokus saya untuk cuba memenangi tiga peringkat tahun ini,” ujar pendayung kelahiran Australia itu.

Dengan penyertaan lebih 150 peserta dari dalam dan luar negara, POPIC 2023 mempertandingkan enam kategori – Terbuka Antarabangsa SS1 (lelaki dan wanita); Terbuka Malaysia TK2 (lelaki dan wanita) dan Inter Varsity (lelaki dan wanita).

POPIC 2023 dianjurkan kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama Tourism Pahang dan disokong pelbagai agensi kerajaan selain mendapat sokongan penuh Persatuan Kanu Malaysia (Masca) dan Persatuan Kanu Negeri Pahang.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here