BADMINTON, MEMANAH TAMPIL DENGAN AKSI LUAR BIASA

0
368

UBON Ratchathani, 30 Julai – Kontinjen Malaysia boleh menjangkakan kejayaan yang lebih besar daripada skuad badminton dalam acara individu pada temasya Sukan Universiti ASEAN 2022 esok.

Empat wakil akan tampil dalam perlawanan akhir membabitkan acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan wanita dan juga dalam acara beregu campuran.

Satu pingat emas sudah pasti berada dalam genggaman menerusi acara beregu wanita apabila dua pasangan negara akan berentap di final esok, membabitkan pertemuan antara Teoh Lexuan-Yap Rui Chen yang akan menentang rakan sepasukan, Ng Qi Xuan-Desiree Siow Hao Shan.

Dua beregu negara itu menang mudah pada pusingan separuh akhir hari ini dengan gandingan Lexuan-Rui Chen menewaskan pasangan Indonesia Nahla Aufa Dhia Ulhaq-Elizabeth Jovita 21-6; 21-12, manakala Ng Qi Xuan- Desiree mengatasi cabaran pasangan Thailand dengan kemenangan 22-20; 21-18.

Dalam acara perseorangan lelaki pula, cabaran pasukan negara di final akan digalas oleh Faiz Roslan yang menang mudah ke atas lawannya Muhammad Ferbriansyah dari Indonesia.

Pada aksi separuh akhir, Faiz menang 21-5 di set pertama sebelum lawannya itu menarik diri pada set kedua gara-gara kecederaan.

Faiz akan menentang seorang lagi pemain Indonesia, Muhammad Rafi Zafran Ferary di final esok.

Pemburuan pingat emas dalam acara beregu lelaki akan digalas oleh pasangan Mohammad Faris Zaim Abdul Khalid-Ameer Amri Zainuddin dan mereka bakal berdepan ancaman pasangan Indonesia, Nendi Novatino Muhammad-Reza Dwicahya Purnama.

Gandingan Faris-Ameer mara ke final selepas menewaskan pasangan Singapura 21-17; 21-10 di separuh akhir hari ini.

Gandingan Desiree Siow Hao Shan-Tan Kok Xian pula akan menjadi sandaran untuk merebut emas cara beregu campuran selepas mara ke final hasil kemenangan 21-17; 21-19 ke atas pasangan Thailand di separuh akhir hari ini.

Mereka akan berdepan pasangan Indonesia, Dwiki Rafian Restu-Elizabeth pada perlawanan penentuan pingat emas esok.

Sebelum ini, skuad badminton berjaya menguasai saingan bagi acara berpasukan selepas pasukan lelaki dan wanita mudah menewaskan Indonesia di final.

“Jika semua pemain terus konsisten dan mengekal disiplin dalam permainan mereka, insyaAllah kami mampu mencapai kejayaan yang cemerlang. Kita tidak boleh terlalu yakin, sebaliknya fokus dengan setiap perlawanan yang akan dihadapi,” jelas ketua jurulatih, Datuk Rashid Sidek.

Sementara itu, skuad memanah turut melakar keputusan cemerlang hari ini apabila menemah satu lagi slot ke final esok.

Pasukan recurve mix berjaya mara ke final selepas mencatat kemenangan 6-2 ke atas pasukan Singapura di separuh akhir.

Turut mara ke final adalah Zarif Shayyahiir dalam acara recurve individu lelaki selepas berjaya mengatasi cabaran rakan sepasukan Ahmad Afiq 7-1 di peringkat separuh akhir.

Dalam kategori individu wanita pula menyaksikan kemaraan Syaqiera Mashaylkh yang menang 7-1 ke atas atlet Thailand, Jantima Natthakan hari ini. Dia akan berdepan pemanah Indonesia, Octavia di final esok.

Turut mara ke final adalah pasukan recurve lelaki dan wanita dan mereka akan berdepan cabaran Thailand esok.

Ini bermakna, skuad negara mempunyai wakil dalam kesemua 10 slot final bagi acara memanah pada AUG 2022 ini.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here