DUA BUAH MOTOSIKAL MENANTI PENONTON BERTUAH PADA PUSINGAN PENUTUP MUSIM CUB PRIX 2021

0
852

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kejuaraan Cub Prix Malaysia bagi musim 2021 bakal melabuhkan tirainya di Litar Sepang Selatan pada 17-19 Disember ini.

Dua pusingan terakhir kejuaraan berprestij itu, iaitu Pusingan 9 dan 10 akan menjadi penentu buat pelumba mana yang akan bergelar juara keseluruhan musim ini.

Setakat ini, pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar mendahului kedudukan keseluruhan bagi kategori CP150 dengan pungutan 125 mata manakala Md Adib Rosley dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team yang sudah mengumpul 150 mata menerajui kategori CP125.

Kedudukan keseluruhan bagi kategori WIra kini diungguli pelumba asal Kuala Lumpur, Md Aqil Danial Nasrul yang sudah mengumpul 113 mata.

Saingan Pusingan 9 akan berlangsung pada 18 Disember manakala Pusingan 10 iaitu pusingan penutup musim dijadualkan berlangsung pada19 Disember. Sesi kelayakan akan diadakan pada 17 Disember.

Selain perebutan untuk gelaran juara keseluruhan dalam kalangan para pelumba di gelanggang perlumbaan, pusingan penutup musim ini bakal menyajikan kejutan buat para penonton yang hadir menyaksikan perlumbaan di Litar Sepang Selatan itu pada 19 Disember nanti.

Pihak penganjur telah menyediakan dua buah motosikal iaitu Yamaha Y15ZR dan Honda RS-X 2022 buat para penonton bertuah.

Untuk menyertai cabutan bertuah ini, para penonton hanya perlu membeli ‘Happy Bag’ Cub Prix yang dijual dengan harga RM50.

Ia boleh dibeli di Khemah Promosi Happy Bag berdekatan dengan pentas utama (grandstand) Litar Sepang Selatan itu.

Untuk pembelian satu beg, para penonton akan mendapat satu kupon bagi menyertai cabutan bertuah itu dan jika membeli dua Happy Bag tersebut, si pembeli akan menerima tiga kupon cabutan bertuah.

Lagi banyak penyertaan, lebih cerah peluang untuk menang hadiah utama iaitu sebuah motosikal yang tengah trending ketika ini.

Selain motosikal sebagai hadiah utama, beberapa hadiah lain turut disediakan termasuk KYT helmet, baju hujan Koyoko, baju-T Corsa, barangan Racing Boy dan banyak lagi.

Majlis cabutan untuk mengumumkan pemenang cabutan bertuah Happy Bag Cup Prix itu akan diadakan pada pukul 4 petang, 19 Disember di pentas utama litar berkenaan.

Masuk adalah percuma untuk menyaksikan kejuaraan tahunan terhebat negara itu.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here