BADMINTON MENEPATI RAMALAN, KARATE TERUS MENYENGAT

0
487

UBON RATCHATHANI Thailand, 28 Julai – Kontinjen Malaysia terus tampil dengan aksi cemerlang pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 yang memasuki hari ketiga hari ini.

Pemburuan pingat bermula di Stadium Badminton UBRU dekat sini yang menyaksikan pasukan lelaki dan wanita negara melangkah ke perlawanan akhir dalam acara berpasukan.

Lawan mereka di aksi final itu adalah Indonesia yang dianggap pencabar terkuat pada temasya kali ini.

Seperti dijangka, skuad bimbingan legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek itu berjaya menyumbangkan dua pingat emas buat kontinjen negara.

Skuad lelaki mudah menewaskan Indonesia 3-0 manakala pasukan wanita pula dipaksa bekerja keras sebelum menang 3-2.

Esok, skuad badminton akan memulakan kempen mereka dalam acara individu pula dengan harapan mampu menjelmakan sebutir lagi pingat bagi melengkapkan sasaran 3 emas.

“Setakat ini, semuanya berjalan seperti dirancang dan para pemain telah memberi komitmen seratus peratus dalam setiap perlawanan yang mereka harungi. Jika semangat kental seperti ini dapat diteruskan, insyaAllah sasaran tiga emas mampu dicapai,” jelas Rashid.

Ketika skuad badminton menguasai saingan di Stadium Badminton UBRU, cerita gembira turut berlaku di gelanggang karate.

Selepas tampil cemerlang semalam, skuad kendalian jurulatih S. Sukumaran itu menamatkan saingan hari ini dengan mengutip 3 emas, 3 perak dan 3 gangsa.

Perjuangan mereka di hari ketiga ini bermula dengan pencapaian pingat perak yang didperoleh menerusi Geerijaleswaran Pillai dalam acara kumite individu lelaki bawah 60 kilogram.

Selepas itu, Siti Nur Azwani Nor Azli pula turun ke gelanggang dan dia ternyata tidak mengecewakan apabila menang pingat emas menerusi acara kumite individu Wanita bagi kategori bawah 61kg.

Aksi cemerlang itu diteruskan oleh Sureeya Sankar yang turut meraih pingat emas dalam acara kumite individu lelaki bawah 67kg.

Emas ketiga negara dalam acara karate hari ini disumbangkan oleh Denishroy Arulveeran yang menewaskan atlet tuan rumah, Thailand dalam acara kumite individu lelaki 80kg.

Kathish Ghanasekaran pula menyumbang pingat perak dalam acara bawah 84kg manakala Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (kumite individu lelaki bawah 75kg), Amirah Syahirah Azlan (kumite wanita bawah 68kg) dan S. Rajev Naaidu (kumite bawah 84kg), masing-masingnya menang pingat gangsa.

Esok, skuad negara akan turun dalam acara berpasukan lelaki dan wanita.

Acara renang juga meneruskan perjuangan mereka di kolam renang Ban Yang Noi dan menamatkan kempen mereka hari ini dengan pencapaian satu pingat emas, satu perak dan tiga pingat gangsa.

Pingat emas diraih menerusi kemenangan Welson Sim dalam acara 100m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 51.15 saat.

Hii Puong Wei pula sekadar berpuas hati dengan pencapaian pingat perak dalam acara 200m rampaian dengan masa 2:06.22s manakala tiga pingat gangsa disumbangkan oleh Terence Ng (100m gaya bebas lelaki) dan juga menerusi skuad 4x100m lelaki dan wanita

Skuad olahraga turut tidak mengecewakan hari ini. Tiga emas berjaya dituai menerusi kejayaan Luqman Hakim Ramlan dalam acara lompat jauh lelaki serta Sadat Marzuqi Ajisan (baling tukul besi lelaki) dan Eizlan Dahalan dalam acara lompat tinggi lelaki.

Lompatan Luqman sejauh 7.31 meter sudah cukup untuk menghdiahkan emas buat skuad olahraga yang agak pincang gara-gara beberapa atlet mereka tidak dapat beraksi kerana menjalankan amanah negara di Sukan Komanwel Birmingham ketika ini.

Turut berada dalam senarai pemenang emas bagi skuad olahraga hari ini adalah jaguh lompat tinggi lelaki, Eizlan Dahalan yang berjaya melepasi ketinggian 2.10m.

Rakan sepasukannya, Maslan Mosrin menamatkan saingan di kedudukan kedua untuk pingat perak dengan ketinggiaan 2.10m.

Atlet lain yang menyumbang pingat perak buat skuad olahraga hari ini termasuk Nur Aishah Rufina Aling (200m Wanita); Nurul Ashikin Hussin (10000 jalan kaki Wanita); Nani Sahirah Maryata (lontar peluru wanita) dan Ruslem Zikry Putra Rosli menerusi acara 400m lelaki akhir.

Acara lain yang turut berlangsung hari ini adalah memanah yang masih berada di peringkat kelayakan.

Selepas selesai saingan hari ketiga hari ini, kontinjen negara kini sudah mengumpul 16 emas, 22 perak dan 12 gangsa.

Esok, lima lagi acara membabitkan atlet negara akan berlangsung termasuk badminton individu, renang, olahraga, catur, lawan pedang, sports climbing, memanah dan karate berpasukan.

Andai barisan atlet negara berjaya mengekalkan momentum cemerlang, pastinya lebih banyak emas bakal dijelmakan terutamanya bagi acara olahraga dan karate.

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here