AUG 2022: KONTINJEN MALAYSIA TERUS MENGORAK LANGKAH

0
582

UBON Ratchathani, 29 Julai –  Tujuh pingat emas, 10 perak dan 4 pingat gangsa berhasil dituai oleh kontinjen negara pada saingan hari keempat temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 hari ini.

Pencapaian tersebut menjadikan jumlah keseluruhan pungutan pingat kontinjen negara kepada 23 emas, 33 perak dan 18 gangsa, sekali gus membolehkan mereka menghuni kedudukan kedua keseluruhan di belakang tuan rumah, Thailand.

Tujuh emas itu disumbangkan oleh skuad olahraga yang berjaya meraih empat  emas, lawan pedang satu emas dan renang dua emas.

Ia boleh dianggap pencapaian yang agak baik kerana setakat ini barisan atlet negara terus konsisten untuk berada di podium emas.

Ketika lawan pedang tampil dengan aksi luar biasa menerusi kemenangan pingat emas yang dilakar oleh Tengku Amran Sharif Tengku Muadzam Sadruddin dalam acara foil individu lelaki, perenang negara pula tampil dengan kutipan dua emas yang diperoleh menerusi Sebastian Soon dalam acara 400 meter individu medley lelaki dan juga daripada kuartet 4x200m gaya bebas lelaki.

Sebastian menamatkan saingan tersebut dengan catatan masa 4:32.27 saat manakala kuartet 4x200m menang emas dengan merekodkan masa 7:32.34s.

Dua pingat perak yang berhasil dituai di kolam renang hari ini adalah menerusi Low Zheng Yong (400m medley individu lelaki); Goh Chia Tong (400m medley individu wanita).

Gangsa pula disumbangkan oleh Ong Yong Qi dalam acara 400m medley individu wanita dan juga daripada Ng Jing Fu menerusi acara 400m kuak lentang lelaki.

Sementara itu, gelanggang olahraga pula menyaksikan skuad negara berjaya meraih empat pingat emas menerusi acara akhir 800m lelaki dan wanita, 3,000 m lari berhalangan dan juga daripada kuartet 4x100m wanita.

Emas acara 800m lelaki dimenangi oleh Muhammad Fazri Wan Zahari dengan masa 1:54.82s manakala Savinder Kaur pula malakukannya dalam acara wanita dengan catatan masa 2:08.85s.

Daren James Nair pula tampil hebat dalam acara 3,000m lari berhalangan selepas menamatkan perlumbaan tersebut dengan masa 9:43.02s.

Emas keempat skuad olahraga negara hari ini disumbangkan oleh kuartet 4x100m wanita yang merekodkan masa 47.18s.

Kuartetr ema situ dibarisi Nor Sarah Adi, Azreen Nabila Alias, Darshini Murugan dan Nur Aishah Rofina Aling.

Kuartet lelaki pula sekadar berpuas hati dengan kemenangan pingat perak.

Turut berlangsung hari ini adalah acara ping pong yang mula membuka gelanggang – dan skuad negara berjaya meraih pingat gangsa menerusi beregu campuran yang diwakili Danny Ng Wann Sing dan Tey Ka Ying.

Esok, kontinjen negara akan meneruskan perjuangan dan acara renang sekali lagi bakal menjadi tumpuan untuk meneruskan pemburuan pingat di bumi Siam ini.

Pada temasya kali ini, Malaysia meletakkan sasaran untuk meraih 35 emas.

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here