AZIZULHASNI AWANG ADA PELUANG RAIH EMAS DI OLIMPIK TOKYO

0
2195

KUALA LUMPUR, Feb 15 –  Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya juara dunia 2017, Mohd Azizulhasni Awang kini berada pada landasan terbaik untuk menghadiahkan kilauan pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun Ogos nanti.

Pengurus pasukan acara berbasikal ke Sukan Olimpik 2020, Datuk Ashakari Abu Noor menegaskan bahawa persatuan kini memantau prestasi semasa pelumba ranking nombor satu dunia acara pecut (sprint) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau yang baharu kali pertama memikul tanggungjawab sebagai pengurus pasukan di Sukan Olimpik, menegaskan Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman berada pada prestasi terbaik untuk menghadiahkan pingat emas pertama Sukan Olimpik kepada negara.

“Atas kertas, Azizulhasni berpeluang cerah untuk menang pingat emas. Beliau menduduki ranking pertama sprint dan ranking kedua keirin. Beliau boleh menguasai mana-mana acara sama ada sprint atau pun keirin.

“Saya percaya tiada calon dari Eropah, Britain atau Australia yang boleh mendabik dada kononnya mereka ialah calon pilihan untuk merangkul pingat emas. Buktinya beliau baru-baru ini menang pada Kejohanan Trek Kebangsaan Australia.

“Sebagaimana yang kita tahu, pelumba ternama Australia seperti Matthew Glaetzer memang sangat hebat, tetapi Azizulhasni berjaya tewaskan beliau pada Kejohanan Trek Kebangsaan Australia pada Disember lalu.

“Ini menunjukkan Azizulhasni sudah bersedia untuk menguasai acara sprint mahupun keirin di Olimpik Tokyo nanti. Saya berasa yakin beliau akan menghadiah emas Olimpik pertama negara ,” kata Ashakari dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PKBM semalam.

Ashakari menjelaskan Azizulhasni kini mempunyai pengalaman yang sangat luas, kekuatan dalaman, ranking dunia, kematangan ketika berlumba dan kebijaksanaan untuk menilai prestasi pesaing dari Eropah, Britain, Australia atau Jepun.

“Gara-gara pandemik Covid 2019 (Coronavirus 2019), ramai pelumba tidak dapat sertai kejohanan besar. Mereka berlatih tapi tidak sertai kejohanan besar. Di sinilah berlaku banyak andaian. Bagaimanapun, saya percaya Azizulhasni memiliki banyak kelebihan berbanding pelumba lain,” katanya.

Azizulhasni yang bakal tampil pada temasya Sukan Olimpik ke-4 selepas Beijing pada 2008, Britain 2012 dan Brazil pada 2016 kini diiktiraf pelumba ranking pertama sprint dan ranking kedua keirin berdasarkan ranking dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Ashakari yang pernah menjadi pengurus pasukan ke Kejohanan Lumba Basikal Asia 2009 (ACC 2009) di Kalimantan, Indonesia dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, mendedahkan betapa beliau sendiri mengambil pendekatan pro-aktif berhubung dengan perkembangan Azizulhasni daripada semasa ke semasa menerusi aplikasi Whatsapp.

“Kali terakhir kami berhubung ialah pada 13 Februari lalu. Azizul meminta sokongan padu daripada semua pihak di Malaysia. Beliau mahu semua pihak mendoakan agar persiapan beliau berjalan lancar dan berpeluang untuk menang pingat emas di Olimpik Tokyo nanti,” katanya.

Ashakari menegaskan Azizulhasni juga memiliki sedikit kelebihan kerana pernah berlumba di Velodrome Izu dekat Tokyo sebelum ini.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here