OLEH NAJIHAH AZLAN, AMIESHA ABADI & KHAIRUNNISA KHAIRI
TANJONG MALIM – Meskipun acara renang baharu membuka gelanggang hari ini, namun gelaran ‘raja kolam’ layak diberikan kepada perenang UCSI University (UCSI) Khiew Hoe Yean.
Perenang yang sedang meningkat naik itu menggengam empat daripada sembilan pingat emas yang ditawarkan dalam acara renang hari ini.
Rentak cemerlang Hoe Yean itu bermula dalam acara 400 meter (m) rampaian lelaki individu yang menyaksikan dia menang emas dengan catatan masa 4:39.53 saat (s) menewaskan perenang pilihan dari Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), Sebastian Soon.
“Ini adalah permulaan yang baik dan sejujurnya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam saingan ini.
“Saya menyertai SUKIPT tidak lebih sebagai sesi ‘memanaskan badan’ sebelum bermulanya temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan bermula di Kuala Lumpur bulan depan”, jelas Hoe Yean.
Emas kedua Hoe Yean diperoleh menerusi acara 200m gaya bebas individu lelaki apabila merekodkan masa 1:54.73s, meninggalkan pencabar terkuatnya, Terence Ng Shin Jian (Taylor Univerisity).
Hoe Yean turut unggul dalam acara 200m kuak lentang individu lelaki dengan catatan masa 2:09.42s sebelum meraih emas keempatnya dalam kategori 4x200m gaya bebas berpasukan. Catatan masa 8:13.17s sudah cukup buat kuartet UCSI itu untuk menjulang emas.
Sementara itu dalam acara 100m kuak kupu-kupu individu lelaki, perenang harapan APU, Sebastian Soon meraih emas dengan catatan masa 58.41s manakala Ng Kai Wen dari Taylor’s University melakukannya dalam acara 50m kuak dada lelaki individu dengan mencatatkan masa 30.09s.
Dalam acara lain, pemenang pingat emas Sukan Universiti ASEAN (AUG), Ong Yong Qi tidak berdepan masalah untuk menjulang pasukannya Sunway University (SUN-U) apabila menghadiahkan dua pingat emas dalam acara 20 m gaya bebas dan 200 kuak lentang individu wanita.
(Para penulis merupakan pelajar kewartawanan UiTM Shah Alam)